Kesederhanaan dan kelembutan peribadi YM Tengku Putri Robiatul Adawiah Tengku Haji Abdul Aziz atau digelar Tengku Putri ini begitu menambat hati. Dalam usia 41 tahun, kerabat Pahang itu tampak lebih muda berbanding usianya biarpun sudah memiliki empat cahaya mata.
Ads
Tengku Putri berketurunan kerabat Pahang di sebelah ayahandanya iaitu Almarhum Tengku Haji Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Abdullah Almuktasim Billah. Bonda Tengku Putri iaitu YM Cik Puan Kecik Pahang, Hajjah Habibah Abdullah juga berasal dari negeri yang sama dan kini berada di Pekan, Pahang. Tengku Putri merupakan anak bongsu daripada 12 bersaudara.
Tengku Putri kini aktif menjalankan perniagaan abaya eksklusifnya secara online yang dikenali sebagai Puteri Abaya.
“Sebaik suami ditugaskan ke Dubai, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menguruskan keperluan anak-anak termasuk melihat perkembangan mereka di depan mata. Sejak berhenti kerja saya terdetik untuk berniaga secara online. Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengisi masa terluang selain menambah pendapatan keluarga.
Suami turut memberi sokongan dan kebebasan untuk saya. Sambutan dan permintaan amat menggalakkan bukan hanya di Malaysia bahkan Indonesia dan Rusia,” ungkap graduan dari Universiti Putra Malaysia jurusan Pembangunan Manusia ini.
Ads
Tahun ini Tengku Putri menyambut lebaran di kampung halaman suami iaitu Kelantan. Menurut Tengku Putri, sambutan di sana sentiasa meriah kerana seluruh ahli keluarga dan sanak saudara akan berkumpul. Mereka juga akan mengadakan hari keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Tahun lalu saya sekeluarga menyambut lebaran di kampung halaman saya iaitu Pahang. Momen itu membuatkan saya sedih kerana cuma sempat beraya dengan suami pada hari raya pertama sahaja. Keesokannya dia terpaksa pulang ke Dubai menyambung tugasnya di sana.
Ads
Sedih sangat namun apa boleh buat sebab komitmen kerja. Anak-anak sering juga bertanya macam-macam tapi saya jelaskan dengan baik dan mereka boleh terima. Anak-anak memang rapat dengan suami lebih-lebih lagi anak bongsu kami.
Setiap kali menjelang raya juga saya pasti akan terkenangkan arwah ayah. Ini paling menyentuh perasaan saya walaupun arwah pergi ketika saya berumur 11 tahun. Hanya doa dipanjatkan tatkala rindu datang mengundang. Semoga rohnya sentiasa tenang di sana,” ungkap Tengku Putri.
Baca kisah selanjutnya tentang perkongsian momen-momen indah Tengku Putri semasa lebaran di halaman Tetamu Diraja dalam Nona Julai 2017.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penampilannya kini boleh dikatakan merupakan satu kejutan kepada sesiapa yang mengenalinya. Dahulu dia merupakan seorang yang sangat menonjol apabila berfesyen dan siapa boleh lupakan penampilannya yang pernah berambut blonde pendek. Namun itu mungkin perkara yang sudah lalu. Kini tampil berhijab dan berniqab, Sharifah Kirana lebih menjurus ke arah gaya hidup Islamik yang sederhana dan tidak keterlaluan.
Kongsinya tentang perubahan penampilan diri, “Proses transformasi stail dan juga cara saya berpakaian ini berlaku sedikit demi sedikit dan bukannya secara paksaan, jujur saya katakan ia bukannya mudah. Saya mula bertudung pada tahun 2008 namun masih belum istiqamah, keselesaan itu belum mendalam lagi dan kadang-kadang hati berasa ragu.
Walaupun terdapat rasa ragu untuk berubah, saya tetap meneruskan juga mula-mula dengan menutup kepada dan kemudian berhijab dengan molek. Saya mula benar-benar itiqamah bermula dua dan tiga tahun kebelakangan ini dan semakin selesa dengan penampilan berhijab serta berniqab sepenuhnya. Kalau nak tahu sejak berniqab saya rasa ia memberikan kebebasan kepada saya sebenarnya.”
