Luar biasa cantik, padanlah rumah ini jadi port #OOTD keluarga, rupanya sentuhan pasangan Firziey ‘tukar wajah’ teres lot tepi di Seri Kembangan ini.
Melangkah ke taman perumahan elit di Seri Kembangan, tersergam sebuah kediaman teres lot tepi yang telah diubah suai sebegitu indah.
Terletak berdepan pondok pengawal keselamatan, transformasi kediaman milik pasangan pereka fesyen, Mohamad Firdaus dan Wazieen Sidek daripada Firziey Couture ini memberikan aura istana Inggeris yang glamor.
Pernah berniaga kecil-kecilan di pasar malam sebelum membuka butik sendiri, saksikan kisah inspirasi Firziey ini…
Berusia 33 tahun, Wazieen yang mesra disapa Azie merupakan ibu kepada 4 cahaya mata. Wanita Kelantan ini setia membantu suaminya berniaga, malah asalnya pernah menjual tudung dan mengambil tempahan baju di pasar malam.
Bermula dari situ, pasangan Firziey menjadikan apartment mereka sebagai butik sebelum berpindah ke sebuah shoplot di ibu kota.
“Rumah ini dihias indah supaya boleh dijadikan ‘port’ #OOTD anak-anak atau mini studio untuk kempen Firziey Couture. Mudah bila ada penggambaran, kami buat saja di rumah,” cerita Firdaus tentang rumah yang baru dihuninya sejak Ramadan lepas.
Turut menjadi tempat #OOTD keluarga, rumah pasangan Firziey yang ditukar wajah dari sekadar teres lot tepi ini turut kelihatan persis istana Inggeris.
Menjadikan Pinterest sebagai sumber rujukan, Firdaus tidak menafikan pernah melihat dan suka dengan konsep dekorasi kediaman TokRI atau Dato’ Rizalman Ibrahim.
“Ya, tapi ruang interior di rumah ini saya olah sendiri mengikut cita rasa saya. Kecuali ruang dapur yang mana saya serahkan pada isteri untuk memilih konsep dan warna kesukaannya,” jelas Firdaus yang memiliki kemahiran seni kreativiti yang luar biasa.
Paling menarik, tentu sekali meninjau ruangan laman tepi rumah ini yang berkonsepkan villa Roman. Ada kolam air pancut dengan deretan pasu tanaman yang rimbun menghijau, cukup menyamankan!
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/wujudkan-musolla-impian-surina-mohd-zain-sejak-diami-banglo-di-shah-alam/
“Booking Client Terpaksa Dibatalkan Sampai Hujung Tahun & Deposit Dipulangkan” SOFIAH Yakin Dengan Rezeki
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia hampir 2 tahun ini membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Bukan saja rutin harian bahkan ekonomi antaranya sektor perniagaan. Tidak semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi antaranya perkhidmatan perunding acara.
Pengasas SA EVENTS, Sofiah Abdullah, 40, turut berhadapan dengan situasi tersebut apabila terpaksa menangguhkan segala aktiviti perniagaannya yang melibatkan pengacaraan dan rundingan acara. Sofiah merupakan kakak kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3, Akma Abdullah yang kini bergelar penyanyi, hos dan pelakon.
“Sememangnya pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perniagaan saya kerana banyak acara yang ditempah oleh klien hingga hujung tahun terpaksa dibatalkan. Ada sesetangah mereka yang dah bayar deposit booking juga saya terpaksa pulangkan duit mereka bila melihat situasi yang begitu kritikal ketika ini.
Kalau dulu perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah untuk majlis pernikahan, perasmian syarikat korporat dan majlis-majlis sekolah. Setiap bulan sekurang-kurangnya ada 4 majlis yang menggunakan perkhidmatan daripada SA EVENTS, selalunya hujung minggu.
Saya menyediakan perkhidmatan seperti perunding acara di bawah syarikat sendiri iaitu
SA EVENTS yang mengendalikan perkhidmatan majlis seperti perkahwinan,
perasmian, sukan sekolah, harijadi dan yang melibatkan perkhidmatan Pengacaraan dan PA System (Sistem Siar Raya). Setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan saya membuat keputusan untuk lebih serius lagi. SA EVENTS kini memasuki tahun ke-2.
Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya merupakan pekerja sektor awam bertugas sebagai juruhebah Radio Klasik Nasional (sekarang Radio Klasik) dari tahun 2005-2011 dan seterusnya berkhidmat sebagai Penerbit di Saluran TV2, RTM. Setelah berumahtangga pada 2008, dan mempunyai cahaya mata tahun 2011 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014.
Bermula detik itu saya melangkah sendirian dengan menjadi pengacara majlis di majlis-majlis keraian dan menjadi konsultan kepada acara-acara korporat dan perseorangan. Pada Disember 2018 saya mengambil keputusan untuk set up business sendiri menubuhkan SA EVENTS dengan membeli peralatan PA System dan memberikan perkhidmatan pengurusan acara majlis kepada klien.
