Tiada ungkapan yang lebih tepat tatkala menerima perkhabaran berita kelahiran anak Ustaz Azhar Idrus yang ke-12, selain puji dan syukur ke atas kurniaan Allah SWT. Cahaya mata lelaki ini merupakan hasil perkongsian hidup Ustaz dengan isteri keduanya, Khairul Izyan.
Ada orang risau memikirkan anak yang ramai, ada juga bimbang memikirkan kewangan bila punya anak kecil berderet-deret. Tapi yakinlah setiap anak itu amanah-Nya dan Dia jugalah yang memberi rezeki kehadiran anak tersebut.
Nama pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Berusia 58 tahun, lelaki Terengganu yang terkenal dengan gaya penyampaian dakwah secara bersahaja, lucu, tepat dan padat ini dikhabarkan baru saja menyambut kelahiran cahaya matanya yang ke-12 melalui perkongsian SALAM Specialist Hospital Kuala Terengganu.
“Tahniah buat Ustaz Azhar Idrus dan Puan Izyan atas kelahiran anak.
Semoga Allah memberkahi anak ini untukmu dan menjadikannya orang berbakti dan bertakwa.
Terima kasih memilih kami, Ustaz Azhar Idrus.” SALAM Specialist Hospital Kuala Terengganu
Tidak terikut-ikut trend menyembunyikan wajah si comel dari pandangan kamera, Ustaz Azhar Idrus kelihatan tenang mengusap wajah anak lelakinya dengan penuh kasih sayang.
Bertuah si kecil dilahirkan dari zuriat alim ulama dan bijak pandai agama, semoga dapat mewarisi usaha dakwah ayahanda suatu hari nanti. Apa pun tahniah buat Ustaz Azhar Idrus dan isteri!
This website uses cookies.