Faringitis atau sakit tekak merupakan penyakit yang paling umum berlaku sepanjang tahun. Selain demam selesema, ia kian menjadi-jadi terutamanya di kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Penularan faringitis semakin kritikal sekiranya berlakunya banyak pendedahan secara berterusan di antara penghidap faringitis dengan individu lain.
Menerusi penyelidikan, virus merupakan punca biasa kepada faringitis berbanding patogen bakteria. Sementara kumpulan Streptococcus pula merupakan bakteria yang mencetuskan infeksi pada saluran tekak akut. Terdapat juga jenis-jenis virus yang boleh menghasilkan gelembung di dalam mulut dan tekak seperti aphthous stomatitis. Selain itu, penyebab lain ialah jangkitan tonsil atau adenoids, kerap bernafas melalui mulut, merokok dan penyakit Gastroesophageal Reflux Disease (GERD).
Simptom Faringitis:
- Batuk-batuk, diikuti rasa gatal tekak.
- Sesak dada dan sakit semasa menelan.
- Kerap bersin.
- Suara bertukar serak atau parau.
- Hidung berhingus.
- Tonsil membesar.
- Demam dengan suhu tidak terlalu tinggi.
- Keletihan, sakit-sakit badan dan pening.
- Nafas berbau (halitosis).
- Hilang nafsu makan.
- Sel darah putih meningkat.
Diagnosis faringitis boleh dilakukan menerusi pemeriksaan fizikal. Doktor dapat mengesan kewujudan penyakit ini jika rongga mulut kelihatan merah, berbintik-bintik pada lelangit (petechiae), bengkak kemerahan pada uvula, bengkak dan keras pada anterior nodus serta ruam yang ketara.
Selepas pemeriksaan, tahap kesihatan pesakit berdasarkan simptom yang dialami dapat menentukan sama ada faringitis yang dialami berpunca daripada virus atau bakteria.
RAWATAN
Masalah ini kebiasaannya membuatkan seseorang tidak selesa di antara 7 ke 10 hari. Jika ia berlanjutan melebihi 10 hari, anda perlu segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut dan memulakan rawatan klinikal. Terdapat beberapa panduan untuk merawat sakit tekak di rumah seperti:
- Berkumur-kumur dengan air garam, minum teh herba dan makan gula-gula lozenges untuk mengurangkan kesakitan buat sementara. Namun elakkan pemberian lozenges kepada kanak-kanak kecil.
- Pasangkan alat pelembap udara untuk mengurangkan simptom, lebih-lebih lagi sakit tekak yang disebabkan oleh pernafasan di dalam udara yang kering.
- Ubat yang mengandungi Acetaminophen atau Ibuprofen dapat membantu mengawal sakit tekak.
Jika gejala sakit tekak berlarutan dan anda berasa terlalu tidak selesa dengan kesakitan yang dialami, segeralah bertamu ke unit kecemasan untuk rawatan pakar. Antaranya jika sakit tekak yang dialami membengkak dan membuatkan anda sukar bernafas; jika anda tidak boleh menelan sebarang ubat-ubatan yang biasa diambil; jika tubuh terasa dehidrasi; jika pengsan atau jantung berdegup kencang secara tiba-tiba; serta jika lidah dan bibir anda membengkak secara luar biasa. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Hilang Semangat, Kini Pengasas SRI MUNAWWARAH Pula Lahirkan Hasrat Tutup Perniagaan!
Kerancakan bisnes fesyen Muslimah yang dulunya amat pesat dan menjana pulangan lumayan kepada para pengusaha kini semakin menghampiri garis penamatnya.
Bermula dengan penutupan empayar butik Hajaba milik Puan Mona Din di semua pusat membeli-belah terkemuka, satu persatu butik-butik Muslimah lain kemudian mengekori langkahnya akibat iklim pasaran yang hambar.
Terkini, luahan rasa Pengasas dan CEO Sri Munawwarah iaitu Dato’ Hajah Tuan Hasnah Tuan Yusoff pula kedengaran putus asa. Bukan kerana ketiadaan pembeli, tapi faktor usia dan semangatnya yang meluntur.
