EPISOD DUKA DEPAN MATA
Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berusia 13 tahun ketika menyaksikan kediaman keluarganya diserbu oleh sepasukan anggota polis. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa yang sedang berlaku.
“Pada usia 13 tahun ketika itu, saya sudah tahu apa yang sedang berlaku. Keperitan dan kesedihan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi berkat doa dan sokongan ramai, semangat kami adik-beradik tidak pernah luntur. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang figura bapa yang amat optimis dan exceptional. Selain itu, sikap mama yang penyayang, penuh kesabaran dan selalu bersifat positif juga menjadi nadi kekuatan kami. Kombinasi ini sememangnya luar biasa dan merekalah sumber kekuatan kami adik beradik,” jelas Nuha yang ternyata bangga mempunyai ibubapa yang penuh dedikasi dan tahap kesabaran yang tinggi.
“Mengenang kembali saat itu, pastinya meruntun hati tetapi ia adalah antara episod duka yang banyak mematangkan saya,” ujar Nurul Nuha yang menjadi insan hebat di belakang kakak sulungnya, Nurul Izzah.
BANGKIT BERJUANG
Bukan sekali, malah dua kali melihat bapanya dipenjarakan merupakan tamparan hebat yang harus dilalui oleh keluarga ini. Episod hitam kembali berlaku apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’ yang hanya mampu melihat tanpa melakukan apa-apa. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup mematangkan untuk dirinya berjuang mencari keadilan buat si ayah.
Nuha dengan sokongan ahli keluarga telah menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.
“Kempen itu sebagai manifestasi saya mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarga selepas papa ditahan akibat ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara. Kempen March To Freedom adalah kesinambungan perjuangan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarga menjalani kehidupan penuh emosi yang sukar digambarkan melalui kata-kata,” ujar Nurul Nuha yang mempunyai rupa para seiras ibu tersayang.
Tambah Nurul Nuha lagi, kempen yang dilancarkan pada 11 Februari 2015 telah digerakkan melalui platform media sosial termasuk di peringkat antarabangsa.
“Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang,” ujar ibu kepada tiga cahayamata ini lagi.
“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.
“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” kata graduan dari George Mason University Amerika Syarikat ini.
SYAWAL NAN DINANTI
Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, Nuha memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Sambil berseloroh, Nuha berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan bersama keluarga kerana sudah lama tidak menikmati momen indah seperti ini.
“Alhamdulillah, kami dapat meluangkan masa dengan keluarga dengan harapan tak makan sampai sakit perut. Dengan nikmat begini, kami doakan dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang tidak dapat bersama keluarga supaya tabah dan mendapat ketenangan dan kesabaran InsyaAllah,” ujar Nuha sambil memandang adik-adik yang lain ketika sesi fotografi dijalankan.
Sambil bercerita mengenai kenangan musim perayaan yang lalu, tambah Nuha lagi dia menantikan detik indah dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.
“Tahun lalu, Kak Izzah dan Iman memasak menu rendang dan tak sangka sedap dan menepati citarasa kami. Jadi tahun ini tidak pasti samada rendang istimewa ada dalam rancangan atau tidak. Persiapan Raya memang kelam kabut, tapi kepentingan itu lebih kepada meluangkan dengan keluarga”, sambung Nuha lagi.
Nurul Nuha turut melahirkan rasa kesyukuran kerana kesabaran dalam mengharungi liku-liku hidup telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama adik-beradik tersayang. Selain itu, perjuangan reformasi juga telah membuka mata mereka dan rakyat Malaysia khususnya untuk melalui pelbagai rintangan dan kesusahan.
“Papa dan mama senantiasa mengingatkan kami, ada kuasa yang lebih kuat dari apa sekalipun adalah ALLAH SWT. Jadi, sentiasa berzikir dan berdoa selepas tawakkal dan usaha. Doa menjadi rutin harian, cekal dan berazam agar mendapat ketenangan dan kemenangan,” ujar Nuha penuh makna.