Rezeki Tania Zara Hasilkan PASTRI ISTIMEWA Kesukaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Sempena Hari Kelahirannya

Cantik manis dan kecil molek saja orangnya. Memiliki susuk tubuh yang langsing persis anak dara tidak langsung menunjukkan dirinya seorang ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 6, 3 dan 8 bulan.

Tania Zara bukan sekadar cantik bahkan seorang isteri dan ibu yang aktif sebagai pengusaha studio membuat kek iaitu Coffee Jeans & Co.

Tania Zara atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd Sudin seorang yang merendah diri. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia 37 tahun ini cukup mahir dalam membuat kek dan pastri.

Berjauhan dari suami yang bertugas sebagai Senior Drilling Fluid Engineering di Baker Hughes Saudi Arabia menjadikan Tania Zara seorang yang berdikari. Maka, tercetuslah idea untuk menubuhkan Coffee Jeans & Co sejak setahun lalu.

“Segalanya bermula dengan hobi saja sebab saya memang penggemar kek. Perancangan asal hendak membuka kafe tetapi memandangkan permintaan untuk membuka kelas lebih tinggi maka saya dan suami memutuskan untuk membuka studio Coffee Jeans & Co ini.

Secara asasnya Coffee Jeans & Co disewakan kepada mereka yang berminat untuk mengadakan kelas atau bengkel membuat kek, biskut, kuih dan sebagainya.

Coffee Jeans & Co juga menawarkan kelas yang bukan sahaja terdiri daripada tenaga pengajar tempatan bahkan dari luar negara. Saya antara salah seorang tenaga pengajarnya.

Setakat ini sekurang-kurangnya 100 kelas yang telah kami tawarkan buat orang ramai seperti membuat dan mendekorasi kek, pastri, pavlova serta macaroon.

Momen terindah apabila berpeluang menghasilkan pastri berupa chicken pie, sardine puff dan cream horn istimewa buat Raja Permaisuri Perak iaitu Tuanku Zara Salim bersempena ulang tahun kelahirannya. Antara klien besar Coffee Jeans & Co ialah Shell, Petronas dan Schlumberger.

Saya amat bersyukur dan anggap ini adalah rezeki seterusnya menambahkan lagi semangat untuk saya berusaha lebih gigih demi menaikkan nama Coffee Jeans & Co.

Satu-satunya sumber inspirasi saya dalam perniagaan ialah Datin Vivy Yusof,” kongsi Tania Zara yang juga aktif sebagai model iklan komersil dan pelakon. Amy Mohd

Sumber Foto: @taniazara dan @coffeejeansandco

Share
Published by
Norzalina