Antara sumbangan kecil saya sepanjang terlibat dalam bidang ini ialah berkolaborasi dengan Breast Cancer Foundation dan klinik swasta. Saya bertindak sebagai jurucakap dan pengacara ketika bulan kesedaran kanser payudara. Saya turut memberikan khidmat juruacara secara percuma sebagai sokongan kepada pesakit kanser (cancer survivor).
Saat paling down pernah saya lalui dalam perniagaan apabila mendapat rakan-rakan bisnes yang tidak jujur. Sebagai rakan kongsi saya ditipu dan dipermainkan dari segi kewangan. Wang habis begitu sahaja kerana terlalu percayakan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiri sendiri tanpa rakan kongsi,” kongsi ibu anak 2 ini.
Bapa Sofiah seorang pesara kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah. Semasa kecil, ibunya berniaga kuih di kawasan perumahan.
“Selalunya saya, kakak dan adik akan membantu ibu di dapur menyiapkan kuih-muih dan tempahan pelanggan. Kuih ibu yang paling popular ialah ketayap yang sering ditempah oleh pihak hotel kerana ia antara kuih kegemaran Tun Mahathir ketika itu,” ungkap anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
TETAP BERSYUKUR
Walau apa pun yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan sebagai juruhebah sambilan di Radio Salam FM 91.1 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika keadaan kembali pulih dan kerajaan membenarkan sektor sosial, saya akan mulakan operasi perniagaan ini semula.
Pendorong utama semestinya suami yang sentiasa membantu menguruskan perniagaan kecil-kecilan kami. Ibu bapa dan keluarga juga antara yang sentiasa memberikan semangat sewaktu susah dan senang saya.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jangan meminta-minta kepada orang, sentiasa mengharapkan pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan keluar dari segala kesulitan.
BIJAK BAHAGI MASA
Saya seorang yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Dalam apa jua keadaan keluarga adalah keutamaan. Saya akan pastikan keperluan suami dan anak-anak serta ibu bapa sudah disiapkan kemudian barulah boleh bekerja atau melayani klien. Apapun kasih kayang keluarga mendahului segalanya kemudian barulah datangnya rezeki.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan mahupun kerjaya, setiap wanita perlu tahu apa kehendak dan keinginan untuk terus berjaya. Lakukan perkara yang kita suka, bukan kerana terpaksa dan dipaksa. Memang zaman sekarang wanita juga perlu mencari rezeki tapi jangan memaksa diri akibatnya sakit di kemudian hari. Lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas dan minat barulah akan datang kesungguhan itu walaupun kerja yang dilakukan amat sukar. Suami juga memainkan peranan penting untuk mendorong emosi isteri.
Impian saya ingin membuat kelas pengacaraan dan pengurusan acara buat anak-anak muda yang sukakan bidang ini. Saya juga berhasrat ingin menjalankan acara khusus melibatkan kaum Muslimah sahaja bagi mereka yang ingin menjaga aurat untuk sebarang majlis melibatkan wanita. Saya juga akan kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada jika satu masa nanti ada pihak yang sudi bekerjasama.
Bersesuaian dengan keadaan sekarang bisnes ini amat membantu saya menjana ekonomi kerana pengurusan acara adalah sesuatu yang mendapat sambutan setiap masa. Ada sahaja acara-acara yang diadakan di sekeliling kita, rugi jika kita tidak jadikan ia bidang komersial kepada kaum wanita kerana kebanyakannya dimonopoli oleh kaum lelaki. Saya yakin, wanita juga mampu melaksanakannya jika ada kesungguhan.”
Kredit Foto: Instagram @sofia8181
Beli Rumah Pertama Umur 21, Janna Nick Anggap IBU & Famili Punca Rezeki
Siapa yang tidak kenal dengan figura cantik dan berkulit putih ini. Walaupun gadis yang sering melemparkan senyuman ini baharu berusia 24 tahun namun perwatakannya lebih matang daripada usia sebenar. Penglibatan gadis yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam usia yang begitu muda mungkin membuatkan dirinya kelihatan lebih dewasa.
Bersemuka dengan figura yang mempunyai nama komersil Janna Nick ini benar-benar telah menyentuh hati kecil penulis. Siapa sangka penyanyi lagu Mungkin Saja ini sanggup buat apa sahaja atau berhabis demi keluarga tercinta. Terpancar riak bahagia di wajah Janna Nick setiap kali berbicara tentang keluarganya.
“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ianya merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Pada saya lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan. Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. Berbicara tentang perancangan kewangan pelakon drama adaptasi Korea, My Coffee Prince ini, “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama di usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama,” ujar Janna Nick yang mahu beli sebuah lagi rumah pada tahun ini.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan.”Tahun ini saya lebih memilih watak kerana mahukan kualiti bukan kuantiti. Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Bergelar Doktor & Ada 2 Bisnes, Kejayaan FASIHA LATIFF Di Usia 28 Tahun Cetus Inspirasi!