Mesra dipanggil Dato’ Nah, wanita Kelantan yang menjadi inspirasi ramai usahawan Muslim ini berkongsi luahan di bawah…
==========================
Saya mohon persetujuan ramai untuk saya tutup perniagaan Munawwarah.
25 tahun lebih saya perjuangkan Munawwarah untuk menolong bakal-bakal haji dgn mengadakan kelengkapan keperluan bagi bakal-bakal haji kita terutama wanita.
Kini usia saya menjangkau 70 tahun sudah kekurangan tenaga… 2 orang kuat saya pergi meninggal kan Munawwarah.
Saya kehilangan semangat.
Ada siapa nak beli Munawwarah saya boleh juga jual.
Munawwarah MASIH tidak ada masalah, saya MASIH ada pelanggan yang setia hingga ke anak cucu juga menjadi pelanggan setia Munawwarah.
Ada yang dari 1993-2017 MASIH sanggup datang ke Munawwarah walau pun bertongkat.
Satu peristiwa yg menyedihkan dan terharu berlaku 2 hari yang lepas.
Seorang pelanggan saya bertaraf VIP yang setia dengan Munawwarah jatuh di depan mata saya kerana sanggup nak mencuba baju pilihan beliau. Usianya sudah menjangkau 80.
Ada juga anak-anak yang membawa ibu yang sudah berkerusi roda, MASIH mencari Munawwarah.
Ada anak-anak usia 5 KE ATAS memberitau ibu mereka hanya nak pakai baju Munawwarah.
Ada pelanggan lelaki yang setia menjadi pelanggan Munawwarah yg tidak jemu-jemu ke Munawwarah.
Ada raja-raja yang MASIH memakai design saya terutama tudung-tudung hingga menjadi persalinan tetap hingga ke majlis-majlis besar diraja.
Mereka ke Mekah memakai baju Munawwarah yg terjual sejak 1990-2017.
DI LUAR sana sudah ada banyak butik Muslimah dan tudung ala Munawwarah, macam cendawan tumbuh dijual dengan harga yang murah, design yg cantik-cantik berbanding design saya yang terlalu simple.
Saya tak mampu bersaing, mereka terlalu hebat dan mereka banyak duit. Dapat bantuan kerajaan dan pinjaman bank.
Saya bodoh tidak pandai berhutang dan meminta-minta.
Waktu saya mula buka kedai jual baju Muslimah saya dikata-kata kerana membawa design baju Muslimah ke taraf butik dan jual,kepada VIP dan raja-raja, yang kebetulan mereka kawan saya.
Saya menggunakan kain yang mahal-mahal, mereka kata Munawwarah jual baju Muslimah mahal-mahal. Mereka kata baju macam ni untuk pegi Mekah, pegi masjid kenduri, acara agama. Tak usahlah mahal-mahal sangat tapi untuk pegi majlis-majlis keramaian, mereka sanggup pula bayar hingga beribu-ribu sepasang.
Apa pun saya perjuangkan juga semampunya saya hingga saat sekarang.
Lihatlah kenapa sekarang setiap sudut penuh dengan kedai-kedai jualan baju-baju Muslimah. Ramai lagi yang nak berniaga ke arah yang sama.
Alhamdulillah baguslah tu rezeki masing-masing.
Dulu saya cuba juga meminjam bank tapi pihak bank tidak percaya dengan perniagaan saya, hingga saya bertekad berusaha sendiri. Adalah hikmahnya saya tidak berhutang, saya bukan nak kaya dengan duit pinjaman tapi rezeki Allah bagi. Alhamdulillah saya sampai kemuncak saya dah dapat apa yang dicita-cita dan diangan-angankan. Mereka dikeliling saya juga turut merasa kemewahannya hasil KEBERKATAN tidak berhutang.
Kini keadaan semasa yang begitu menekan, saya dah tak mampu menahannya.
Sapa yang faham, fahamlah.
Sapa yang tak faham, suka hati bila lihat kami jatuh.
Sekadar LUAHAN hati, saya tahu ada yang DI LUAR sana yang marahkan saya.
Saya bukan baik tapi saya buat yang terbaik semampu saya.
