Bukan calang-calang wanita! Kredibiliti Tun Tengku Maimun Tuan Mat menghakimi prosiding mahkamah khususnya melibatkan profil tinggi baru-baru ini meraih perhatian masyarakat. Menariknya, beliau merupakan wanita pertama negara yang dilantik sebagai Ketua Hakim sejak Mei 2019.
Lebih tiga tahun menggalas tanggungjawab tersebut, kelibat wanita hebat ini sering menarik tumpuan dalam majlis istiadat rasmi. Misalnya, ketika beliau baru bergelar Ketua Hakim Negara dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8, penampilan Tun Tengku Maimun yang mengenakan tudung bawal merah jambu dan berbaju kurung membuatkan ramai ingin lebih mengetahui pesona wanita ini.
Terbaharu, Tun Tengku Maimun sekali lagi menjadi perhatian dalam Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri Ke-10 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas jawatan tersebut.
Kebijaksanaan Tun Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi. Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019.
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 63 tahun ini, Tun Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tun Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tun Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Tidak hanya terhenti di situ, Tun Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Berikut ringkasan fakta menarik Tun Tengku Maimun sebagai ketua bagi institusi kehakiman di Malaysia.
Sumber: Astro Awani & Bernama
This website uses cookies.