Datuk Fadilah Baharin merupakan Ketua Pengarah Standards Malaysia. Mesra disapa sebagai Datuk Fadilah, wanita berusia 59 tahun ini seorang yang cukup tegas.
Datuk Fadilah antara saintis terawal negara dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Sebagai penghargaan kepada jasa beliau dalam pembangunan standard halal pertama di dunia, Datuk Fadilah menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun 2016.
“Saya mahu menjadikan halal sebagai satu gaya hidup sekaligus dapat membantu ummah. Inilah dakwah saya dalam bekerja. Saya hendak menekankan kepentingan halal bukan saja dari segi makanan bahkan seluruh kehidupan seperti cara berpakaian, bekeluarga dan sebagainya.
Alhamdulillah saya berjaya melaksanakan standard halal yang pertama di seluruh dunia. Ia juga telah dirujuk dan diguna pakai oleh JAKIM dalam persijilan halal.”
TIP MENJADI WANITA SUKSES
“Jadilah isteri yang menghormati suami. Restu dan sokongan suami amat penting untuk menjadi wanita sukses. Kalau boleh libatkan suami dalam apa jua yang kita buat. Ingat, siapa pun kita hari ini bukan daripada usaha sendiri sebaliknya daripada mereka yang banyak membantu dan menyokong kita selama ini.
Saya bersyukur selama ini arwah suami banyak memberikan sokongan kepada saya untuk menjadi seorang ketua dan insan yang lebih baik. Kata-katanya banyak memberikan saya semangat sekaligus menjadi turning point untuk saya berubah menjadi siapa saya pada hari ini. Saya berasa amat bersyukur.
Sokongan anak-anak juga penting. Saya sering meletakkan diri sebagai sahabat kepada anak-anak dengan sentiasa menasihati, menegur dan berkongsi pendapat bersama mereka. Sebagai ibu tunggal sayalah ibu, sayalah bapa.
Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak dan berusaha memberikan bekalan ilmu dunia akhirat secukupnya. Saya juga sentiasa menjaga emosi agar tidak terlalu mengikut perasaan.
Seterusnya manfaatkan kekuatan diri bagi meningkatkan taraf hidup sebaik mungkin. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga buat keluarga. Yakinlah dengan kemampuan diri sendiri bahawa kita boleh buat. Sentiasa berbangga dengan apa yang kita lakukan. Abaikan kata-kata negatif.”
Selepas pulih daripada kanser payudara beberapa tahun lalu, Datuk Fadilah mula menjaga pemakanan dan kesihatannya seperti mengamalkan air kosong, buah-buahan, sayuran dan suplemen setiap hari. Beliau juga sentiasa melalui hari-hari baru dengan perasaan yang positif.
Kredit Foto: Instagram Datuk Fadilah Baharin