Rupanya Nicol David Punya Bakat Melukis. Lakaran DOODLE Penuhi Masa Lapangnya!

SIRI kejayaan yang dikecapi oleh empunya nama Datuk Nicol Ann David selaku penakluk sukan skuasy dunia sememangnyamenjadi perhatian seantero dunia. Mana tidaknya, Nicol yang kini mencecah usia 36 tahun telah menjadi wanita Asia pertama memegang gelaran pemain nombor satu dunia! Terbaharu, Nicol tersenarai antara Top 10 All Time Unbroken Streak Ranked in The World selama 177 bulan atau 14 tahun bermula Januari 2004 hingga september 2018.  Ia merupakan kejayaan peribadi buat dirinya, malah kejayaan istimewa untuk Malaysia khususnya.


Tidak hairanlah, Nicol turut disayangi oleh seluruh rakyat Malaysia yang kagum dengan kejayaan beliau dalam sukan skuasy yang diceburinya itu. Mana tidaknya, melihat ketangkasan yang ditunjukkan di gelanggang skuasy membuktikan beliau berusaha keras untuk berjaya di dalam setiap kejohanan bertaraf dunia yang disertainya. Tetapi apa yang lebih manis, tidak kira samada menang atau kalah, beliau tetap bersahaja dan terus menguntum senyuman untuk para peminatnya. Sikap cool dan matang dalam corak permainannya di gelanggang skuasy menjadi inspirasi buat pelapis sukan skuasy tanahair.


Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Nicol yang hanya sempat pulang ke tanahair dua atau tiga kali sahaja dalam setahun.Selebihnya, dia terikat dengan jadual latihan. Sejak mengambil keputusan untuk menjalani latihan di Amsterdam di bawah jurulatih Liv Irving pada tahun 2003 lagi, Nicol terpaksa berjauhan dari keluarga yang menetap di Pulau Pinang. Berpisah jauh tidak sekalipun membataskan hubungan kekeluargaan malah Nicol menjadikan ia sebagai perangsang untuk kekal fokus dan membawa nama keluarga sebaik mungkin.


Itulah Datuk Nicol David yang bukan sahaja dikenali sebagai ratu skuasy negara, malah generasi muda berjiwa besar yang telah beberapa kali menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.
Ujar Nicol, walaupun telah sedekad bergelar pemain profesional dan sudah menyambar lebih 40 kejuaraan baik di dalam mahupun luar negara, masih banyak impian yang dirancang belum terlaksana dan Nicol sedang berusaha menuju ke arah itu.
“Sukan skuasy sudah menjadi sebahagian dari kehidupan saya dan saya masih belum puas menikmati momen indah di dalam sukan ini. Jika kita bersungguh-sungguh dan minat dengan apa yang dilakukan, sudah tentu tidak terdetik pun rasa untuk mudah berpuas hati.
Begitu juga dengan diri saya. Saya ingin melihat Yayasan Nicol David dibentuk tidak lama lagi dan inilah masanya untuk saya menyumbang kembali kepada masyarakat dengan melihat lebih ramai bakat muda dalam sukan ini,” ujar Nicol yang sedang merangka mewujudkan akademinya sendiri tidak lama lagi.
Walapun jadual hariannya dipenuhi dengan menjalani latihan dua kali sehari iaitu selama dua hingga empat jam selama enam hari seminggu, Nicol bijak mengatur kehidupan hariannya dengan aktiviti-aktiviti kegemarannya seperti melukis atau bersantai dengan mendengar muzik mahupun menonton televisyen. Melihat beberapa keping lukisan doodle hasil kerja tangannya yang terdapat di instagram miliknya, Nicol menjadikan kehidupan seharian sebagai elemen utama lukisan doodlenya itu. Tepi gelanggang menjadi tempat Nicol meluahkan tekanan dengan melukis sejak usianya 5 tahun lagi.


Jangan tak tahu Nicol sebenarnya seorang yang gemar makan. Malah dia tidak mengamalkan sebarang ‘pantang’ apabila berkaitan soal makanan. Selain itu, bakat melukis turut menyerlah di dalam dirinya kerana ia merupakan antara cara untuk dirinya melepaskan tekanan serta sebagai terapi minda.
Anak kepada jurutera yang juga bekas penjaga gol Pulau Pinang, Desmond David dan Ann Marie kini boleh berbangga dengan pelbagai kejayaan yang dikecapinya sepanjang sedekad menjadi pemain skuasy professional. Namanya turut diabadikan di gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil sebagai Arena Nicol David. Bagi Nicol, perjuangannya dalam arena sukan skuasy belum bernoktah lantaran masih banyak kejohanan yang bakal disertainya di samping ingin membalas jasa serta mencurah bakti kepada generasi baharu mengenai bidang sukan yang amat dicintainya ini.
Masih banyak perancangan yang diatur untuk dirinya laksanakan sebaik mungkin. Harapan dan cita-cita dalam sukan skuasy terlalu mendalam dalam dirinya dan berharap lebih ramai bakat muda dapat dicungkil dan mengharumkan lagi nama negara di mata dunia.
Foto: instagram nicolsquash

Share
Published by
Rosmah Idayu