RITA SOSILAWATI Kongsi Pengalaman Lucu Bersalin Anak Keempat, Galak Ibu Bapa Buat Aqiqah & Tahnik Pada Hari Ke-7 Kelahiran!

Tahniah buat Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Rita Sosilawati dan suami, Khamarulazlan Mohammad Hanafiah atas kelahiran anak keempat mereka pada 19 Disember lepas. Walaupun baru 11 hari, tapi Rita nampaknya makin cergas dan ceria macam sudah habis berpantang. Luar biasa sungguh semangat Rita kali ini!

Baru selesai mengadakan Majlis Aqiqah dan Tahnik pada 25 Disember lalu, Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana cukup ramah menyambut panggilan penulis. Mengakui masih berpegang kuat kepada amalan berpantang tradisional, dia turut meluahkan rasa kagum kerana kelahiran Khalil Rizqullah dipermudahkan Allah SWT.

“Mulanya saya pergi ke hospital pukul 9 pagi kerana nak induce. Tapi, tak sangka pula akan bersalin hari itu juga sebab bila periksa laluan dah terbuka 3 cm. Walhal saya tak rasa sakit atau apa-apa langsung. Bila dah jadi macam ni, doktor hanya suruh saya dan suami untuk tunggu dan lihat. Pukul 12 tengah hari, doktor suntik epidural.

Daripada pembukaan 3 cm ke 6 cm memang mencabar, ambil masa 5 jam. Tapi untuk tunggu sampai 10 cm, hanya 10 minit saja. Alhamdulillah, sangat cepat dan sangat senang. Saya sendiri tak percaya kelahiran kali ini dipermudahkan. Tak rasa stres dan happy saja.

Lucunya, masa dalam labor room dan tengah tunggu bersalin, doktor dan suami tengah bergurau. Masa tu juga saya terteran dan bayi terus keluar dalam keadaan saya tergelak sama dengar gurauan mereka. Masing-masing pun terkejut,” kongsi Rita yang selamat melahirkan anak keempatnya itu di Prince Court Medical Centre secara normal.

Tambahnya lagi, setiap kali sebelum bersalin dia akan mengamalkan air selusuh daripada seorang ustaz. Bila pembukaan masuk 3 cm, dia akan minum air tersebut sampai habis dan selama tunggu hendak bersalin Rita akan baca surah Yassin, ayat Kursi dan 4 Qul atas katil bersalin.

Pesannya, tidak kisah apa jua bacaan surah dan ayat sekalipun asalkan boleh menenangkan perasaan. Baginya, dia hanya mampu baca sekali dan kemudian tetapkan niat kepada Allah serta teruskan perjuangan untuk bersalin pula.

Menyentuh petua berpantang yang diamalkan, selain mengikut nasihat doktor dan ambil ubat-ubatan daripada hospital dia juga ada mengambil jamu. “Saya memang amalkan jamu dari awal proses lagi untuk mengembalikan bentuk badan dan apa yang telah hilang sepanjang mengandung serta bersalin. Mungkin bagi sesetengah orang bila ibu makan jamu akan bagi kesan pada bayi. Alhamdulillah, badan saya sesuai dengan jamu ini mungkin sebab sudah amalkan sejak anak pertama lagi.

Masa pantang inilah saya akan buat sauna, mengurut, bertungku dan rutin-rutin biasa ketika berpantang. Hari kedua di hospital lagi pun saya dah minta mak bidan datang ke wad untuk urut, tak mahu badan terlalu kembang sebab saya dan suami sudah berpakat hendak ikut sunnah buat majlis aqiqah dan tahnik pada hari ketujuh selepas kelahiran. Hari ketiga, saya dah terus balik ke rumah,” terangnya yang pertama kali membuat majlis aqiqah, tahnik dan mengisytiharkan nama anak mereka pada hari ketujuh kelahiran. Kata Rita, sambutan majlis tersebut berbeza daripada sebelumnya dan sarat dengan ketenangan, keberkatan dan kerahmatan Allah. Satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.

Mengimbas kembali waktu mengandungkan Khalil, ibu kepada Kaisar Raees, Khalid Rashad dan Khaylila Rafaahiyah ini juga tidak mengalami sebarang alahan. Sebaliknya hanya cepat berasa letih dan kerap tidur kerana kekurangan hemoglobin sel darah merah. Pengalaman hamil anak keempat ini juga meninggalkan 1001 kenangan termasuk mengidam Thai Street Food.

“Waktu usia kandungan cecah 6 bulan, suami benarkan saya dan seorang kawan pergi ke Bangkok, Thailand semata-mata untuk penuhi keinginan selera saya. Kalau selama ini pergi ke sana untuk shopping, kunjungan waktu itu semata-mata untuk makan pulut mangga, tom yam dan macam-macam. Pergi ke floating market dan cuba menu street food mereka sampai buat researchlah,” ungkap Rita sambil ketawa.

Sebelum mengakhiri perbualan, Rita sempat memberitahu dia akan kembali aktif mengendalikan perniagaan NV tahun depan dengan memberi tumpuan promosi produk masker. Selain itu, wanita berjiwa besar ini juga bakal mengeluarkan koleksi tas tangan Victoria Sloane musim lebaran, sekitar bulan April depan sebelum Ramadan.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi