Bertubuh genit dengan raut wajah yang manis, bergaya pula tu..sekali imbas macam usia 20-an. Namun siapa sangka itulah kelebihan yang dimiliki oleh ibu kepada empat orang anak yang berusia 35 tahun ini.
Nadia Abdul Halim atau Nard yang berketurunan Siam Pattani ini cukup bertuah kerana selain memiliki sebuah keluarga bahagia, dia juga bergelar usahawan sukses bagi jenamanya sendiri iaitu Odda KL.
Nard pernah bergelar sebagai Pengurus Projek di salah sebuah syarikat teknologi maklumat sebelum mengambil keputusan untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap bisnes dan keluarga.
Dapatlah Nard melihat anak-anaknya Aush Mikael (10), Audra Marissa (8), Aoman Maleq (6) dan Aofea Maryam (4) membesar di hadapan mata. Masanya kini lebih fleksibel untuk bersama keluarga.
DUGAAN
“Cabarannya ketika melahirkan mereka secara pembedahan. Jarak usia mereka pun rapat-rapat. Doktor terpaksa melakukan pembedahan secara mid-line.
Doktor juga mengesahkan dinding perut saya sudah nipis dan berisiko tinggi kalau mengandung lagi. Jika pembedahan dilakukan di tempat sama ia pasti akan memudaratkan saya.
Antara risikonya ialah kemungkinan berlakunya pelekatan organ dalaman yang sangat teruk seperti uri melekat dan dibuang rahim serta masalah-masalah kesihatan yang lain.
Walaupun ujian ini sangat berat, namun atas nasihat doktor akhirnya saya bersetuju untuk mengikat saluran peranakan. Atau dari segi saintifiknya dipanggil Bilateral tubal ligation (BTL). Ia bagi mengelakkan berlakunya kehamilan (yang berisiko) pada masa akan datang.
Cukuplah empat orang anak dalam kehidupan saya dan suami. Apa pun kami tetap bersyukur dengan anugerah terindah ini.”
DIDIK ANAK KENA KENTAL
“Anak-anak masih kecil dan jarak umur mereka pun rapat-rapat. Maka, saya perlu menjadi seorang yang kental dari segi emosi.
Saya pastikan anak-anak diberikan kasih sayang sama rata. Selalunya saya akan melayan anak-anak mengikut perangai masing-masing.
Saya dan suami juga sangat memandang berat tentang pembelajaran anak-anak. Kami menghantar mereka ke sekolah seawal usia dua tahun bagi memastikan anak-anak suka ke sekolah sekaligus dapat menyesuaikan diri.
Paling mustahak ialah didikan agama dan pandai berbahasa Inggeris. Di rumah kami akan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.”
GEMAR BERFESYEN
“Saya sukakan gaya ringkas dan minimalis. Paling penting ikut tempat dan majlis. Bertudung tak menghalang wanita untuk berfesyen asalkan tak keterlaluan. Pilihan warna juga penting bagi imej saya.”
Kredit Foto: @nadiahalim7
This website uses cookies.