Tertarik melihat gaya pengasas jenama instant turban, Ilham Echenta ini. Walau berbadan dua tetapi kekal berseri dan masih mampu untuk melaram. Usahawan berusia 37 tahun yang mesra disapa sebagai Echenta ini sedang sarat mengandung anak ke-5 dan sedang menunggu hari untuk melahirkan.
Hakikatnya memang sangat mencabar mengandung dalam keadaan pandemik. Perlindungan kesihatan sangat penting bagi golongan ini kerana berisiko tinggi. Pun begitu, Echenta sudah pun lengkap 2 dos vaksin yang mana dos pertama telah diterima ketika 28 minggu kehamilan.
Baru-baru ini Echenta ada berkongsi di Instagram tentang cabarannya mengandung ketika pandemik. Tulisnya di ruangan kapsyen:
“Berita pemergian Allahyarhamah @sitisarahraisuddin dan hari ini sekali lagi kita disulami dengan berita kesedihan pemergian ibu hamil yang meninggal dunia akibat COVID-19. Berita sebegini buat E muhasabah diri supaya lebih berhati-hati untuk jaga diri sendiri di saat E tengah sarat hamil anak ke 5 ini. Mujur E dah lengkapkan 2 dose vaksin COVID-19 sebelum E melahirkan anak dan E bersyukur urusan vaksin dipermudahkan olehNya. Jangan ambil endah tentang pentingnya vaksin ini walau dalam hati takut, kurang pasti apa kesan sampingannya.
Alhamdulillah E tak alami apa-apa simptom teruk dan rakan-rakan E yang hamil juga dalam keadaan baik sahaja. Doakan kami ibu-ibu hamil kuat untuk melawan perasaan takut ini walau kami redha dengan apa jua situasi yang akan berlaku. We just have to get ready minta dijauhkan wabak ini dari kami Ya Allah kerana kami punya anak-anak kecil yang masih perlukan kasih-sayang kami. E cuba kuatkan semangat, hidup perlu diteruskan. Bisnes perlu jalan seperti biasa. Dua bulan dah kami tutup butik tetapi beroperasi secara online. Sukar tetapi E dan suami percaya setiap usaha pasti ada ganjarannya. InsyaAllah.”
Menurut Echenta kini usia perkahwinannya menjangkau 11 tahun dan bakal menerima kehadiran zuriat ke-5. Menurutnya, ini adalah rezeki yang tak dijangka dan tak dirancang. 2 tahun berturut-turut hamil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pastinya amat mencabar apabila hamil dan pada masa yang sama perlu memberi perhatian terhadap anak ke-4 yang masih kecil dan perlukan belaian. Namun Echenta tak pernah merungut biarpun penat sebaliknya dia gembira dan bersyukur atas kurniaan rezeki. Apatah lagi, dia sendiri dilahirkan dalam keluarga besar dan dia merupakan anak ke-9.
Nasihat Echenta buat wanita-wanita khususnya ibu hamil:
“Kita kena kuat, tak boleh lemah nak jaga family kita.
Dan kepada sesiapa yang belum dikurniakan zuriat, jangan putus asa untuk berdoa ya. Lambat atau cepat hanya Allah Taala sebaik-baik Perancang.Percayalah anak itu satu rezeki yang tak ternilai harganya. Tak semua wanita dapat nikmat mengandung dan melahirkan. Jadi E tak pernah rasa ini satu bebanan buat E, malah E rasa hidup E akan lengkap dengan kasih sayang tak berbelah bagi dari anak-anak bila mereka dewasa kelak. Semoga anak ini sentiasa dilindungiNya. Jauhkan dari segala wabak yang ada di luar sana. Mama akan jaga kamu sebaiknya sayang..Aamiin.”
Kredit Foto: Instagram @echenta
This website uses cookies.