Demi membantu dan menyelamatkan rakyat Syria meniti musim sejuk melampau ketika ini, Heliza Helmi sanggup mengenepikan urusan keduniaan lain dan berangkat ke negara bergolak tersebut tiga hari lalu. Menerima panggilan kecemasan Misi Musim Sejuk Rescue Syria dalam masa kurang sehari, tanpa berfikir panjang selebriti berjiwa murni ini tiba di bumi Syria bersama adiknya, Hazwani Helmi. Meskipun diberitahu dalam masa yang suntuk namun kedua-duanya sudah mempersiapkan diri untuk berjuang ke jalan yang diredai Allah SWT.
Menerusi salah satu video yang dikongsikan Heliza, kelihatan dia dan adiknya sedang berlari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik menerima panggilan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Ini merupakan misi bantuan kemanusiaan kali ke-10 bertujuan membantu masyarakat Syria keluar dari belenggu kesukaran.
Cukup sinonim dengan aktiviti sukarelawan dan pernah menyertai beberapa siri bantuan kemanusiaan di Sulawesi, Gaza dan sebagainya.. Heliza mengakui keadaan di Syria waktu ini sangat sejuk hingga mencengkam tulang. Allahu, tidak dapat dibayangkan kesukaran penduduk di sana.
Heliza & Hazwani aktif dalam aktiviti kemanusiaan
“Kaki tangan semua makin kebas dan pedih! MENGGIGIL! Walaupun semua kelengkapan ada, tetap sejuk ke tulang hitam!
Ads
Terus terang nak share, sekarang suhunya terlampau sejuk. Kakja habis pakai berlapis-lapis baju, stokin, pakai selimut tebal, namun sepanjang malam Kakja menggigil kesejukan. Kelmarin ke kem pelarian Syria, ada yang tiada langsung kelengkapan musim sejuk, khemah mereka sangat usang dan senang runtuh.
Tak dapat lena semalam fikir, “Ya Allah macam manalah mereka nak survive ni, mereka macam dah sehelai sepinggang dah ni,” ujarnya.
Ads
Setakat ini, team MAPIM tersebut telah mengagihkan bantuan kepada 95 keluarga di 2 titik penempatan dan khabarnya masih ada ribuan rakyat lagi yang masih dalam mode ‘frozen to death’.
Antara bantuan terdesak yang disumbangkan kepada mangsa kemanusiaan Syria termasuk selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, food pack, alat pemanas dan baju sejuk.
“Kami merayu.. tolong share, VIRALKAN, biar lebih ramai yang membantu, tak tahu macam mana nak gambarkan keadaan di sini. Namun KUASA VIRAL ANDA SANGAT POWER, mungkin menyelamatkan ramai nyawa.”
Anda yang berhasrat menyumbangkan sumbangan boleh dilakukan melalui dua cara iaitu layari laman web www.tabungsyria.com atau Maybank Islamic di bawah akaun SYRIA EMERGENCY APPEAL di 5628 3463 6987. Moga sumbangan kecil kita di dunia ini dapat memudahkan kehidupan saudara Islam di Syria selain menambah amal kebaikan sebagai bekalan di akhirat kelak.
Kredit: Instagram Heliza Helmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Negara di benua Afrika sememangnya menawarkan destinasi percutian yang berbeza dan memberikan pengalaman baharu buat individu yang gemar melancong. Mana tidaknya, ia bukan sahaja menawarkan pengalaman percutian dengan pemandangan alam semulajadi yang memukau, malah habitat hidupan liar yang masih terpelihara juga menajdi antara tarikan utama ke negara-negara seperti Rwanda dan Tanzania.
Tidak hairanlah mengapa pasangan suami isteri SM Nasarudin SM Nasimudin dan Marion Caunter memilih untuk bercuti ke Tanzania baru-baru ini.
Melalui Instagram miliknya, Marion Caunter berkongsi foto-foto percutian dalam perkhemahan berkonsepkan safari di Rwanda dan Tanzania. Menurut Marion lagi, kunjungan ke negara tersebut merupakan antara wishlist yang amat diidamkan apabila masuk usia 40 tahun. Namun begitu, disebabkan pandemik, impian tersebut terpaksa ditangguhkan seketika. Akhirnya, selepas tiga tahun, Marion gembira dapat menjejakkan kaki ke negara yang penuh pengembaraan itu.