Butik Munawwarah yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail mula ditubuhkan pada tahun 1990 dengan memfokuskan bisnes keperluan haji dan umrah. Daripada sekadar baju ihram untuk jemaah wanita, berkembang kepada fesyen-fesyen menepati syariat, termasuklah menjadi pelopor tudung awning di Malaysia. Ia juga menjadi pilihan ramai VVIP termasuk DYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Banyak pelanggan setia yang menggemari jenama ini kerana kualitinya, walaupun mahal sedikit daripada yang lain. Di atas kerja keras pasukan Sri Munawwarah selama 25 tahun, Dato’ Nah banyak menerima penghargaan seperti Brand Leadership Award oleh The Brand Laureate 2016-2017 serta Best Brand in Muslim Lifestyle Apparel 2015.
Mengakui sedang cuba bertenang dan berfikir dengan mendalam tentang arah tuju perniagaannya sekarang, Dato’ Nah berkongsi satu lagi luahan tentang pengalaman pahit maungnya yang tidak pernah diceritakan.
==========================
27 tahun berlalu, saya bersara awal, 43 tahun.
Di rumah.
Munawwarah bermula dengan 3 gulung kain putih.
Menjahit seorang diri.
Dijadikan baju untuk ibadah umrah.
Belian yg pertama berharga RM3,000.00.
Design saya diterima di kalangan VIP Taman Tun Dr Ismail.
Hasil tersebut saya tambah gulungan kain.
Seterusnya ruangan rumah saya sudah menjadi seperti kedai tukang jahit.
Keberanian saya terima tawaran Tabung Haji Travel dengan membekalkan 500 pasang baju IHRAM wanita dalam tempoh 2 minggu untuk dihantar ke seluruh Malaysia, sungguh mencabar diri sendiri.
Tapi saya berjaya.
7 tahun saya membekal IHRAM wanita ke TH TRAVEL.
SAYA MINTA BERHENTI DARI MEMBEKALNYA DI MUSIM KEGAWATAN KEDUA TH 1997-1998.
Saya tempoh kegawatan dengan penuh kesabaran dan kecekalan, saya pinjam duit kawan-kawan rapat. Malu.
Saya mula membuka kedai butik kecilan-kecilan kerana DI RUMAH mula dihujani pelanggan.
Saya ditolak bila saya nak buat pinjaman kerana pihak bank tidak begitu percaya dengan perniagaan baju Muslimah nak pegi Mekah.
Saya tidak putus asa.
Hari ini saya jual, hari esok saya tambah kain.
Saya menjahit hingga pukul 2 pagi.
Permintaan sungguh menyenangkan.
Dari tahun ke tahun begitulah saya.
Ringkas cerita akhirnya saya berjaya membuka 8 butik di sekitar TAMAN TUN DR ISMAIL SAHAJA.
Setiap butik membawa konsep berlainan.
Sambutan hingga ke ISTANA NEGARA, ISTANA BRUNEI, SELURUH MALAYSIA…
SAYA BAWA MUNAWWARAH HINGGA KE LONDON ATAS UNDANGAN PERSATUAN WANITA ISLAM LONDON.
Saya bawa design buruk saya hingga ke kota London dengan cara tersendiri…
Atas izin Allah mendapat sambutan DI SANA.
Tiap-tiap tahun kami diundang untuk buat show.
Setiap design yang saya buat show DI SANA, saya design dan jahit sendiri dan dibantu oleh dua tiga orang tukang jahit dan Haslina anak saya menyiapkan hiasan tambahan di baju-baju.
…..yang paling terharu buat saya atas izin Allah, sambutan bagi bakal-bakal haji dan umrah membanjiri kedai Munawwarah setiap tahun hinggalah ke hari ini.
DESIGN IHRAM WANITA BERUSIA LEBIH 25 TAHUN MASIH TERJUAL DENGAN LARIS.
MASIH DIPAKAI DI KALANGAN VVIP. DESIGN TUDUNG-TUDUNG ASLI MUNAWWARAH MENJADI SAMBUTAN HANGAT HINGGA KE HARI INI.
