Kagum dengan sikap prihatin masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Baru-baru ini tular kisah keluarga kaum India yang ‘tersadai’ di tepi jalan akibat kereta rosak dibantu pasangan suami isteri berbangsa Melayu di Changkat Jering, Taiping.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan warga maya yang gembira melihat situasi menyenangkan tersebut.
M Prema dan keluarganya ketika itu dalam perjalannan pulang ke Ipoh selepas mengunjungi sebuah kuil di Taiping.
Difahamkan brek salah sebuah kereta yang dinaiki mereka mengalami masalah dan suhu tinggi kenderaan berkenaan membuatkan mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan.
Lalu berhenti di tepi jalan kira-kira jam 3.30 petang dengan keadaan waktu itu sedang hujan. Memetik kenyataannya kepada Harian Metro, “Sementara tunggu enjin sejuk, kami duduk di tepi jalan.
Kebetulan saya berhenti di hadapan rumah pak cik (individu yang membantunya) dan ketika itu dia mahu pulang ke rumah dan terus menyapa kami serta menawarkan bantuan.”
Pada mulanya mereka sekeluarga ‘berat hati’ untuk ke rumah lelaki itu kerana tidak mengenali dan bimbang menyusahkan individu tersebut.
Namun, lelaki warga emas berkenaan berulang kali mengajak dia dan ahli keluarga datang ke rumah kerana bimbang keselamatan mereka jika terus menunggu di tepi jalan.
“Kami ada sembilan orang kerana kami ke kuil dengan dua kereta. Jadi segan juga mahu pergi ke rumah pak cik dan isteri kerana memang tidak kenal mereka.
Kami kemudian pergi juga rumahnya selepas diajak beberapa kali malah turut dijamu dengan maruku, kuih bahulu, dan rambutan.”
Walau hanya 30 minit, M Prema bersyukur kerana mereka dilayan sangat baik bagaikan sudah lama mengenali.
Kisah ini menjadi bualan dan tular di media sosial selepas anak M Prema iaitu L Samini memuat naik gambar dan menceritakan serba sedikit kejadian yang berlaku di Facebook. Yang pasti, mereka tidak menyangka niat untuk memberi inspirasi kepada orang ramai ini meraih perhatian luar biasa.
Kejadian ini menjadi tular selepas anak M prema iaitu L Samini berkongsi kisah mereka di Facebook kerana mahu memberi inspirasi kepada orang ramai.
This website uses cookies.