Rupanya Banyak Manfaat Cuka Epal. Boleh Diamalkan!

Ramai yang keliru, tidak pasti dengan kegunaan cuka epal yang hanya tersimpan di pantri dapur. Tahukah anda, ia telah digunakan sejak beribu-ribu tahun yang lampau oleh masyarakat Greek dan Mesir sebagai makanan serta tonik kesihatan? Cuka epal kebanyakannya diperbuat daripada epal cider kerana ia mengandungi kandungan gula tertinggi yang dapat membantu proses penapaian. Keasidannya di antara pH 4.25 dan 5.00 serta amat bermanfaat untuk kita.

MENURUNKAN BERAT BADAN

Cuka epal dapat membantu mempercepatkan penurunan berat badan kerana asid asetik boleh menyekat selera makan, meningkatkan metabolisme dan mengurangkan gejala pembendungan air. Saintis juga berpendapat bahawa cuka epal berfungsi untuk ‘mengganggu’ penghadaman kanji dalam tubuh, yang bermaksud lebih sedikit kalori yang memasuki saluran darah.

MENCEGAH GANGGUAN PENCERNAAN

Hirup sesudu cuka epal sebelum makan, lebih-lebih lagi ketika anda bakal menikmati comfort food yang menggemukkan. Anda juga boleh mencuba remedi ini; tuang sesudu madu dan sesudu cuka epal ke dalam segelas air suam dan minum kira-kira 30 minit sebelum waktu makan untuk melancarkan pencernaan makanan.

MELEGAKAN SAKIT TEKAK

Sebaik sahaja terasa perit di bahagian tekak, dapatkan cuka epal untuk membasmi kuman dan membantu mencegah infeksi yang lebih teruk. Kebanyakan kuman tidak dapat bertahan dalam persekitaran berasid yang dihasilkan oleh cuka, maka campurkan ¼ cawan cuka epal ke dalam ¼ cawan air suam dan berkumur-kumurlah setiap 1 jam.

 

MERAWAT SAKIT PERUT

Tiba-tiba sakit perut? Nah, hirup sedikit cuka epal yang dikacau dengan sedikit air. Andainya jangkitan bakteria merupakan penyebab utama diarea, pengambilan cuka epal yang mengandungi antibiotik sangat efektif untuk mengatasinya. Ia juga mengandungi pektin yang boleh melegakan kekejangan dalam usus.

MENURUNKAN PARAS KOLESTEROL

Masih banyak kajian yang sedang berjalan bagi membuktikan cuka epal baik untuk menurunkan kolesterol. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian pada tahun 2006 menemukan kebaikan asid asetik dalam cuka berkesan menurunkan paras kolesterol jahat dalam tubuh tikus uji kaji. Bahkan, kajian di Jepun juga mendapati pengambilan setengah auns cuka epal sehari boleh merendahkan kolesterol dalam tubuh manusia.

MENGUBATI SEDU

Ambil satu sudu kecil cuka epal dan minum. Rasanya yang masam berkesan menghentikan sedu secara beransur-ansur. Kemasaman cuka epal bagai sejenis isyarat kepada otak agar jangan tersedu.

MEMULIHKAN HIDUNG TERSUMBAT

Apabila hidung anda tersumbat akibat demam selesema, capailah cuka epal. Ia mengandungi khasiat potasium yang melonggarkan mukus dan asid asetik yang mencegah pembiakan kuman; dua penyebab hidung tersumbat. Hanya campurkan satu sudu kecil cuka epal ke dalam air suam untuk melancarkan pernafasan.

MERANGSANG TENAGA

Senaman dan stres yang ekstrem boleh menyebabkan peningkatan asid laktik dalam tubuh, seterusnya mendorong kelesuan. Menariknya, kandungan asid amino dalam cuka epal dapat berfungsi seperti antidot. Ia mengandungi potasium dan enzim yang mencetuskan perasaan penat. Campurkan satu ke dua sudu besar cuka epal ke dalam minuman anda dan dapatkan ledakan tenaga yang luar biasa.

MENGHILANGKAN NAFAS BERBAU

Jikalau memberus gigi atau mouthwash masih tidak menyelesaikan masalah nafas berbau anda, cuba gunakan cuka epal. Berkumur-kumur dengannya atau cairkan cuka epal ke dalam air kumuran untuk membunuh bakteria penyebab bau nafas. Cara ini juga dapat membantu memutihkan gigi anda.

MENGAWAL GULA DARAH

Menurut beberapa kajian, amalan meminum cuka epal dapat membantu mengimbangi paras gula darah. Satu kajian terhadap pesakit diabetes jenis 2 yang tidak mengambil insulin mendapati amalan mereka menghirup dua sudu besar cuka epal sebelum tidur membantu menurunkan paras glukosa apabila terjaga dari tidur. Saintis juga percaya bahawa kesan antiglisemik di dalam asid cuka epal dapat merendahkan paras gula darah selepas seseorang menikmati makanan tinggi karbohidrat.

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu