Rezeki THITA ZIKRON 7 Tahun Jadi Jururawat Di Tanah Suci, Kerap Kerjakan Umrah & Gaji Besar!

Jumpa orang baik-baik pun rezeki. Begitulah umpamanya pertemuan Nona dengan Thita Zikron Mohd Amin, seorang jururawat Malaysia yang bertugas di Madinah. Kebetulan Thita sedang pulang bercuti menyambut Ramadan di tanah air, maka kisah kerjayanya di Tanah Suci jadi topik bualan.

Berasal dari Pahang dan kini berusia 43 tahun, Thita melakar pencapaian cemerlang di Tanah Suci sebagai Education Liaison Nurse.

Di sana, beliau bertanggungjawab sebagai jururawat untuk merawat dan menjaga bayi pramatang serta bayi yang dilahirkan dengan penyakit kongenital.

Sebagai ibu lima anak, jujurnya pasti tidak mudah bagi Thita meninggalkan suami dan cahaya mata demi mencari rezeki di luar negara.

Selain perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dalam suasana berbilang bangsa, perasaan rindu atau ‘homesick’ pasti menghantui diri.

 

 

“Pada awalnya saya sengaja suka-suka menghadiri temu duga oleh Agensi Melorita untuk jawatan jururawat di Hospital Madinah yang baru dibuka.

Walaupun saya dah berkhidmat di Pantai Hospital Kuala Lumpur selama lebih kurang 11 tahun, tapi hati terbuka nak mencuba di tempat baru dan alhamdulillah saya diterima bekerja di sana.” Thita

Memiliki kelulusan Sarjana Kejururawatan, Diploma Kejururawatan, Post Basic Neonatal Nursing serta pengalaman di hospital yang agak lama, laluan Thita untuk berkhidmat di luar negara semakin cerah.

Beliau pernah berkhidmat di unit rawatan rapi neonate (NICU) daripada tahun 2001 hingga 2011 dan pernah menggalas jawatan Ketua Jururawat sebelum meletakkan jawatan untuk bekerja di Saudi Arabia.

Perasaannya bercampur baur. Tak dinafikan pada awalnya beliau sendiri berasa sedih untuk meninggalkan suami, anak-anak dan mak abah tersayang tapi dalam waktu yang sama seronok mahu berkhidmat di negara orang serta menjejakkan kaki ke tanah haram.

 

 

 

“Di sana bila terasa ‘homesick’, biasanya kami akan hilangkan stres dengan melaksanakan ibadah umrah jika ada peluang selain window shopping.

Rasa stres atau kekurangan dalam kerjaya ini pastinya bila saya terpaksa menghadapi kematian walau segala usaha sudah dilakukan untuk menyelamatkan si bayi.

Bagi saya, jadi jururawat bukan sekadar cuci najis, tukar lampin pesakit malah lebih meluas definisinya. Ia mengajar kita untuk lebih menghargai keluarga dan jati diri dalam diri untuk lebih berjaya.

Kena tabah dari semua aspek dan saya bangga menjadi jururawat.” Thita

 

Tambah Thita lagi, beliau beruntung kerana berada di Tanah Suci dan bekerja di hospital yang menawarkan faedah atau benefit yang bagus untuk kakitangan.

Bayangkan tiket pergi dan balik ke Malaysia semuanya ditaja oleh pihak hospital dua kali setahun! Mereka juga dibenarkan bercuti mengikut jumlah cuti tahunan yang ada dan selalunya Thita akan balik kampung sekitar 30-35 hari.

“Bila balik Malaysia, biasanya saya akan bawa anak-anak pergi bercuti sama ada di dalam atau luar negara.

Family day dengan adik-beradik juga menjadi agenda penting setiap kami saya balik bercuti untuk eratkan silaturahim.” Thita

Komitmen Thita dipuji, beliau turut menerima anugerah penghargaan sebagai Educational Team bulan lepas

 

Jururawat hebat ini merupakan isteri kepada Mohd Fadzlishah Jamaludin serta ibu kepada Yaszmeen Qhaisara (21 tahun), Yaszmeer Zechry (19 tahun), Yaszandra Qhayreena (16 tahun), Yaszndyeea Zhara (14 tahun) dan Mohammad Qays Qarizh (3 tahun).

Mengakhiri perbualan, sempat Nona bertanya harapan Thita dalam kerjaya.

“Sebenarnya tujuan asal ke negara orang untuk mencari pengalaman dan membantu keluarga memandangkan gaji yang ditawarkan sangat besar.

Sehingga kini saya masih meneruskan matlamat untuk meringankan beban keluarga disamping menambah ilmu di dada.

Tahun 2023 adalah tahun ketujuh saya berada di bumi barakah ini. Saya harapkan apa yang saya pelajari di sini dapat dikongsi bersama dengan jururawat di Malaysia untuk menaiktarafkan perkhidmatan jururawat di Malaysia.”

Share
Published by
Norzalina