“Salju” Turun Di Genting Highlands Angkara SEARCH

Dalam suasana enam negeri berhadapan Pilihan Raya Negeri,  nampaknya  Konsert Search Fantasia Bulan Salju di Arena Of Stars (AOS) masih mampu menarik lebih 4,000 peminat setia kumpulan rock legenda itu untuk berhibur dalam kedinginan malam di puncak Genting Highlands baru-baru ini.

Ternyata, sambutan hangat yang diterima oleh kumpulan lagenda itu membuktikan kewibawaan Search yang ditunjangi Datuk Amy selaku vokalis, Hillary Ang (gitar), Nasir (bes) dan Man Keedal (gitar) masih kukuh dan relevan sehingga ke hari ini.

Membuka tirai konsert tepat jam 8.45 malam, penonton disajikan dengan alunan muzik padang pasir yang menterjemah pengembaraan Search bersama peminat sejak empat dekad lalu. Membuka persembahan, Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman memukau peminat dengan himpunan lagu rancak seperti Bencana, Derap Komando serta Langit Dan Bumi.

Para penonton yang menyaksikan persembahan ini turut sama menyanyikan  lagu-lagu popular antaranya termasuklah Menawan Rasa, Gelora Cinta, Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu yang sememangnya bergema di seluruh Arena Of Stars itu.

Lebih menarik apabila ‘salju’ mula menyelimuti khalayak mengiringi untaian romantis yang didendangkan. Satu pengalaman menarik berjaya diterjemahkan penuh bermakna, sesuai dengan judul konsert dibawakan khas MIC Entertainment Group itu, iaitu Fantasia Musim Salju.

Antara lagu ‘slow rock’ yang turut dipersembahkan Amy adalah Rozana, Laila Nama Mu Teratas , Nigina, Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Kejora dan lagu wajib, Isabella.

Sebagai kelainan untuk konsert kali ini, Searh menampilkan Arthur Kam sebagai pemain dram jemputan, selain menggunakan khidmat Naini Daimi sebagai drummer kedua.  Untuk rekod, Naimi sebelum ini pernah mengejutkan peminat setia Search apabila mempamerkan ketukan dram yang padu ketika menjayakan konsert berskala besar pertamanya bersama kumpulan rock itu di Nusafest, bulan lalu.

Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi keyboard, komited dengan instrumen masing-masing.

Genting Highlands turut melakar sejarah peribadi buat Search apabila muncul sebagai  kumpulan rock tempatan pertama mementaskan konsert di pusat peranginan itu.Tirai konsert berdurasi 180 minit ini dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena, sekali gus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara konsert berprestij.

Share
Published by
Rosmah Idayu