Tahun ini, kerajaan Arab Saudi sedia membuka pintu negaranya kepada rakyat Malaysia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri dijemput menjadi tetamu pertama yang dibenarkan masuk ke dalam Kaabah sejak setahun lalu.
Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman juga sempat mengerjakan umrah dan melakukan ziarah di Madinah sebelum bertemu Raja Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud yang juga Penjaga dua masjid suci umat Islam, sempena lawatan rasmi ke Arab Saudi.
Malaysia adalah antara negara yang diberikan kelonggaran awal untuk menghantar jemaah umrah ke Arab Saudi berikutan disiplin tinggi ditunjukkan umat Islam di negara ini. Walau bagaimanapun, masalahnya bukan di pihak berkuasa Arab Saudi tetapi kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan rakyat keluar masuk negara ini.
SYARAT BARU
Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat bahawa semua jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah pada tahun ini mestilah berusia di bawah 60 tahun, sihat tubuh badan dan tidak menghidapi sebarang penyakit berjangkit.
Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan jemaah berusia lebih 60 tahun menunaikan haji tahun ini, dengan syarat sihat tubuh badan (tidak mempunyai penyakit kronik) dan melepasi ujian saringan COVID-19 dibuat tiga hari sebelum penerbangan ke Mekah atau Madinah.
Beberapa SOP ketat seperti sanitasi tubuh badan, suhu diambil, perlu membawa kelengkapan solat sendiri serta menjaga jarak ketika beribadah merupakan antara kebiasaan normal baharu yang sedang dipraktikkan di sana.
Dalam satu dokumentari Masjid Nabawi yang dikongsikan, turut ditunjukkan bagaimana rutin sanitasi dijalankan bagi menjamin kesihatan para jemaah.
Dokumentari ini mengisahkan pembukaan Masjid Nabawi kepada awam pada 8 Syawal 1441H lalu
EKONOMI PERLAHAN
Keputusan Arab Saudi mengehadkan jemaah umrah dan haji berikutan pandemik COVID-19 mengakibatkan kebimbangan terhadap ekonomi di Tanah Suci.
Sehingga 2019, ibadat haji dan umrah menjana pendapatan AS$12 bilion (RM51.42 billion) sekali gus merancakkan ekonomi di Mekah iaitu kawasan paling suci untuk umat Islam.
Kemuncak pembinaan pelbagai pusat membeli-belah, apartmen dan hotel mewah di sekitar Kaabah sejak beberapa tahun lalu menyasarkan keuntungan lumayan meskipun ramai yang sangsi terhadap tujuan asal beribadah di sana.
“Kami tidak pernah melihat Tanah Suci kosong…”
Bayangkan Tanah Suci kosong.
Ekonominya lumpuh.
Hotel-hotel dan shopping mall mewah kini hanya sekadar… papan tanda.
COVID-19 yang melanda Mekah menjejaskan perniagaan yang bergantung dengan jemaah haji dan umrah, selain meranapkan ratusan ribu pekerjaan serta kedai-kedai cenderamata kecil.
Kebanyakannya diberhentikan kerja, gaji dipotong atau ditangguhkan.
Ia diikuti dengan penurunan harga minyak yang menyebabkan tercetusnya langkah berjimat-cermat termasuk menaikkan cukai tambah nilai dan pengurangan elaun kakitangan awam.
Dalam skala lebih besar, pembatalan operasi pengendali haji yang menguruskan hal-hal logistik para jemaah melibatkan ibadat haji selama lima hari menambah kesan buruk.
DEMI MASA DEPAN
Walau bagaimanapun, masih ramai yang khuatir jika ibadat haji yang mengumpulkan ribuan umat Islam di kawasan keagamaan yang kecil itu akan menjadi sumber jangkitan penyakit terbesar.
Pandemik COVID-19 telah melanda negara beraja ini dengan jumlah kes tertinggi di rantau Teluk dengan lebih 178,000 kes jangkitan.
Pada Rabu lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa memberi amaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi akan berkurangan sehingga 6.8 peratus pada tahun ini.
Ia merupakan prestasi terburuk sejak krisis harga minyak pada tahun 1980-an.
Yang pasti, kemerosotan ekonomi telah menjejaskan cita-cita Riyadh untuk membina industri pelancongan melalui program pembaharuan tahun 2030 sebagai cara untuk mengurangkan penggantungan negara tersebut kepada hasil minyak.
This website uses cookies.