BERCOGAN KATA, TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
SOALAN, KENAPA AGAKNYA SAYA NAK TUTUP MUNAWWARAH.
Menerusi komen-komen daripada sahabat dan pelanggan Dato’ Nah, ramai yang meminta agar beliau bertahan serta tidak menjual Sri Munawwarah ke tangan orang. Seperti mereka, Nona juga berharap agar beliau terus mempertahankan legasi yang telah dibinanya walau dengan apa cara pun. Sayanglah, ramai yang membesar dengan jenama ini! Norzalina Mohd Alias
Sumber: Facebook Dato Nah Munawwarah
Gugurnya Air Mata USTAZ EBIT LEW Tiap Kali Saksi Kesakitan Isteri Ketika Bersalin!
Wanita memang diciptakan dengan jiwa dan semangat yang sangat luar biasa. Meskipun menanggung kesakitan yang teramat kuat saat melahirkan namun demi kasih sayang terhadap suami dan menyambung zuriat, ada di antara mereka rela perutnya dibelah berulang kali. Besar sungguh pengorbanan wanita bergelar isteri dan ibu. Pun begitu, masih ada manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.
Perkongsian Ustaz Ebit Lew saat menyaksikan isteri tercinta bertarung nyawa melahirkan cahaya mata mereka nyata menyentuh emosi ramai. Sekuat dan seteguh mana pun fizikal lelaki, pasti akan gugur air mata mereka tatkala melihat sendiri detik kelahiran permata hati. “Saya teringat masa bidadari saya bersalin anak pertama. Teringat jeritan kami sama-sama baca ‘Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin…’ Bila baby keluar bidadari saya tak lama, pengsan. Sebab baby lama dan susah nak keluar. Doktor ulang kali pesan, “Tolong push kuat-kuat. Nanti baby lemas.” Seorang nurse tekan dari atas perut. Seorang lagi saya tengok tengah macam guna gunting atau pisau di bawah.
Ya Allah. Menangis. Ya Allah..ampunkan dosaku. Ya Allah selamatkan bidadariku. Selamatkanlah anakku. Tengok jeritan, kesakitan, peluh, darah, tekanan… Ya Allah. Ya Allah begitu kuat dan cinta ikhlas dalam hati seorang wanita.
Bila anak keluar isteri dah pengsan tak sedar. Sebab lama sebelum baby bernafas, isteri masih minta maaf. Katanya “Maafkan saya abang…maafkan saya.”
Saat bayi diletak dalam pelukan barulah segala kesakitan seolah-olah hilang. Ya Allah. Masa anak kedua, ketiga, keempat, czer.. Ya Allah, saya sangka belah perut terus ambil anak. Rupanya berlapis-lapis. Sampai bahagian dalam. Dengan darah kesakitannya.. saya menangis. Sambil pegang tangan isteri dan usap dahinya. Abang sayang bidadari abang ini. Abang cinta sayang bidadari abang..
Selepas baby dikeluarkan. Suasananya.. jahit satu-satu lapis perut. Dah macam apa perut itu. Dengan darah penuh. Ya Allah.. Setiap kali dapat anak, saya azan dan iqamah. Selalu sebak. Sebab doa tangisan Nabi SAW anak saya dapat kenal Allah… Rindu ibu yang melahirkan saya. Kerana itu bagaimana seorang lelaki itu boleh berjaya tanpa rasa syukur yakni menghargai pengorbanan wanita dalam hidupnya.”
Membaca entri Ustaz Ebit Lew yang berpesan agar lelaki khususnya suami menghormati tiga golongan wanita ‘terpilih’ dalam hidup mereka nyata satu usaha murni. Jelas Ustaz Ebit, segala kejayaan dan rezeki seorang suami turut bergantung kepada kebaikan yang dicurahkan kepada tiga golongan wanita berkenaan.
“Ramai orang bertanya saya. Betul ke bila orang sakitkan hati bidadarinya, isterinya, rezekinya jadi sempit? Rezeki yang ada pun boleh hilang.. Betul ke doa seorang isteri itu makbul? Benarkah semua orang yang berjaya di belakangnya ialah doa isterinya dan doa ibunya? Begitu juga doa orang miskin dan yang lemah tidak berdaya? Doa desakan di hati mereka itu didengar.
