Anak-anak baik perempuan mahupun lelaki haruslah dilatih sejak kecil dalam membuat kerja-kerja rumah bagi membantu mereka berkembang menjadi seorang yang prihatin, bertimbang rasa serta bertanggungjawab apabila dewasa kelak. Contohnya, ibu-ibu boleh mengajak anak-anak membantunya di dapur.
Sedia maklum, ruang dapur yang direka sempurna haruslah mesra pengguna termasuklah kepada kanak-kanak. Ruang dapur juga berperanan penting sebagai zon interaksi sesama ahli keluarga. Oleh itu, ia haruslah selamat dan mesra dengan kanak-kanak berpandukan tips-tips berikut.
PENSTORAN
Bina satu kabinet khas yang boleh dijadikan tempat menyimpan peralatan untuk anak-anak seperti botol, cawan dan sebagainya. Apabila anak-anak semakin membesar, zon penstoran tersebut berguna untuk mereka menyimpan snek, bahan kerja sekolah dan sebagainya.
PENCAHAYAAN
Pastikan sumber cahaya mencukupi di dapur terutama di kaunter pulau atau kaunter bar. Kanak-kanak gemar dan lebih selesa membuat kerja sekolah di zon tersebut. Tambahan, anda sendiri lebih mudah memantau anak-anak. Metakkan lampu gantung di bahagian kaunter pulau atau kaunter bar merupakan pilihan yang praktikal.
LANTAI
Lantai dari material kayu atau buluh menjadi pilihan yang sangat baik. Walaupun lantai jubin seramik misalnya turut memiliki ketahanan yang kuat, namun ia lebih selamat untuk kanak-kanak. Kemalangan seperti terjatuh di dapur boleh diatasi lebih baik melalui lantai jenis kayu berbanding jubin ini.
PAPAN KENYATAAN
Memandangkan ruang dapur banyak digunakan oleh anak-anak untuk membuat kerja sekolah, sediakan satu ruang untuk menempatkan papan hitam atau papan kenyataan yang boleh digunakan untuk menampal jadual, nota dan sebagainya.
KAUNTER TOP
Antara material yang dicadangkan ialah jenis marmar. Kanak-kanak yang berumur bawah empat tahun misalnya boleh menjadikan kaunter top marmar sebagai peneman di dapur. Biarkan mereka bermain di situ mahupun menconteng di atas kaunter top itu.
KETUHAR GELOMBANG MIKRO
Galakkan kanak-kanak yang ingin membantu kerja dapur untuk menggunakan ketuhar gelombang mikro kerana kejadian melecur boleh dielakkan. Caranya anda boleh menempatkan ketuhar gelombang mikro di bahagian kaunter pulau agar kanak-kanak mudah membantu kerja dapur dan menyediakan makanan kegemaran mereka.