Tahun 2017 pastinya menjadi detik terindah bagi atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. Masakan tidak, pada tahun inilah pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio tersebut dikurniakan rezeki melimpah ruah selain mencipta pelbagai kejayaan dalam kerjaya sukannya. Salah satu momen terindah bagi Ziyad, bergelar bapa kepada cahaya mata perempuan, Zuhayra Zafra 2 Ogos lepas hasil perkongsian hidup bersama isteri tersayang, Zafirah Mohd Nasir.
Lebih sebulan menimang anak sulung, pada September tahun sama juga Ziyad yang pernah diiktiraf sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik 2013 oleh Anugerah Sukan Negara komited meneruskan aksi cemerlang sepanjang menyertai Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017. Dia yang berjaya memecahkan rekod temasya dengan catatan 16.81 meter sekali lagi merangkul pingat emas menerusi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran). Ternyata, 2017 menjadi tahun terbaik buat atlet berusia 27 tahun ini.
Dalam usia yang masih muda, pencapaian membanggakan Ziyad wajar dijadikan inspirasi buat semua. Terbaru, atlet ini turut menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan. Kongsi Ziyad dalam Instagram miliknya, “Target 2017 alhamdulillah tercapai. Kerja lebih keras untuk 2018. Seorang yang tidak nampak masa hadapan macam mana dan juga sbeagai anak luar biasa, betul lah orang dulu berkata ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Tapi tiada istilah NASIB, setiap apa yang kita buat, nak berjaya perlu kerja keras. Apa yang kita nak tu kita perlu ada pengorbanan dan rintangan.
Apa pun juga kekurangan kalau ada kemahuan anda akan berjaya suatu hari nanti. Mungkin lambat lagi atau mingkin korang buat terus menjadi. So jangan pernah mengalah dalam setiap apa yang hendak dilakukan. Terima kasih pada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya sekarang ini. Saya akan ingat mana asal usul saya.
Tiada sedikit pun di hati nak menunjukkan kemewahan apa yang ada. Saya cuma ingin memberikan motivasi untuk rakan-rakan semua. Apa yang kita inginkan tak mustahil terjadi jika kita benar-benar mahukannya dan buat dengan ikhlas. Prinsip saya, biar sampai jadi. Kalau tak jadi betulkan balik apa yang silap.”
Syabas Ziyad sebab berani keluar dari zon selesa dan gigih mencari platform terbaik saban tahun. Moga bakat yang dimiliki terus bersinar dan kembali mengharumkan nama negara di persada dunia!