RUMAH TERBUKA Mengajar Kita Merawat Jiwa! Fahami Konsep Sebenar Penganjurannya

Apakah perasaan kita bila menerima jemputan ke majlis rumah terbuka? Jawapan yang pasti, tentunya gembira, walaupun barangkali ada yang berduka jika jemputan tidak dapat ditunaikan atas sebab bertindih jadual atau sudah ada perancangan lain. Maklum konsep, ‘puasa sebulan maka berhari raya pun mestilah sebulan… Makan sakan, kata orang sekarang. Siapa yang tak suka makan percuma?

Persoalan seterusnya, apa yang kita dapat setelah menghadiri rumah terbuka tersebut, selain kenyang dan bertambah berat badan? Adakah kemesraan yang ikhlas bertambah, atau sekadar memaparkan ‘senyum kamera’ pada tetamu yang ditemui, atau mahu menunjuk baju raya termoden, ataupun… menunjuk muka pada tuan rumah agar tidak dikatakan tak sudi pula datang ke rumahnya?

Bagi tuan rumah pula, apa yang meningkat? Adakah ikhlas memberinya meningkat atau sekadar belanja majlis, sombong dan riak yang meningkat? Walau apa pun jawapannya, paling tidak tuan rumah sudah dapat penghormatan daripada tetamu yang dijemput dan sudah mampu tersenyum kerana masih ramai tetamu yang sudi datang ke rumahnya dengan pelbagai ucapan maaf yang dilontarkan.

Jika meneliti sejarah hari raya sejak kita kenal konsep hari raya masa dulu, kita dapat melihat sudah ada kelainan besar dalam cara berhari raya. Jika dulu hari raya ialah hari kunjung-mengunjungi secara bebas, tanpa perlu ada makanan yang disediakan terlebih dahulu, tanpa menunggu jemputan khusus, tanpa ada tarikh khusus, yang pasti di setiap rumah kita tetap dapat sambutan hangat daripada tuan rumah hingga dirasakan senyuman dan maaf yang diberikan sangat ikhlas dan segar dalam ingatan ketulusan dan kewangian keakraban antara tetamu dan tuan rumah amat terasa.

Gambar hiasan

Tiada istilah rumah terbuka kerana semua rumah adalah tersedia dan terbuka untuk dikunjungi oleh semua tetamu dan sanak saudara dengan satu tujuan paling kudus iaitu mencari kemaafan dan ampunan antara sesama kerabat dan sahabat. Bila masa berlalu, sekali air bah sekali pasir berubah, maka sambutan hari raya sudah ditukar kepada merayakan hari rumah terbuka. Dilaksanakan dalam bentuk yang berbeza sekali, perlu ada barisan tetamu yang dipilih, ada menu yang tersedia mengikut jumlah tetamu yang dijemput dan ada tarikh dan masa tertentu, ada atur cara tertentu, dan kadang–kadang ada hidangan yang tidak sesuai dengan semangat hari raya.

Rumah terbuka sudah jadi satu mini kenduri yang juadahnya juga macam kenduri dan juru saji tertentu mengikut status tuan rumah. Jika tinggi status, tinggi pendapatan dan tinggi kedudukan maka rumah terbukanya juga “ada klaass gitu”. Lagi banyak jenis makanan yang disajikan maka lagi tinggilah sanjungan yang diterima tuan rumah daripada tetamu, terutama sanjungan daripada tetamu kehormat (VIP dan VVIP).

Ini kerana tetamu bukan lagi jiran tetangga (40 rumah di keliling rumah) malah bukan juga jiran, tapi orang jauh, dari jabatan, kenalan perniagaan, rakan sekerja, rakan sekelab, dan rakan kongsi perniagaan dan orang yang mampu memudahkan kepentingan di masa depan dan paling sedikit sanak-saudara dan ipar-duai dan jiran terdekat dan mungkin terselit sedikit anak yatim yang dilayan ala kadar dan seadanya dengan bertalikan salaman duit raya yang kadang-kadang tidak di hulurkan dengan mesra dan kasih sayang… dengan alasan rumah terbuka dianjur untuk mereka yang ada kepentingan dalam urusan kerja sahaja.

