Kesederhanaan dan kelembutan peribadi YM Tengku Putri Robiatul Adawiah Tengku Haji Abdul Aziz atau digelar Tengku Putri ini begitu menambat hati. Dalam usia 41 tahun, kerabat Pahang itu tampak lebih muda berbanding usianya biarpun sudah memiliki empat cahaya mata.
Tengku Putri berketurunan kerabat Pahang di sebelah ayahandanya iaitu Almarhum Tengku Haji Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Abdullah Almuktasim Billah. Bonda Tengku Putri iaitu YM Cik Puan Kecik Pahang, Hajjah Habibah Abdullah juga berasal dari negeri yang sama dan kini berada di Pekan, Pahang. Tengku Putri merupakan anak bongsu daripada 12 bersaudara.
Tengku Putri kini aktif menjalankan perniagaan abaya eksklusifnya secara online yang dikenali sebagai Puteri Abaya.
“Sebaik suami ditugaskan ke Dubai, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menguruskan keperluan anak-anak termasuk melihat perkembangan mereka di depan mata. Sejak berhenti kerja saya terdetik untuk berniaga secara online. Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengisi masa terluang selain menambah pendapatan keluarga.
Suami turut memberi sokongan dan kebebasan untuk saya. Sambutan dan permintaan amat menggalakkan bukan hanya di Malaysia bahkan Indonesia dan Rusia,” ungkap graduan dari Universiti Putra Malaysia jurusan Pembangunan Manusia ini.
Tahun ini Tengku Putri menyambut lebaran di kampung halaman suami iaitu Kelantan. Menurut Tengku Putri, sambutan di sana sentiasa meriah kerana seluruh ahli keluarga dan sanak saudara akan berkumpul. Mereka juga akan mengadakan hari keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Tahun lalu saya sekeluarga menyambut lebaran di kampung halaman saya iaitu Pahang. Momen itu membuatkan saya sedih kerana cuma sempat beraya dengan suami pada hari raya pertama sahaja. Keesokannya dia terpaksa pulang ke Dubai menyambung tugasnya di sana.
Sedih sangat namun apa boleh buat sebab komitmen kerja. Anak-anak sering juga bertanya macam-macam tapi saya jelaskan dengan baik dan mereka boleh terima. Anak-anak memang rapat dengan suami lebih-lebih lagi anak bongsu kami.
Setiap kali menjelang raya juga saya pasti akan terkenangkan arwah ayah. Ini paling menyentuh perasaan saya walaupun arwah pergi ketika saya berumur 11 tahun. Hanya doa dipanjatkan tatkala rindu datang mengundang. Semoga rohnya sentiasa tenang di sana,” ungkap Tengku Putri.
Baca kisah selanjutnya tentang perkongsian momen-momen indah Tengku Putri semasa lebaran di halaman Tetamu Diraja dalam Nona Julai 2017.
This website uses cookies.