Ralit memerhati segenap inci foto-foto Aidilfitri Rozita Che Wan sekeluarga yang dimuat naik di laman Instagram milik isteri kepada Zain Saidin ini. Mana tidaknya, bukan sahaja mata dijamu dengan fesyen Raya sedondon keluarga ini yang sememangnya memukau, malah lokasi foto ini dirakamkan juga mencuri tumpuan.
Melihat koleksi foto keluarga ini sempena Aidilfitri, siapa sangka ia dirakamkan di banglo mewah milik Che Ta dan keluarga. Terkesima melihat dekorasi yang diterapkan untuk banglo ini, NONA berkesempatan menemubual Rozita Che Wan berkongsi kisah dekorasi kediaman baharunya itu.
Menurut ibu kepada tiga cahayamata ini, konsep kediaman tersebut mengetengahkan konsep Classic English dengan sentuhan peribadi oleh Rozita Che Wan sendiri. Gaya Inggeris banyak membawa imej yang lembut, segar dan tenang dengan sentuhan mewah. Konsep klasik itu diberi nafas baharu oleh Che Ta apabila ia disisipkan dalam rekaan gaya lebih relevan bersesuaian dengan citarasanya.
Esen rekaan klasik merupakan tafsiran kepada elemen glamor atau elegan, sesuai dengan personaliti Che Ta yang sememangnya sinonim dengan gaya glamor dan elegan pada setiap masa. Di tambah pula dengan elemen atau motif klasik pada segenap ruang dekorasi banglo tersebut, sinergi persekitaran lebih segar dan tidak membosankan kerana terdapat nilai tambah dalam seni tata hias ala Inggeris Klasik.
Dalam foto Instagram yang dikongsi oleh Che Ta, mereka sekeluarga mengambil kesempatan bergambar sempena Hari Raya di ruang tamu utama serta ruang makan utama yang terdapat di banglo mewah ini.
Penggunaan lampu chandelier
Ruang tamu utama banglo mewah Che Ta turut menggunakan lampu chandelier klasik yang mempunyai prisma kristal tergantung untuk menerangi ruangan cahaya yang dipantulkan. Gaya ini amat bersesuaian untuk kediaman yang inginkan suasana yang nampak mewah lagi majestik untuk ruang tamu.
Bijak Che Ta memilih dekorasi ruang tamu yang diserikan dengan gabungan perabot mewah dan rona keemasan yang nampak klasik tetap elegan dalam kelasnya yang tersendiri!
Meskipun gembira dapat beraya di rumah sendiri, Che Ta berkata kediaman tersebut belum lengkap sepenuhnya kerana terdapat beberapa ruangan yang belum siap sepenuhnya.
“Kediaman ini belum siap sepenuhnya. Terdapat beberapa benda yang belum lengkap seperti langsir, wall light dan beberapa kabinet yang ditempah dari England belum sampai,” – Che Ta.
Che Ta turut berkongsi ruangan kegemarannya di banglo baharunya itu di mana dia amat menggemari bilik tidur utama kediaman tersebut yang disifatkan memiliki sentuhan peribadi untuk keselesaan suami isteri.
Sebelum menutup bicara, ketika ditanya mengapa memilih konsep Classic English, jawapan Che Ta sememangnya luhur menggambarkan keperibadian dirinya yang memilih gaya elegan dan ‘next level’ dalam apa jua yang dilakukannya.
“Kenapa ya? Agaknya memang gaya dekorasi Classic English sesuai dengan jiwa saya. Saya pernah cuba nak buat konsep modern untuk ruangan keluarga tapi bila kita sendiri yang sentuh , tetap jadi konsep yang sama! Nampaknya Zain dan anak-anak terpaksa redha menerima ‘sentuhan kreativiti’ saya. Alhamdulillah, mereka juga menggemari dekorasi yang terdapat di kediaman keluarga ini,” ujar Che Ta seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.