Pengalaman indah yang dilalui Ahmad Najhan Hassim, ibarat menggambarkan bahawa rezeki itu tidak pernah salah alamat. Biarpun dalam situasi pandemik COVID-19, dia tetap dijemput ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah norma baharu.
Selepas lebih enam bulan sekatan ibadah umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Hram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertamanya pada 4 Oktober lalu.
Ketibaan kumpulan jemaah pertama ini disambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk mesin pengimbas haba yang ditempatkan di semua pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram.
Benarlah manusia tidak pernah tahu dimana dia harus menjemput rezekinya, tapi rezekinya pasti tahu dimana pemiliknya.
Seperti perkongsian seorang rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Ahmad Najhan Hassim, dia sendiri pun tidak menyangka menjadi antara individu terawal menunaikan ibadah umrah norma baharu.
Najhan yang bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital di Jeddah berkata, dia amat teruja dengan rezeki yang diperolehnya itu dan memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) umrah yang dibuat Arab Saudi teratur dan tidak mengganggu pelaksanaan ibadah.
“Bila dah selesai semalam agak teruja apa yang dilakukan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sangat teratur sangat mengikut SOP penjarakan sosial ketika kita melakukan tawaf dan alhamdulillah jemaah sangat mematuhi SOP ditetapkan.”
Pun begitu Najhan memaklumkan, tempoh maksimum tiga jam yang ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah menyelesaikan ibadah umrah menyebabkan tempoh masa di dalam Masjidil Haram singkat.
Setiap jemaah yang dipilih kita mempunyai tiga jam sahaja masa untuk sempurnakan ibadah umrah setelah habis tempoh semua jemaah dikehendaki keluar dari Masjidil Haram untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan untuk kumpulan lain selepas kita,” katanya.
Najhan yang hampir tiga tahun menetap di Jeddah memaklumkan sebelum pandemik COVID-19 hampir setiap bulan beliau berpeluang untuk menunaikan umrah.
Sekatan lebih enam bulan ke atas pelaksanaan ibadah umrah menyebabkan dia amat merindui untuk melakukan ibadah berkenaan.
Najhan turut memanjatkan doa agar semua umat Islam terutama di Malaysia akan turut berpeluang untuk kembali ke menunaikan ibadah umrah.
Sumber: AlHijrah Online / Zaim Zamani
This website uses cookies.