Siapa bersyukur (menghargai) maka Allah akan tambahkan nikmat. Siapa kufur(ingkar, khianat, tak jujur) Allah beri azab yang pedih.
Orang paling banyak berkorban asbab manusia ada dalam dunia ini ada 3 orang. Pengorbanan mati separuh nyawa seorang ibu. Seorang ibu mertua. Seorang isteri yang melahirkan anak kita. Hargailah wanita ini dan lihatlah bagaimana Allah memberi nikmat dan rezeki kepadanya.
Orang yang tak mengasihi, tidak dikasihi. Jangan ada sekelumit pun sangkaan jahat pada orang terutama kepada 3 wanita ini. Jangan kasar atau pandang rendah pada 3 wanita ini. Jangan kedekut pada mereka. Sebagai suami yang baik. Bimbinglah isteri dan anak-anak cintakan Allah dan Nabi SAW. Bahagiakanlah hati mereka. Jangan kedekut beri duit dan hadiah pada isteri dan ibu kita.
Tidak akan pernah berjaya orang yang tidak menghargai isterinya. Yang tidak hargai ibunya. Jagalah amanah Allah ini. Pasti Allah akan jaga kita. Bimbing mereka masuk syurga. Buat seorang suami, usaha dan doalah supaya dapat bersama dan beri semangat pada isteri saat bersalin kerana itulah saat sakit teramat. Lihatlah, pasti hati keras mana akan berderai dengan air mata. Jatuh cinta lagi..”
Sesungguhnya, berbuat baiklah dan berbakti kepada tiga wanita ini. Takkan pernah rugi dan perjalanan hidup suami pasti mendapat lindungan dan keberkatan dari Allah SWT.
Sumber: Facebook Ustaz Ebit Lew
Rindu 2 Tahun Tanpa Bazar Ramadan, Kunjungi 10 Lokasi Terbaik Sekitar Selangor
Buat mereka yang sudah biasa membeli juadah berbuka puasa sudah tentu rindu 2 tahun tanpa bazar Ramadan. Namun, tahun ini kita semua berpeluang untuk membeli belah di bazar Ramadan pilihan masing-masing.
Ramai yang melepas geram membeli belah di bazar Ramadan dek keran rindu 2 tahun tanpa bazar Ramadan. Namun, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika kunjungan ke bazar Ramadan demi kesejahteraan bersama.
Jom lihat senarai bazar Ramadan terbaik yang boleh anda kunjungi di Negeri Selangor untuk menu berbuka puasa yang pastinya membuatkan anda rambang mata! Mesti 2 tahun rindu tanpa bazar Ramadan berbalas.
1. Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam
Siapa yang tidak tahu tentang bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam yang terkenal? Menawarkan pelbagai jenis hidangan, anda pasti rambang mata di bazar yang meliputi kawasan yang sangat luas ini. Bukan itu sahaja, bazar ini juga menyediakan tempat letak kenderaan yang teratur dan selamat. Orang Islam dan bukan Islam dapat dilihat mengunjungi bazar yang menempatkan deretan gerai yang menjual menjual pelbagai jenis juadah seperti tepung pelita, akok, nasi ayam berempah, kambing bakar, ayam golek, pasta, laksa, dan juga pelbagai jenis minuman.
Alamat : Tapak Pakir E1 E2 Stadium Shah Alam 40100 Shah Alam, Selangor.
2. Bazar Taman Melawati
Bazar Ramadan Taman Melawati yang memenuhi tempat letak kereta yang luas ini merupakan salah satu bazar terbesar di Lembah Klang.
Sebut sahaja menu yang anda mahukan, segala-galanya daripada kuih muih hinggalah kepada roti bom, ayam percik, nasi lemak, tauhu bakar, pasta, dan banyak lagi ada di sini. Antara yang menjadi kegemaran di sini ialah menu nasi kerabu!
Alamat : Bazar Melawati, Jalan Negara, Taman Melawati, Selangor.
