Tahukah anda selain mengagihkan duit kutipan zakat untuk menampung kos sara hidup asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal turut menyediakan khidmat bantuan berupa perubatan, pendidikan dan perniagaan. Bermatlamat untuk menjadikan golongan asnaf sebagai pembayar zakat kelak, sebuah Skim Bantuan Keusahawanan Institut Profesional Baitulmal dilaksanakan khusus bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Meskipun pengkhususan menjurus kepada golongan wanita namun tiada pengasingan gender untuk permohonan skim ini. Penglibatan wanita yang semakin ramai dalam industri perniagaan telah menarik perhatian Baitulmal untuk melaksanakan bantuan terlibat. Dalam masa sama menyahut seruan kerajaan untuk memartabat dan memperkasakan golongan ini memandangkan lebih 1 juta usahawan wanita telah berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga Januari tahun lepas.
Selain berkemahiran dalam bisnes jahitan dan pakaian, majoriti wanita yang memohon bantuan Baitulmal lebih tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana seperti makanan tetapi bukan yang berskala besar. Jenis perniagaan yang mahu diusahakan bergantung kepada keupayaan para pemohon itu sendiri selagi tidak bertentangan dengan syarak dan bukan perniagaan secara atas talian.
“Kita akan tengok orang yang betul-betul berpotensi. Buat permulaan, bantuan sebanyak RM5 000 disalurkan kepada yang layak. Dulu kita cuma beri RM5 000 saja tapi sekarang boleh sampai RM35 000. Bagaimana pun akan ada pemantauan dari semasa ke semasa. Kalau perkembangan bisnes bagus, kami akan tambah bantuan untuk bulan seterusnya secara berperingkat sehingga mencapai angka tersebut.
Bentuk bantuan pula merangkumi tiga aspek iaitu pemberian peralatan saja, modal saja atau peralatan dan modal. Contohnya daripada modal yang diberikan tadi, RM1 ribu modal tunai sementara bakinya untuk peralatan dapur gas, periuk nasi, ketuhar atau apa saja peralatan yang diperlukan untuk berniaga,” terang Ustaz Mohd Nizam Yahya yang merupakan Pengurus Bahagian Baitulmal.
Memetik kenyataannya lagi, beberapa prosedur saringan akan dibuat sebelum lembaga kewangan Islam yang bertindak membela kepentingan kaum fakir miskin ini meluluskan sesuatu permohonan. Kriteria yang akan diambil kira antaranya termasuk perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan, berniaga di Wilayah Persekutuan, bidang perniagaan tidak melanggar syarak, mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, berdaftar dengan SSM dan berumur 30 tahun dan ke atas.
Hasrat murni Baitulmal untuk menjadikan golongan asnaf sebagai pembayar zakat sememangnya bukan tugas mudah. Biarpun pengagihan bantuan diberikan kepada peniaga terlibat namun untuk menembusi pasaran di kota metropolitan Kuala Lumpur adalah agak sukar.
Berdepan taraf hidup yang tinggi dan tekanan ekonomi yang kian meningkat merupakan antara faktor yang merencatkan usaha badan kebajikan ini. Bahkan para usahawan yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal tidak mempunyai jaringan perniagaan yang kuat.
Bagi yang ingin memohon Skim Bantuan Keusahawanan Baitulmal boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang disediakan di pejabat MAIWP atau di lapan cawangan Pusat Agihan Zakat (PAZA) atau memuatnaik borang secara atas talian melalui laman web www.maiwp.gov.my. Borang yang telah lengkap diisi harus dihantar secara manual ke pejabat MAIWP.
This website uses cookies.