Berita

Rindu Tak Terucap, Perjuangan Nadir Al-Nuri Untuk Bumi Aqsa Diiktiraf Nona Superhero Award 2023

Perjuangan aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri atau Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman serasa terlalu panjang untuk dikisahkan. Pada usia 36 tahun, beliau berjuang sebagai satu-satunya frontliner Malaysia di bumi Palestin, memupuk kesedaran, melaporkan perkembangan semasa serta mengumpul dan mengagihkan wang sumbangan melalui NGO miliknya, Persatuan Cinta Gaza Malaysia ke sana.

Keberanian dan intifada anak Melayu bernama Nadir ini memperjuangkan nasib rakyat Palestin cukup membanggakan Malaysia. Beliau memilih untuk menetap dan berkeluarga di ‘penjara terbesar di dunia’, biarpun sedar risiko pergolakan perang mungkin menggadai nyawa. Selepas sedekad berbakti melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Semenanjung Gaza, jasa dan pengorbanan beliau mula menjadi perhatian.

Sesaat tiba ke studio, aura Nadir Al-Nuri begitu terasa. Gugup berdepan lelaki hebat yang sentiasa mengukir senyuman itu, tidak terbayang bagaimana beliau mampu bertahan tatkala diuji dengan sesuatu yang terlalu disayangi. Pada saat wajah Superhero ini dipotretkan, beliau masih memikirkan nasib anak isteri di Gaza yang terpaksa berpindah-randah berhijrah, menyelamatkan nyawa di tengah perang yang menggila!

 

“Saya reda.” Sahutnya perlahan ketika ditanya soal perasaan. Sebagai suami dan bapa kepada lapan cahaya mata (lima daripadanya anak tiri), takdir memisahkan keluarga kecil Nadir apabila beliau pulang ke tanah air atas urusan kerja lewat September lepas. Siapa sangka tanggal 7 Oktober mencatat semula peristiwa berdarah, puak Zi0nis tiba-tiba meletupkan pintu sempadan sekaligus membedil bumi Gaza tanpa sifat kemanusiaan.

Nadir Al-Nuri

 

Foto: Facebook Nadir Al-Nuri

 

Nadir menggantungkan seluruh urusannya kepada Allah SWT. Jika orang lain sudah terduduk tak berdaya, beliau menerima ketetapan dan ketentuan Tuhan dengan iman, malah menganggap segala keputusan-Nya yang terbaik buat mereka.

“Bukan keluarga saya yang hendak saya ceritakan. Ya, keluarga saya orang Palestin, anak-anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka sebahagian dari bumi Gaza yang sarat dengan pengorbanan.

Mereka tidak lebih penting daripada penduduk Gaza yang lain. Nyawa mereka bukan lebih berharga daripada anak-anak Palestin lain yang juga terancam dibvnvh pada bila-bila masa.

Mereka yang ada di sana tahu bila-bila masa sahaja nyawa akan terkorban demi pembebasan bumi Al-Aqsa dan Kota Baitulmaqdis.

Kata isteri saya, Reem Al-Minawi, manfaat lebih besar jika saya terus di Malaysia, ajak seluruh rakyat Malaysia berjuang untuk bumi Palestin,” kata Nadir yang mengahwini balu pejuang Palestin dan ibu tunggal itu sekaligus menanggung lima anak Reem yang dikasihi bagaikan anak sendiri.

Foto: Facebook Nadir Al-Nuri

 

Foto: Facebook Nadir Al-Nuri

 

Foto: Facebook Nadir Al-Nuri

 

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ustaz-mohammad-yaakub-mahu-madad-seperti-madinah-dikunjungi-24-jam-bukan-hanya-untuk-ibadah/

 

ANAK PROFESOR

Berusia 36 tahun, bapa kepada Haura, Qamar dan Ibrahim ini sebenarnya membesar dalam sebuah keluarga akademik yang disegani. Asas pendidikannya cemerlang termasuk mahir berbahasa Arab dan Inggeris. Anak kedua daripada lapan beradik itu mendapat pendidikan awal di Wester Hailes Primary School, Scotland sewaktu mengikuti bapanya menghabiskan pengajian peringkat PhD, seterusnya ke beberapa sekolah rendah dan sekolah agama di tanah air.

Beliau juga pernah menimba ilmu di Sekolah Agama Menengah Batu 10 Hulu Langat (SAMTEN), Sekolah Agama Menengah Bestari JAIS (SAMBEST) seterusnya bergelar mahasiswa graduan Ijazah Sains Marin (Universiti Malaysia Sabah), Diploma Syariah dan Bahasa Arab (Kolej Antarabangsa Damsyik) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Universiti Islam Gaza).

