Belum pun sejuk kisah pernikahan selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor diperkatakan peminat, isteri kepada pendakwah bebas ini telah dianugerahkan sebagai Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith bagi kategori Tokoh Berpengaruh Mega atau influencer oleh Kerajaan Kelantan sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021. Tahniah Neelofa!
Seramai 14 orang wanita termasuk Neelofa turut menerima anugerah pada majlis tersebut yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. Memetik laporan dari Sinar Harian, program ini telah anjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.
Pada Sabtu lalu bertarikh, 27 Mac 2021, Neelofa telah selamat dinikahkan oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor tepat jam 11.43 pagi di Hotel Grand Hyatt dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan ini dihadiri oleh 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakam terdekat kedua-dua belah pihak. Tetamu yang hadir pula begitu sporting mengikut tema yang ditetapkan iaitu berbaju kurung, baju Melayu atau jubah berwarna putih.
Usahawan terkenal ini menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin namun tidak menyatakan jumlah hantaran yang diterimanya daripada pihak pengantin lelaki.
Bekas pengacara Meletop ini kelihatan anggun dan berseri-seri dalam persalinan dres labuh rona putih rekaan Alia Bastamam dan dihias indah oleh jurusolek terkenal Sharman Yee. Ikatan tudungnya telah disempurnakan oleh Didiyana Ehsan. Manakala dekorasi dewan pula telah dihias indah oleh Reka Teemor.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” ujar Neelofa dan Haris. Semoga ikatan yang baharu dibina ini kekal bahagia hingga ke jannah.