Tidak dinafikan, aktres China Angelababy memang cantik orangnya. Memiliki bentuk wajah bujur sirih, hidung mancung, sepasang mata cantik dan bibir mungil, boleh dikatakan rupa paras Angelababy sempurna serta menjadi idaman ramai wanita.
Ada nama besar di persada seni China dan Hong Kong, Angelababy bertuah kerana selain cantik, dia juga terkenal dan kaya.
Memulakan karier sebagai pelakon dan model, personaliti ini menarik perhatian dunia apabila dia berkahwin dengan pelakon terkenal China, Huang Xiaoming yang 11 tahun berusia darinya.
Angelababy dan Huang dikatakan menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan hanya mendedahkan kepada umum tentang perhubungan mereka pada tahun 2014.
Ibu Angelababy berasal dari Shanghai sementara bapanya merupakan rakyat Hong Kong yang berketurunan Jerman dan China. Disebabkan perkahwinan campur itu, Angelababy mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Shanghai, Jepun dan Kantonis.
Sepanjang bergelar selebriti, nama Angelababy sering terpalit dengan kontroversi menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik.
Namun selebriti ini menegaskan tidak pernah melakukan prosedur tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus mengaitkannya dengan perkara tersebut demi menjaga reputasi.
Bahkan, suami Angelababy juga mengakui kecantikan isterinya adalah asli.
Tahun lalu, keretakan rumah tangga Angelababy mula dihidu peminat. 7 tahun bergelar suami isteri, akhirnya pasangan terkenal China ini mengaku sudah bercerai.
Pengumuman itu dibuat mereka menerusi akaun Weibo. “Bersyukur atas sejarah yang lepas, kami masih keluarga pada masa akan datang.”
Meskipun terpaksa mengakhiri perkahwinan, kedua-duanya dilaporkan berpisah secara baik demi membesarkan cahaya mata mereka yang kini berusia lima tahun. Anak sulung mereka yang dikenali dengan gelaran Little Sponge yang lahir pada Januari 2017.
Khabar angin mengenai kemelut rumah tangga aktres cantik itu mula bertiup kencang pada Julai 2019 namun Huang menafikan perkara tersebut.
Mengimbas kembali momen penuh gilang-gemilang mereka, Angelababy dan Huang Xiaoming menarik perhatian dunia apabila kos perbelanjaan kahwin pada tahun 2015 itu dilaporkan mencecah USD31 juta atau kira-kira RM128 juta!
Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman, aktres ini sudah menembusi pasaran filem Hollywood antaranya menerusi filem Hitman: Agent 47 (2015) dan Independence Day: Resurgence (2016).
Pada tahun 2016, Forbes mengiktiraf Angelababy sebagai salah seorang daripada Top 30 selebriti muzik, atlet dan bintang filem bawah umur 30 tahun yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.
This website uses cookies.