Saban tahun, ada saja pencapaian baharu yang dilakar selebriti cantik Janna Nick. Merangkul satu lagi anugerah di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 baru-baru ini, pelantun lagu Gatal tersebut sememangnya sedang berada di puncak kerjaya.
Biarpun namanya tidak lagi asing dalam arena muzik dan lakonan, wanita berusia 27 tahun ini kekal merendah diri dan mesra dengan sesiapa saja. Tidak hairanlah, Janna antara selebriti yang mempunyai peminat yang ramai dan setia. Peribadinya cukup menyenangkan.
Dalam temu bual bersama Nona ketika menjadi penghias muka depan tidak lama dulu, pemilik nama Nurul Jannah Muner ini mendedahkan dia sanggup buat apa saja atau berhabis wang demi keluarga tercinta.
“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga.
Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ia merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Bagi saya, lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan.
Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama pada usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama.
Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti. Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan.
Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar.
Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
This website uses cookies.