Ketika Minggu Fesyen Malaysia 2017 berlangsung pada pertengahan September tahun lalu, dia mempersembahkan koleksi rekaan yang sopan menutup aurat wanita yang diberi nama SUCI by Sharifah Kirana. Bercerita tentang perubahan dalam nilai rekaan ini, dari riak suaranya penulis dapat merasakan kejujuran dan niat berada di dalam landasan yang menggembirakan hatinya.
“Sebenarnya ini lebih kepada kesedaran dalam hidup kita, jadi apa yang saya lakukan sekarang dari segi seni dan juga fesyen boleh menjadi bekalan saya di akhirat nanti. Saya mahu menghasilkan busana yang punya tujuan di samping mendapat keredaan Allah SWT. Selari dengan konsep ini, saya bakal menubuhkan ‘House of Aurat’ yang mengkhususkan menjual pakaian yang menepati syariat.
Namun semua kena faham, House of Aurat ini tidak semestinya kita mahu memaksa semua orang untuk tampil berniqab atau memakai tudung, tetapi saya mahu menggalakkan mereka memamakai busana yang lebih sopan. Oleh itu sasaran target pembeli saya adalah universal untuk semua orang tanpa mengira bangsa dan juga agama.”
*UNTUK MEMBACA TEMUBUAL INI DENGAN LEBIH MENDALAM. DAPATKAN MAJALAH NONA EDISI JANUARI 2018 YANG SUDAH BERADA DI PASARAN.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berbicara tentang keluarga dengan cucunda DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bernama YM Tunku Dato’ Indera Syazwan Kaiyisah ini, Nona berkesempatan mengetahui beberapa amalan yang menjadi kunci kebahagiaan mereka.
Kalau mengikuti media sosialnya, paling seronok kalau melihat keakraban keluarga diraja Pahang ini bila mereka berjumpa. Ikatan persaudaraan terlihat begitu erat termasuklah diri Tunku Kaiyisah sendiri yang merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.
Sambil tertawa kecil, Tunku Kaiyisah berkata, “Kami sekeluarga memang sangat rapat sejak kecil lagi. Saling menyokong dan tolong-menolong.
Pantang jika ada keraian, semua orang mesti datang. Itu amalan wajib kami walau sesibuk apa pun, mesti datang. Setiap bulan ada majlis hari jadi atau anniversary dan sekarang ni tiap-tiap tahun ada majlis perkahwinan sepupu-sepupu yang lebih muda,” cerita Tunku Kaiyisah yang menganggarkan jumlah ahli keluarganya mencapai 60 orang.
Tambahnya, kini beliau mempunyai 8 orang ibu dan bapa saudara yang sudah berkahwin (kecuali seorang), kira-kira 32 orang sepupu dan 5 orang cicit. Jumlah keluarga ini semakin lama semakin bertambah besar dan meriah dari tahun ke tahun.
Dunia kecantikan dan wanita ini memang sukar dipisahkan. Kerana minat berniaga dan obsesinya terhadap bidang kecantikan, Tunku Kaiyisah dan sepupu, Natasha Ozeir menubuhkan PrettySuci.com, sebuah laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia.
“Alhamdulilah, kami berada di landasan yang betul sepanjang tahun 2017 ini dan insyaAllah bakal menambah lebih banyak pilihan produk menjelang tahun depan. Buat masa sekarang, PrettySuci menawarkan 32 jenama dengan 250 jenis produk berbeza.
Kemudahan teknologi banyak memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat kajian dan menguruskan PrettySuci dengan baik. Secara tak langsung dapatlah beri tumpuan untuk keluarga,” jelasnya.
Beralih kisah tentang kehidupan peribadi, Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 2, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 9 bulan, ini sebenarnya seorang family person. Meskipun sibuk dengan bisnes yang sedang berkembang, tapi beliau bijak menetapkan had bagi mengimbangi peranan sebagai ibu dan isteri di rumah.