Lalu lunturlah kasih sayang sejati, gugurlah keberkatan kerana beratnya rasa riak kerana pujian menggunung, malah huluran kemaafan bukan lagi atas dasar minta ampun dosa silam kerana Allah tapi sudah jadi sebagai gaya tetamu kepada tuan rumah, salam hujung-hujung jari bertemu, namun mata entah ke mana fokusnya. Akhirnya ada tetamu kecil yang pulang tanpa ucapan terima kasih kepada tuan rumah kerana tuan rumah sibuk melayan tetamu VIPnya. Ada pula makanan yang dipesan dengan jangkaan ramai tetamu yang datang, akhirnya membazir kerana terlalu banyak berlebih.

Gambar hiasan

Adakah ini buah daripada ajaran agama atau hasil peniruan budaya open house Barat yang kita tahu sangat berbeza tujuannya dengan amalan rumah terbuka kita yang beragama Islam. Kerana sambutan hari raya kita bukan ‘upacara budaya’ tapi ‘upacara agama’ yang sangat berkait dengan ibadah ‘berpuasa’. Hari raya hari kembali kepada fitrah jiwa yang suci, serta merayakan kejayaan mengawal diri dengan sempurna di masa ibadah puasa. Makanya perayaannya seharusnya tidak bercanggah dengan matlamat menyucikan diri dari segala kekotoran minda, emosi dan hati untuk terus berjuang memburu jawatan hamba Allah dan gelaran calon syurga Allah.

Dimana dalam amalannya kita dilatih berjimat, dilatih berjuang melawan hawa nafsu yang mendorong kepada mabuk makan, dilatih jujur sejujurnya, dilatih melakukan semua aktiviti kerana Allah dan di ampun semua dosa dan di janjikan syurga. Oleh itu mari kita semak ibadah puasa kita dan amalan rumah terbuka yang kita adakan selama ini sama ada menjadi tetamu atau menjadi tuan rumah. Adakah ia digunakan untuk mendapat ampunan dari semua jiran tetangga dan sanak saudara terdekat dan jauh atau sekadar menunjuk-nunjuk kekayaan kita atau kita memburu pujian manusia lalu melupakan pujian Allah, mahu digelar pemurah oleh manusia tapi dinilai ibadah oleh Allah.

Setelah kita sedar mari kira bina ukhuwah dengan jiran tetangga, bukan hanya ‘orang ternama’. Mari kita bina muhibah dengan orang yang paling dekat dengan rumah kita dan dekat dengan hati kita, mari kita perkenalkan cara kita menyayangi Allah dalam semua atur cara dan majlis  rumah terbuka tanpa ada salam terbuka yang tidak halal, muzik yang tidak dibenarkan dan atur cara yang bercanggah dengan bulan kesucian dan kesucian ibadah puasa yang baru selesai kita laksanakan, tiada riak dalam hidangan dan hiasan, hapus bangga dengan taraf tetamu yang hadir hingga ada tetamu yang terasa terabai, jangan sampai ada hidangan berbeza antara VIP dan tetamu biasa, jangan sampai kita terasa bahawa rumah terbuka kita terhebat, lalu membanding dengan rumah terbuka orang lain, dan jangan sampai kita mahu orang datang ke rumah kita kerana jawatan lalu melupakan jemputan yang datang dari orang bukan kenamaan.

Kerana kita sama–sama berhak masuk syurga dan kita sama di sisi Allah, sama-sama masuk ke dalam enam kaki bawah tanah. Jadi rendahkan hati separas rumput agar kehangatan persahabatan tidak disandarkan pada gelaran, kedudukan, lokasi rumah dan jenis menu yang tersaji tapi hidupkan rasa ikhlas agar semua usaha diterima sebagai pembersih dosa masa silam hingga kita benar-benar kembali kepada fitrah suci bersih berjumpa Allah nanti.

Salam Ukhwah,

DR. ROBIAH KULOP HAMZAH

Share
Published by
KR