SAKIT TEKAK Jejas Peti Suara & Nafas, Tangani Simptomnya Dengan Rawatan Berikut!

Faringitis atau sakit tekak merupakan penyakit yang paling umum berlaku sepanjang tahun. Selain demam selesema, ia kian menjadi-jadi terutamanya di kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Penularan faringitis semakin kritikal sekiranya berlakunya banyak pendedahan secara berterusan di antara penghidap faringitis dengan individu lain.

Menerusi penyelidikan, virus merupakan punca biasa kepada faringitis berbanding patogen bakteria. Sementara kumpulan Streptococcus pula merupakan bakteria yang mencetuskan infeksi pada saluran tekak  akut. Terdapat juga jenis-jenis virus yang boleh menghasilkan gelembung di dalam mulut dan tekak seperti aphthous stomatitis.

Selain itu, penyebab lain ialah jangkitan tonsil atau adenoids, kerap bernafas melalui mulut, merokok dan penyakit Gastroesophageal Reflux Disease (GERD).

Simptom Faringitis:

  • Batuk-batuk, diikuti rasa gatal tekak.
  • Sesak dada dan sakit semasa menelan.
  • Kerap bersin.
  • Suara bertukar serak atau parau.
  • Hidung berhingus.
  • Tonsil membesar.
  • Demam dengan suhu tidak terlalu tinggi.
  • Keletihan, sakit-sakit badan dan pening.
  • Nafas berbau (halitosis).
  • Hilang nafsu makan.
  • Sel darah putih meningkat.

Diagnosis faringitis boleh dilakukan menerusi pemeriksaan fizikal. Doktor dapat mengesan kewujudan penyakit ini jika rongga mulut kelihatan merah, berbintik-bintik pada lelangit (petechiae), bengkak kemerahan pada uvula, bengkak dan keras pada anterior nodus serta ruam yang ketara.

Selepas pemeriksaan, tahap kesihatan pesakit berdasarkan simptom yang dialami dapat menentukan sama ada faringitis

yang dialami berpunca daripada virus atau bakteria.

RAWATAN

Masalah ini kebiasaannya membuatkan seseorang tidak selesa di antara 7 ke 10 hari. Jika ia berlanjutan melebihi 10 hari, anda perlu segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut dan memulakan rawatan klinikal. Terdapat beberapa panduan untuk merawat sakit tekak di rumah seperti:

  1. Berkumur-kumur dengan air garam, minum teh herba dan makan gula-gula lozenges untuk mengurangkan kesakitan buat sementara. Namun elakkan pemberian lozenges kepada kanak-kanak kecil.
  2. Pasangkan alat pelembap udara untuk mengurangkan simptom, lebih-lebih lagi sakit tekak yang disebabkan oleh pernafasan di dalam udara yang kering.
  3. Ubat yang mengandungi Acetaminophen atau Ibuprofen dapat membantu mengawal sakit tekak.

Jika gejala sakit tekak berlarutan dan anda berasa terlalu tidak selesa dengan kesakitan yang dialami, segeralah bertamu ke unit kecemasan untuk rawatan pakar. Antaranya jika sakit tekak yang dialami membengkak dan membuatkan anda sukar bernafas; jika anda tidak boleh menelan sebarang ubat-ubatan yang biasa diambil; jika tubuh terasa dehidrasi; jika pengsan atau jantung berdegup kencang secara tiba-tiba; serta jika lidah dan bibir anda membengkak secara luar biasa. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Share
Published by
Suzi