“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Tidak sempurna, tapi complete. Ada keluarga yang memahami dan kerjaya yang saya sukai. Cuma mungkin ada beberapa misi lagi yang mahu dibuat seperti menjadi lebih fit dan dari sisi spiritual, menambahbaikkan ibadah saya.
Di rumah walaupun ada dua pembantu, tapi kami tetap luangkan banyak masa untuk anak-anak. Bonda saya pun rapat dengan cucu dan beliau selalu pesan supaya berikan didikan terbaik buat anak-anak kami.
Dari segi penjagaan kecantikan, saya amalkan produk-produk di PrettySuci seperti Argania Wonder Oil untuk memelihara kelembapan kulit dan rambut, Naveen Hydrating Mask untuk menyegarkan wajah serta sebagainya kerana saya harus uji semua produk yang dijual.
Dulu saya selalu tengok bonda amalkan macam-macam suplemen, tapi saya pula lebih gemar makan makanan seimbang dan buat cold pressed juice untuk kesihatan. Minum air mesti banyak untuk atasi water retention dan cegah selulit,” akhiri Tunku Kaiyisah sambil menunjukkan botol air yang selalu dibawa. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Instagram @kaiyisah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai yang teringin nak jadi pengasas produk kecantikan tetapi ramai juga terkandas bila ejen, stokis dan team mulai down. Itu belum lagi hubungan di antara pengasas dan pengilang tidak sehaluan. Macam mana nak perhebat produk jika dua perkara ini tidak dijaga? Seronok dengar sharing Juju dan Izzat, ada petua yang mereka lakukan supaya setiap produk dapat menjentik hati orang ramai.
Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah diibaratkan dunia perniagaan kosmetik yang kini berkembang hebat. Disebalik kemurungan menghadapi penularan wabak Covid-19, masih ada lagi jenama kosmetik yang mendapat tempat di hati ‘beauty lovers’. Menemui pasangan duo kolaborasi terbaik Nadjua Zailani dan Izzat Roslan, mereka berkongsi keserasian dalam memastikan produk yang terhasil menjadi ‘rebutan’ orang ramai.
JUJU
Di usia masih muda, pengalaman Nadjua atau Juju dalam bidang perniagaan tidak semuda usianya. Berbekalkan minat mendalam terhadap dunia kecantikan, pelajar jurusan diploma farmasi ini akhirnya berjaya memiliki kilang sendiri dan ‘memegang’ jenama besar dalam penghasilan kosmetik. Banyak jenama terkenal mendapat hasil sentuhan Juju bagi memastikan produk dikeluarkan hangat di pasaran.
“Selepas enam tahun bekerja, baharu kini saya dapat membuka kilang sendiri. Beruntungnya saya kerana ketika menyambung pengajian dalam bidang farmasi, ilmu itu dapat saya gunakan dalam bidang kosmetik. Saya tahu bahan kandungan produk terbaik dan bahan yang boleh menjadi racun kepada sesuatu produk. Kelebihan itu juga saya gunakan untuk berkolaborasi dengan kilang lain untuk membuat R&D dan akhirnya mencipta produk.
Sebagai pengilang, ramai yang tidak menerima servis konsultasi dan saya lihat, itulah juga yang membuatkan lebih ramai pengasas produk bersama-sama saya. Bukan sahaja tentang penghasilan produk yang baik malah saya juga memberikan konsultasi dari segi pemasaran, sistem serta pengurusan team. Bagi saya, kejayaan sesuatu produk bukan terletak pada kebaikan produk itu sendiri tetapi lebih kepada strategi pemasaran dan sistem pengurusan yang baik.
Saya lihat jatuh naik sesuatu produk dan dari situ tentunya saya mengkaji masalah yang berlaku. Tak sanggup saya melihat orang yang melabur duit begitu banyak tetapi berakhir dengan kegagalan. Jiwa saya sentiasa bangkit untuk membantu orang lain,” ujarnya.