Antara lokasi yang dikunjungi oleh pasangan suami isteri ini termasuklah Volcanoes National Park dan melihat sendiri habitat gorila yang terdapat di sana. Malah, dalam salah satu video yang dikongsikan oleh ibu kepada tiga cahayamata ini memperlihatkan dirinya berada begitu hampir dengan gorila, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan olehnya!
Selain koleksi foto percutian, apa yang mencuri tumpuan adalah lokasi penginapan yang dipilih oleh pasangan ini. Marion berkongsi pengalamannya bermalam di khemah tetapi ia bukanlah khemah yang biasa, tetapi ia lebih kepada khemah yang mewah! Peluang bermalam di Singita Mara River Camp, Serengeti merupakan antara pengalaman unik yang dirasai oleh Marion memandangkan khemah tersebut turut dilengkapi katil bersaiz king, sofa yang empuk, ruang makan yang selesa serta ruang tamu yang mempunyai pemandangan yang menakjubkan!
Apabila menatap foto-foto tersebut, penulis teringat kisah drama bersiri The Crown yang menampilkan babak mendiang Rau Elizabeth dan mendiang Putera Phillip berbulan madu di dalam kawasan safari di Kenya.
Singita Mara River Tented Camp merupakan sebuah resort yang menawarkan percutian safari yang sememangnya menjadi pilihan buat individu yang ingin merasai percutian dalam suasana Afrika dalam kelasnya yang tersendiri.
Jika anda gemarkan percutian yang berbeza dan pemandangan yang menakjubkan, gaya percutian Marion Caunter dan suaminya boleh dijadikan inspirasi. Sesekali berehat dan bersatu dengan alam semulajadi, mesti mengujakan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat ini hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu!
Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.
Sejak kemunculan Kak Ton pada tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang. Memasuki 19 tahun pembabitannya dalam dunia perniagaan dan mencipta legasi sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan merupakan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.
Pernah beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kini kembali aktif mengembangkan legasi. Sebagai usahawan produk kecantikan, Kak Ton amat mementingkan kecantikan dari segi dalaman mahupun luaran. Buktinya, walau sudah berusia 62 tahun namun masih tampil awet muda!
Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai ahli perniagaan, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 19 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’. Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar… mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.
Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa.
Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam meraikan kejayaan manis ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, pasti peminat sukan gimnastik pernah mendengar nama Nadia Comaneci yang turut digelar wanita teragung sukan gimnastik abad ke-20.
Mana tidaknya, Nadia Comaneci merupakan gimnas pertama yang menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik yang diperolehinya ketika menyertai Sukan Olimpik.
Nadia Elena Comaneci dilahirkan pada 12 November 1961. Dia merupakan seorang ahli gimnastik Romania yang memenangi lima pingat di Sukan Olimpik dan yang pertama menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik di Sukan Olimpik.
Dia dianggap oleh sebahagian sebagai ahli sukan teragung bagi abad ke-20 dan salah seorang ahli gimnastik terbaik sepanjang masa.
Dilahirkan di Onesti, Romania, Comaneci merupakan anak kepada pasangan Gheorghe dan Stefania-Alexandrina. Dia dipanggil Nadya, singkatan dari ‘Nadyezhda’ yang bermaksud harapan, wirawati dalam filem Rusia.
Nadia Comaneci pertama kali bertanding pada peringkat kebangsaan Romania pada tahun 1970, sebagai ahli pasukan bandar tempatannya.
Dia kemudiannya dilatih oleh Bela Karolyi dan isterinya Marta, yang kemudian berpaling tadah ke Amerika Syarikat dan menjadi jurulatih kepada ramai ahli gimnastik Amerika Syarikat.
Setelah menjadi seorang remaja yang berumur 13 tahun, kejayaan pertama Comaneci adalah pada tahun 1975 di Pertandingan Eropah (European Championships) di Skien, Norway, memenangi tiga pingat emas dan satu perak.
Pada pertandingan Pra-Olimpik di Montréal pada tahun 1975, Nadia memenangi gelaran Keseluruhan (All-Around). Pada tahun yang sama Associated Press menamakannya sebagai Athlete of the Year.
Pada usia 14, Comaneci menjadi bintang pada Sukan Olimpik 1976 di Montréal, Québec. Bukan sahaja dia menjadi ahli gimnastik pertama di Sukan Olimpik yang menerima markah penuh 10 markah (yang diulanginya sebanyak 6 kali), dia juga memenangi tiga pingat emas keseluruhan, individu, tiang imbangan (balance beam) dan bar tidak selari, pingat perak untuk (pasukan keseluruhan) dan pingat gangsa untuk senam lantai.