3. Bazar USJ 4, Subang Jaya
Bazar Ramadhan USJ 4 mempunyai jumlah gerai yang menepati semua citarasa berbuka puasa anda. Selain itu, aroma ikan bakar yang menyapa anda ketika memasuki bazar pasti akan menggamit selera. Jika anda sedang mencari lauk-pauk untuk disajikan bersama hidangan nasi anda, terdapat banyak pilihan di sini untuk anda cuba!
Alamat : Jalan USJ 4/5, Usj 4, 47600 Subang Jaya, Selangor.
4. Bazar SS6/1, Kelana Jaya
Bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya terkenal dengan pelbagai jenis gerainya. Antara hidangan mereka yang paling popular dan diperkatakan termasuklah Nasi Ambeng yang disertakan dengan ayam goreng, ayam soya atau rendang daging. Selain daripada Nasi Ambeng, sambal ikan cencaru, ayam percik, laksa Penang, sate, kebab, menu panggang, makanan Cina dan India halal, serta hidangan pencuci mulut tempatan. Terdapat juga pelbagai gerai minuman di sini, seperti gerai jus tembikai, yang akan menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa.
Alamat : Jalan SS 6/1, Ss 5, 47301 Petaling Jaya, Selangor.
5. Bazar Ramadan Greenwood, Gombak
Bazar Ramadan yang terletak di Greenwood, Gombak ini juga menjadi kawasan pilihan mereka yang ingin merasai keunikan hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Antaranya, popia basah, nasi kerabu, ayam bakar, ikan bakar dan pelbagai jenis kuih muih kegemaran anda.
Alamat : Greenwood, 68100 Batu Caves, Selangor.
6. Bazar Bandar Baru Selayang
Walaupun ada hidangan nasi yang mengenyangkan, anda juga harus nikmati hidangan pencuci mulut yang ditawarkan di bazar Ramadan Bandar Baru Selayang. Selain itu, hidangan ringan seperti apam balik, kuih-muih dan churros turut dijual di sini.
Alamat : Bandar Baru Selayang 68100 Batu Caves, Selangor.
7. Bazar Ramadan Simpang 4, Klang
Bazar Ramadan Simpang 4, Klang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana orang ramai dari segenap kawasan sanggup memandu ke sini bagi mendapatkan juadah berbuka puasa. Bukan apa, mereka sudah sedia maklum dengan keenakan makanan dan minuman yang dijual di sini. Selain itu, kesabaran juga penting kerana juadah-juadah disini dikatakan laris sehingga perlu beratur panjang. Namun pasti ianya berbaloi!
Alamat : Teluk Pulai (Simpang Empat) 41250 Klang, Selangor.
8. Bazar Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
Terdapat beberapa bazar Ramadan di Bangi yang boleh anda kunjungi. Salah satu yang paling terkenal terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Terdapat banyak pilihan makanan dan minuman di sini, tetapi antara yang paling digemari ramai ialah nasi kerabu, ayam golek, dan popia basah.
Alamat : Seksyen 7 (Jln 7/7 B) 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
9. Bazar Seksyen 17/1A, Petaling Jaya
Anda pasti akan berasa seronok mengunjungi bazar Ramadan Seksyen 17/1A, Petaling Jaya jika anda tidak pasti untuk berbuka dengan menu apa apa bulan puasa. Juadah seperti Roti john, ayam claypot, dan kuih tepung pelita antara juadah yang banyak boleh didapati di bazar ini. Pilih sahaja dari gerai mana!
Alamat : 92, Jalan 17/1a, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor.
10. Bazar Ramadan TTDI Grove
Bazar Ramadan TTDI tidak asing lagi bagi warga kota yang ingin mencari juadah lazat seperti nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas, nasi padang dan pulut udang. Ini kerana makanan yang dijual adalah berkualiti dan harganya juga berpatutan. Selain itu, lokasi bazar ini yang strategik juga menjadi salah satu nilai-tambah pada bazar ini.
Alamat : Jalan TTI Grove, 43000, Kajang, Selangor.
Baca juga; Tangguh Perakuan MS SIRIM Pelitup Muka, Hentikan ‘Makeup’ Jika Sudah Timbul Jerawat