Baru berusia 28 tahun tapi Dr Fasiha Latiff dah berjaya meraih pelbagai pencapaian dalam hidup. Dia bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik dan bijak tapi sangat komited mengejar impian. Mana tidaknya, dalam kesibukan kerjaya sebagai doktor… Dr Fasiha tetap mempunyai masa untuk menceburi bidang perniagaan. Memang patut dijadikan inspirasi!
Ketika dihubungi Nona baru-baru ini, Fasiha atau nama penuhnya Nurfasiha Abdul Latiff terbuka berkongsi sisi hidup. Enggan dianggap riak dengan kejayaan yang diraih hari ini, anak kepada pasangan Abdul Latiff Tahir dan Badriyah Hassan berkenaan mengharapkan agar perkongsian ini menjadi pembakar semangat kepada kaum wanita lain untuk terus berjaya.
Memiliki kelulusan dalam bidang perubatan dari Trinity College Dublin, Dr Fasiha bersyukur impian untuk menjadi doktor akhirnya dimakbulkan. “Buat masa sekarang, saya berkhidmat sebagai doktor pelatih di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur dan bertugas dia bahagian Ortopedik (pembedahan tulang).”
Selain minatnya dalam bidang perubatan, Dr Fasiha turut optimis bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti. Setakat ini, dia mengusahakan perniagaan tudung Mulan Scarf dan merupakan pemilik jenama pakaian perubatan ‘scrubs’ Three O.
Ujar adik kepada pelakon Fathia Latiff ini, “Saya sudah lama mengusahakan perniagaan Mulanscarf yang menjual tudung, iaitu sejak dari zaman student lagi. Masa tu saya buat untuk mengisi masa lapang dan lama-kelamaan minat untuk berniaga mula terdetik. Untuk medical scrubs pula, saya baru mulakan sejak September tahun lepas.
Idea ini datang bila saya nak belikan hadiah hari jadi untuk tunang tapi tak dapat nak cari baju yang sesuai untuk dia. Jadi, saya pun buat baju scrubs untuk dia. Tak sangka, lepas tu ramai pula orang yang tanya. Dari situ, saya dan tunang mulakan bisnes scrubs ini bersama-sama.”
Ditanya mengapa memilih nama Three O dan Mulan, Dr Fasiha nyata ada jawapan tersendiri. “Three O atau 3/0 ialah antara saiz benang yang selalu digunakan dalam dewan pembedahan sebab itu saya gunakan nama tersebut sebagai simbolik dengan dunia perubatan. Manakala nama Mulan pula diambil kerana ia adalah karakter Disney kegemaran saya.
Tahun ini merupakan tahun kelima saya berniaga Mulanscarf. Sepanjang lima tahun ini juga kami sudah mempunyai hampir 20 koleksi tudung. Untuk Three O pula, baru ada dua koleksi dan kami memang merancang nak tambah lagi pilihan koleksi bagi kedua-dua perniagaan ini.”
Selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan pada Januari lepas, wanita cantik ini memaklumkan setakat ini mereka belum ada tarikh tetap untuk mengadakan majlis perkahwinan memandangkan situasi semasa Covid-19. Namun anak bongsu daripada lima beradik ini tidak menolak kemungkinan akan mendirikan rumah tangga sebelum akhir tahun ini.
Diaju pertanyaan adakah dia mungkin akan mengikut jejak langkah kakaknya bergelar anak seni suatu hari nanti? Sambil tertawa Dr Fasiha berkata, “Buat masa ini saya tak pernah terima lagi sebarang tawaran berlakon dan sebagainya. Saya pun tak pandai berlakon. Minat saya lebih cenderung kepada bidang perubatan dan bisnes.”
Tidak dinafikan, Dr Fasiha memiliki kulit wajah yang bersih dan cantik. Kalau tengok rupa paras ibu Dr Fasiha pun, jelas dia mewarisi kecantikan milik ibunda tersayang. Mengulas amalan rutin kecantikan yang diamalkan, tanpa berselindung dia mengakui tidak mengamalkan petua khusus. Sebaliknya hanya melakukan rutin penjagaan wajah yang normal.
“Saya tak amalkan apa-apa yang luar biasa. Cuma ‘facial cleanser’, toner dan krim pelembap. Tak lupa juga sunblock.”
Harapan Nona semoga segala impian Dr Fasiha untuk berjaya dalam bidang perubatan dan perniagaan dipermudahkan. Seterusnya kejayaan yang diraih wanita muda ini dapat dijadikan pembakar semangat dan inspirasi.
Kredit foto: Instagram Dr Fasiha