“Sejak kecil, kami sudah dididik menjadi pencinta kerja-kerja kemanusiaan dan belajar manual menguruskan badan NGO. Selain saya, adik lelaki iaitu Musa Nuwayri juga mengasaskan NGO Persatuan Cinta Syria Malaysia selain adik bongsu kami, Mubtasim Al-Lutfi yang turut menunjukkan minat serupa. Semua ini hasil didikan dan tarbiyah ibu bapa kami sendiri yang berkali-kali berpesan supaya meletakkan orang lain di hadapan dan mengejar akhirat yang lebih abadi,” singkap Nadir.

 

Foto: Facebook Nadir Al-Nuri

Ibu bapa Nadir kedua-duanya tokoh akademik hebat dan terpelajar. Bapanya, Prof Dr Kamaruzaman Yusof bukan sekadar masyhur sebagai Pensyarah, bahkan Penganalisis Politik Timur Tengah yang disegani. Mesra dengan panggilan Che’, bapa Nadir juga mempunyai Masters dalam bidang psikologi.

Dengan asas ilmu dan agama yang kuat, keluarga mereka didedahkan dengan jerih-perih umat Islam di seluruh dunia.

 

HADIAH UNTUK AQSA

Mengungkap laluan hidup Nadir sebagai Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia di Palestin, lelaki ini sejak tahun 2013 lagi banyak berbakti membantu penduduk setempat menerusi sumbangan penyokong dan pencinta Palestin yang semakin ramai. “Walaupun masa tu terikat dengan komitmen sebagai pelajar universiti, saya tetap menjalankan tanggungjawab mengurus NGO, menyerahkan amanah melalui pelbagai program.

Peluang duduk di medan peperangan Gaza benar-benar membuka pintu amal yang sangat luas. Dalam kalut perang, saya tidak duduk bersembunyi di balik pintu sambil mengucap dua kalimah syahadah, sebaliknya memaksa kami terus bergerak, memberanikan diri menghulur bantuan keperluan kepada mangsa perang yang tersepit akibat serangan penjajah dan kesempitan hidup.

Dengan bekal reda dan doa ibu bapa di Malaysia, saya terjun ke lapangan untuk bekerja. Bahaya dimana-mana namun sudah tiada ketakutan lagi yang bersarang di dada. Setiap kali melangkah keluar rumah, bangunan yang musnah mengingatkan bahawa puluhan ribu sedang hidup merempat dan bilion ringgit diperlukan untuk memulihkan semula Gaza.”

Nadir Al-Nuri

 

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/dato-dr-kapten-bakhtiar-tak-mudah-menyerah-kalah-jatuh-7-kali-maka-bangunlah-8-kali/

Pernah berdepan sendiri situasi peperangan secara langsung di depan mata, Nadir menyifatkan kezaliman serta kekejaman zionis Israel langsung tidak mengenali sempadan undang-undang antarabangsa. Demi jihad, semangat seorang Nadir Al-Nuri menghidupkan kesedaran kemanusiaan terhadap jutaan rakyat Malaysia, menjadikan beliau ikon Superhero terbaik yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara!

Sehingga ke saat ini, Nadir tekun berputus-urat berhabis-lelah menyedarkan masyarakat Islam Malaysia tentang situasi tegang yang menimpa bumi Palestin. Malah hingga usai temu bual kami, tentera penjajah masih mengasak umat Islam di sana melalui darat dan udara, membedil penduduk awam dengan kereta kebal dan mortar, mengorbankan ribuan syuhada, mencederakan ratusan ribu mangsa serta memusnahkan harta-benda tanpa sifat perikemanusiaan.

“Kisah perang terlalu banyak dan tahap kemusnahan susah untuk digambarkan. Harapan saya bahawa setiap detik masa, setiap amal jariah, setiap beban yang terangkat dari bahu saudara seagama kita – kalau ada padanya pahala, jadikanlah ia bekal berterusan untuk ibu bapa saya, untuk adik-beradik, isteri, anak-anak serta keluarga di sini,” ungkap Nadir perlahan.

Mengakhiri perbualan, Nadir sempat mengutuskan setinggi penghargaan kepada Majalah Nona yang sudi menghargai pengorbanannya selama ini. Penganugerahan Nona Superhero Award merupakan anugerah sulung yang diterima sejak mewakafkan diri sepenuhnya kepada ummah. Beliau turut berterima kasih kepada pasukan Cinta Gaza Malaysia, penyokong serta penyumbang yang tidak putus-putus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada saudara Islam di sana.

“Indahnya pahala ialah ia bukan seperti duit, makin diguna makin habis. Akan tetapi pahala itu sifatnya makin dikongsi, makin ia bertambah dan bertambah.”

Nadir Al-Nuri

 

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio)
Solekan: Ayang Kamell

Share
Published by
Norzalina