Di negaranya, kejayaannya menjadikan dia dinamakan ‘Hero of Socialist Labor’, orang Romania termuda menerima pengiktirafan tersebut. Nadia mendapat 19 markah penuh sebelum ke Montreal.
Comaneci berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan pada tahun 1977 tetapi pasukan Romania menarik diri dari bertanding dalam acara akhir apabila terlibat dengan kontroversi mengenai bantahan pemberian markah.
Comaneci hadir di Pertandingan Dunia 1978. Dia terjatuh pada acara bar tidak selari sekaligus beliau menduduki tangga keempat terakhir tetapi memenangi acara alang imbangan (beam title).
Pada tahun 1979, Comaneci memenangi gelaran keseluruhan Eropah ketiga berturut-turut menjadi ahli gimnastik pertama lelaki atau perempuan yang melakukannya.
Pada Pertandingan Dunia (World Championships) Disember berikut, Comaneci mendahului selepas pertandingan wajib diadakan tetapi dimasukkan ke dalam hospital akibat keracunan darah pada lengannya dari pengikat genggaman besinya.
Beliau mengingkari arahan doktor lalu dia meninggalkan hospital dan melengkapkan acara tiang alang di mana dia memungut 9.95 markah. Prestasinya memberikan Romania memenangi pingat emas berpasukan yang pertama.
Dia bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1980 di Moscow, Rusia dan mendapat tempat kedua keseluruhan di belakang Yelena Davydova.
Comaneci mengekalkan gelarannya dalam alang imbangan yang seri untuk pingat emas. Dalam acara senam lantai (floor exercise) pasukan Romania menduduki tempat kedua.
Comaneci bersara dari bertanding sejurus selepas pertandingan ini. Pertandingan utama terakhirnya adalah di Perlawanan Universiti Dunia di Bucharest pada tahun 1981 di mana dia memenangi 5 pingat emas. Bagaimanapun terdapat tuduhan berat sebelah di kalangan hakim kerana Romania diwakili separuh daripada hakim di situ.
Antara 1984 dan 1989 dia merupakan ahli Persekutuan Gimnastik Romania – Romanian Gymnastics Federation dan membantu melatih ahli gimnastik muda Romania.
Pada November 1989, dia berpaling tadah ke Amerika Syarikat. Comaneci menghabiskan banyak masa melawat, mengiklankan pakaian dan peralatan gimnastik, mengiklankan pakaian dalam Jockey, peralatan aerobik, dan juga sebagai model pakaian perkahwinan.
Pada tahun 1994, dia bertunang dengan ahli gimnastik Amerika Syarikat, Bart Conner dan kembali ke Romania untuk kali pertama selepas berpaling tadah. Comaneci dan Conner berkahwin di Romania pada April 1996.
Dia kini sibuk dengan gimnastik dan kerja amal seluruh dunia. Dia dan suaminya memiliki Akademi Gimnastik Bart Conner, Syarikat Pengeluar Sempurna 10 dan beberapa kedai peralatan sukan dan merupakan editor majalah International Gymnast. Pada 29 Jun 2001, dia menjadi warganegara (naturalized citizen) Amerika Syarikat.
Comaneci merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Olimpik Khas (Special Olympics) Antarabangsa, Presiden Kehormat Persekutuan Giminastik Romania, Presiden Kehormat Jawatankuasa Olimpik Romania, Duta Sukan Romania, Timbalan Presiden Lembaga Pengarah Persatuan Distrofi Otot, dan Ahli bagi International Gymnastics Federation Foundation.
Dia menerima dua anugerah Olympic Order daripada IOC. Dia juga telah dimasukkan ke dalam International Gymnastics Hall of Fame.
Pada Disember 2003, buku pertamanya Letters To A Young Gymnast, diterbitkan. Buku ini merupakan riwayat hidup, menjawab persoalan yang diterimanya melalui surat peminat. Comaneci memulakan klinik amal di Bucharest untuk membantu anak-anak yatim di Romania.
Kini, pada usia 56 tahun, Nadia masih kelihatan menawan dan minat terhadap sukan gimnas masih mendalam dalam dirinya. Wanita ini merupakan sumber inspirasi gimnas seluruh dunia sehingga kisahnya difilemkan untuk menjadi inspirasi dalam sukan gimnastik! Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.