IZZAT ROSLAN
Bersama-sama Juju, siapa sangka guru pendidikan khas dari Melaka ini menjadi tulang belakang dalam jenama Projek Bungaa. Sungguhpun memegang title ‘cikgu’ sepenuh masa namun Izzat Roslan tetap aktif mengemudi pasukan.
“Ada yang tanya, senang tak seorang lelaki menjual produk wanita? Jujurnya, senang atau susah bergantung kepada kita. Kita buat apa yang kita minat. Sejak 2014 lagi saya sudah mula berniaga. Mungkin Allah permudahkan laluan untuk saya kerana saya bermula dengan produk Oli Candy. Sebagai pengedar tunggal di Melaka, tentunya banyak kelebihan yang saya dapat. Dari situ, saya mula bergerak dengan lebih cepat.
Sehinggalah saya bertemu dengan Bungaa. Sebagai orang belakang tabir, saya menggunakan kelebihan untuk memberi coaching dan menjadi penguat semangat kepada stokis dan ejen. Tetapi mungkin jodoh saya tidak panjang bersama Bungaa, akhirnya saya mengambil langkah untuk keluar dan meneruskan Projek Bungaa.
Dikalangan team saya kini terdapat ramai pengasas produk yang saya terima ketika bermulanya PKP Mac lalu. Walaupun mereka datang bersama team yang kecil tetapi mereka tidak perlu risau kerana segala strategi pemasaran sudah disiapkan. Mereka perlu mencabar diri menjual produk StickMatte kerana kebanyakkannya bukan dari latar belakang jualan kosmetik,” katanya.
KUMPUL PASUKAN
Berkongsi pepatah ‘segerombolan singa diketuai seekor biri-biri akan tewas dengan segerombolan biri-biri yang diketuai seekor singa begitu menggambarkan The Brainer ini di mana ketua itu sangat penting dari pengikut. Sikapnya yang tenang dan kesederhanaan dalam hidup membuatkan Izzat dan pasukannya tidak ‘tamak’ dalam menjalankan perniagaan.
“Saya sendiri tidak datang dari latar belakang perniagaan. Saya banyak belajar dari pengalaman dan tunjuk ajar dari orang yang berpengalaman. Saya pernah menjadi ejen, stokis, master stokis dan berada dalam pasukan jualan. Dari situ, saya ambil segala ilmu dan gunakan untuk membina team saya sendiri.
Bila buat bisnes, saya tak fikirkan duit dan bila tak dikirkan duit, kita pun takkan kusut. Kuncinya adalah bersyukur. Team saya pun setenang saya juga. Kami tetap cari peluang untuk pastikan barang jualan laku tetapi jangan terlalu menekan diri sehingga kita sendiri kusut.
Saya seronok berada dalam kumpulan ejen dan stokis kerana saya create mereka menjadi saya. Segala ilmu dan nasihat yang saya berikan kepada mereka bukan hanya untuk digunakan dalam penjualan produk saya tetapi mereka digalakkan untuk menggunakan ilmu itu sekiranya berada di luar pasukan.
Sebagai usahawan, sangat penting untuk kita menerapkan value yang tinggi. Sebagaimana Ustaz Ebit Liew menunjukkan keperibadiannya beliau, begitu juga yang cuba saya tonjolkan. Kita beri semula kepada masyarakat.”katanya.
“Kalau boleh, saya nak lebih ramai orang seperti saya. Saya harap sangat dapat membantu lebih ramai orang kerana kita hidup hanya sementara, penting lagi untuk kejar akhirat. Misi saya bersama Minaz Cosmetics ini adalah agar ia menjadi satu bidang yang hebat.
Untuk berjaya, kita berikan fokus kepada keutamaan. Jangan terlalu memandang keuntungan yang kita akan dapat, dan sentiasa bersyukur walaupun hanya 50 sen yang diterima setiap hari. Fikirkan selama mana kita hendak maintain perniagaan yang dijalankan. Janji kita fokus dan buat perkara yang boleh membuatkan kita enjoy!”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...