Tumpang gembira bila mendapat perkhabaran tentang suami kepada selebriti bersuara lunak, Datin Salwa Abdul Rahman dikurniakan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk.
Tanpa membuang masa terus NONA menghubungi penyanyi era 1980-an yang popular dengan lagu seperti Cubit-Cubit Sayang, Satu Dua Kau, Rindu Merindu dan Bohong Ah Bohong ini lantas mengucapkan tahniah kepada wanita yang kekal awet muda ini.
“Alhamdulillah, rezeki yang tak disangka-sangka. Syukur kerana jasa Abang Bad pada negara dihargai,” ucap Datin Salwa yang tetap membahasakan dirinya sebagai Kakwa walaupun sudah memegang gelaran Datin.
Datuk Subadron Abdul Aziz merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kuala Lumpur, telah dikurniakan Darjah Kebesaran membawa gelaran Datuk di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi Tahun 2022.
Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu, seramai 59 individu menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, atlet paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Datuk Leong Mun Yee.
Bila ditanya kepada Datin Salwa tentang perasaannya apabila suami tercinta mendapat gelaran tersebut, jawabnya, “Alhamdulillah, rasa terharu dan bangga dengan pencapaian Abang Bad sehingga dikurniakan penganugerahan ini.
Abang Bad sangat cintakan sukan bola sepak. Bola sepak ni dah macam darah daging buat suami. Saya bersyukur bila segala jasa dan pengorbanan Abang Bad dalam bola sepak dihargai,” tutur Datin Salwa tentang dedikasi suaminya terhadap dunia bola sepak.
Sebagai seorang isteri Datin Salwa begitu kagum dengan semangat juang suaminya. “Waktu mewakili pasukan Kuala Lumpur dan Kebangsaan Abang Bad sangat menentang rasuah. Beliau berjuang bermati-matian untuk menang dalam setiap perlawanan.
Setelah bersara, Abang Bad buka akademi bola sepak beliau sendiri sehingga mendapat anugerah akademi terbaik pada tahun 2016. Suami sanggup beli 4 ekar tanah semata-mata untuk buat padang bola sepak dan stadium sendiri.
Matlamatnya supaya boleh melatih serta mencurah sepenuh ilmunya pada anak-anak yang berminat agar cemerlang dalam sukan bola sepak.
Abang Bad tak mahu anak remaja berkeliaran, kurang pelajaran dan menganggur. Sekurang-kurangnya kalau anak-anak lemah dalam pelajaran tapi berminat bermain bola suami boleh melatih mereka sehingga berjaya.
Atau menghantar mereka bermain untuk pasukan Kuala Lumpur atau mana-mana negeri. Itu cita-cita Abang Bad,” ucap Datin Salwa tentang suami tercinta.
Sebagai seorang isteri sudah tentu menjadi tanggung jawabnya untuk menyokong apa sahaja yang diusahakan oleh suami. “Saya sebagai isteri sentiasa berada di belakang menyokong memberi semangat. Cita-cita Abang Bad besar. Beliau ingin melihat pasukan kebangsaan berjaya, bermutu dan disegani.
Anak-anak pula sangat bersyukur dan bangga dengan kesungguhan serta semangat papa mereka. Kami melihat perjuangan Abang Bad daripada awal dan sentiasa menjadi bapa contoh yang berjaya,” bicara Datin Salwa mengakhiri perbualan.
BACA JUGA: Rahsia Awet Muda Datin Salwa Abdul Rahman
This website uses cookies.