Rindu Makanan Malaysia, DAYAH BAKAR Kongsi Kehidupan Bahagia Di Australia Bersama Suami & Anak

Sebelum ini bekas pengacara Borak Kopitiam, Dayah Bakar tinggal berjauhan dengan suaminya selama lebih setahun atas faktor kerja. Suami Dayah iaitu Kapten Muhammad Hanif Hamidi berkhidmat sebagai pegawai tentera di Australia.

Mengandung dan melahirkan bayi tanpa suami di sisi adalah satu pengorbanan terbesar Dayah. Mungkin tidak semua wanita mampu mengharunginya seorang diri namun pengalaman itu telah menjadikan Dayah seorang wanita hebat serta berdikari.

Namun pada Januari 2021 pasangan ini kembali bertemu. Dayah mengambil keputusan meninggalkan kariernya di Malaysia dan berhijrah ke Australia untuk bersama suami dan anak. Itulah juga momen kali pertama suaminya bertemu zuriat sulung mereka, Achbar Muhammad Fahri.

Kini Dayah dilihat semakin bahagia dan gembira dengan kehidupannya di Australia serta sering berkongsi rutin hariannya di media sosial buat tatapan followers

. Selain itu, Dayah juga masih aktif melakukan review produk termasuklah bisnes tudungnya iaitu Modesty by Dayah Bakar.

KEHIDUPAN DI AUSTRALIA
“Kehidupan di sini berbeza berbanding di Malaysia. Selain dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga, saya juga banyak outing contohnya ke taman-taman.

Antara tempat favourite saya ialah Lake Burley Griffin. Pemandangannya cantik sangat. Budaya masyarakat di sini mereka selalu picnic. Kalau tak beriadah mereka akan picnic tak kisah pukul berapa pun. Cuaca di sini pun agak sejuk walaupun ada sinaran matahari.

Selain itu, saya masih dapat menguruskan bisnes tudung jenama sendiri iaitu Modesty by Dayah Bakar walaupun tidak berada di Malaysia. Sekarang ini semuanya online jadi tiada masalah. Saya boleh bekerja sambil meluangkan masa bersama keluarga.

Walaupun tidak dapat buat live show tapi saya aktif Live di Instagram, Facebook dan Youtube. Contohnya, klien-klien yang berkolaborasi dengan saya mereka tetap hantar produk-produk ke Australia untuk saya buat review. Jadi tiada masalah. Saya juga dapat berkongsi rutin seharian serta pemandangan yang cantik di sini.”

Bila diajukan soalan apa yang paling dirindu tentang Malaysia? Ini jawapan Dayah…

Saya rindu sangat dengan makanan Malaysia. Walaupun boleh masak sendiri dan bahan-bahannya mudah didapati di sini tetapi air tangan ibu saya adalah yang paling sedap di dunia! Harapan saya bila pulang ke Malaysia nanti dapat makan beramai-ramai dengan keluarga, Insha-Allah.”

PENGORBANAN
Setiap orang ada kisah pengorbanan tersendiri. Namun saya percaya sesuatu yang kita korbankan itu semestinya sesuatu yang kita mampu. Tahun lalu pengorbanan terbesar saya ialah mengandung dan melahirkan anak tanpa suami di sisi. Disebabkan pandemik kami tidak dapat fly.

Tahun ini pula saya mengambil keputusan untuk berada di sisi suami dan anak. Tidak dinafikan ada lebih dan kurangnya. Apa pun saya sangat bersyukur dan gembira. Bagi saya bukan senang untuk dapat masa berkualiti bersama keluarga. Masa tak boleh dijual beli. Setiap waktu bersama di sini adalah sesuatu yang saya sangat hargai. Menjadi seorang isteri dan ibu juga satu anugerah yang tak ternilai buat saya.

PESANAN BUAT PASANGAN BERJAUHAN
Bagi mereka yang sedang berjauhan dengan pasangan, saya faham sangat perasaan itu. Rasa rindu, sedih. Percayalah anda adalah orang-orang yang terpilih kerana mampu melalui satu hubungan yang cukup kuat walaupun pasangan tiada di sisi.

Pesanan saya lakukan perkara yang buat anda gembira, sibuk dan jangan lupa jaga diri sendiri. Kesihatan mental juga sangat penting lagi-lagi yang ada anak, bekerja dan tak tahu bagaimana nak uruskan rutin seharian. Yakinlah, Allah SWT ada dan sentiasa bersangka baik.

Komunikasi kunci utama, tidak kiralah sejauh mana pasangan anda. Kepercayaan juga adalah satu perkara yang sangat penting. Ingatlah, luangkan masa selagi ada. Hargai setiap saat anda bersama.”

Kredit Foto: Instagram @dayahbakar

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad