13 tahun lalu, penduduk dunia bukan hanya dikejutkan dengan tragedi gempa bumi dan tsunami besar yang menghanyutkan bandar Acheh. Malah, insiden paling terkesan di lubuk hati setiap umat Islam pada saat itu tentunya apabila melihat keutuhan masjid di sana yang dibadai ombak setinggi 9 meter dengan gegaran gempa berukuran 9.3 skala Ritcher.
Barangkali kita menganggap ia keajaiban pertama yang menyaksikan ‘rumah Allah’ ini terlindung daripada ancaman bencana. Namun sebenarnya, telah banyak situasi sama dan kekuasaan Allah SWT diperlihatkan kepada penduduk dunia tanpa kita sedari. Dan salah satu kejadian serupa yang pernah berlaku ialah di Kobe Muslim Mosque, Jepun pada tahun 1945 lagi.
Struktur masjid lama ini tidak hanya diuji semasa Perang Dunia Kedua pada 1945 bahkan ia juga masih kekal bertahan dan berdiri teguh buat kali keduanya apabila bencana gempa bumi menggegarkan kota Kobe pada tahun 1995! Paling menyayat hati, serangan bom tentera Amerika semasa Perang Dunia Kedua tersebut mengubah pekan Kobe seperti padang jarak padang tekukur.
Seluruh binaan dan bangunan di sana waktu itu hancur lebur melainkan Kobe Muslim Mosque yang hanya mengalami kerosakan kecil. Misalnya, keretakan dinding dan tingkap kaca masjid yang pecah. Begitu juga keadaan masjid ini ketika gegaran gempa berskala 7.3 melanda Kobe. Masih tersergam kukuh!
Sesungguhnya, segala puji-pujian hanya milik Allah dan segala apa yang berlaku di atas muka bumi serta alam semesta adalah kehendak-Nya.
SEJARAH KOBE MUSLIM MOSQUE
Lewat tahun 1920an iaitu sekitar 1928 ketika kedatangan Islam semakin berkembang ke negara matahari terbit ini, terbinanya Kobe Muslim Mosque yang merupakan masjid pertama dan tertua didirikan di Jepun. Dibuka secara rasmi kepada penduduk beragama Islam di Kitano, Kobe pada tahun 1935, ia kemudiannya ditutup oleh Tentera Laut Jepun atas beberapa faktor setelah lapan tahun dijadikan rumah beribadat umat Islam. Namun, kembali aktif tidak lama selepas itu.
Berkeluasan kecil dan mampu menempatkan sehingga 200 jemaah dalam satu-satu masa, seni bina dan ukiran di masjid ini adalah cetusan inspirasi daripada seni budaya Turki. Selain dihiasi dengan lampu chandelier di tengah-tengah bahagian masjid yang menerangi ruang solat, Kobe Muslim Mosque juga mempunyai perpustakaan kecil yang menghimpunkan buku-buku keagamaan berbahasa Arab dan Jepun untuk rujukan pengunjung.
Bersebelahan masjid pula dibina sebuah pusat agama untuk kegunaan masyarakat Islam setempat memandangkan kawasan di sekitar Kobe Muslim Mosque ini majoritinya beragama Islam. Disebabkan keunikan dan statusnya sebagai masjid tertua di Jepun, ia sering dikunjungi para pelancong Islam dari serata dunia.
Jadi, jika anda merancang untuk ke Jepun pastikan Kobe Muslim Mosque tersenarai dalam itinerary percutian. Tidak akan lengkap percutian anda kalau tidak mengunjungi dan bersembahyang di sini.