Bagi pencinta haiwan terutama kucing tentu gembira apabila nasib haiwan comel dan manja itu terbela. DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah mencetuskan idea dan mengambil inisiatif untuk mengumpulkan kucing-kucing terbiar yang diselamatkan oleh baginda sendiri.
Sebuah kediaman telah disediakan untuk menempatkan kucing-kucing terbiar tersebut. Teratak kucing yang indah dan mesra dengan habitat kucing telah digelarkan sebagai Casa De Cat.
Setakat ini Casa De Cat telah mengumpulkan 5 ekor anak kucing, manakala 12 ekor lagi kucing terbiar yang turut Tengku Permaisuri Norashikin selamatkan dari jalanan, kini ditempatkan di beberapa lokasi berbeza.
Ads
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja program SFS kendalian SPCA Selangor, sebelum ini berhasrat mewujudkan sebuah lokasi yang mampu menjadi transit kepada kucing-kucing terbiar sebelum mereka diambil sebagai haiwan angkat.
Baru-baru ini Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menerima kunjungan mesra isteri kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, YBhg. Cik Puan Sofie Louise Johansson ke teratak kucing, Casa De Cat yang berlokasi di Shah Alam.
Ads
Cik Puan Sofie yang juga seorang pencinta haiwan, mempunyai minat dan pandangan sama terhadap nasib haiwan terbiar sepertimana kempen Stray-Free Selangor (SFS) yang dinaungi oleh Tengku Permaisuri Norashikin.
Ads
Che Puan Sofie yang berasal dari Sweeden ini khabarnya mempunyai kelulusan pendidikan dalam Bahasa Inggeris dan Sosiologi. Cik Puan Sofie dilahirkan pada 6 Jun 1986 dan membesar di Linköping, bandar yang terletak di utara Sweden dan aktif menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak di bangku sekolah lagi.
Info
Kempen Stray Free Selangor (SFS) adalah kempen yang dijalankan oleh SPCA untuk menangani masalah kucing terbiar (kucing jalanan) dengan kaedah yg lebih berperikemanusian. Kempen ini telah dilancarkan pada bulan Mac 2017, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang telah berkenan menjadi Penjaga Diraja untuk STRAY FREE SELANGOR (SFS).
Mendengar kisah wanita ini saja sudah meruntun jiwa apatah lagi membayangkan beban yang terpikul dibahunya. Dalam usia yang masih muda, saat sedang mengecap bahagia hidup berumah tangga di samping suami tersayang tiba-tiba kemanisan itu diragut dalam sekelip mata.
Dalam keadaan yang belum bersedia, Aiza Syafinaz Haji Shahak terpaksa menerima hakikat suaminya sudah tidak ada lagi di sisinya. “Tak sangka, saya memang tak sangka suami yang diharapkan untuk menjaga saya hingga ke hari tua, akhirnya pergi selama-lamanya dalam keadaan saya tidak bersedia,” tutur isteri kepada mangsa korban ke-24 (kes ke 1056) COVID-19 ini memulakan bicara.
Hati isteri mana yang tak remuk, menerima berita kematian suami tanpa dapat mengucapkan selamat tinggal. “Saya tak dapat melihat suami buat kali terakhir apatah untuk memberikan kucupan selamat tinggal atau mengiringinya hingga ke destinasi terakhir. Hanya sebelum suami masuk ke dalam ICU, saya sempat bersalam dengannya. Itu lah pertemuan terakhir kami,” terang Aiza Syafinaz jujur.
“Suami pergi dalam usia yang sangat muda iaitu berusia 36 tahun, meninggalkan saya 35 hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya. Walaupun perit menanggung perpisahan ini namun saya terima. Saya reda kerana arwah telah berkali-kali pesan, jaga diri dan kuatkan semangat,” kata wanita cekal ini.
Kenangan terakhir Syawal tahun lalu
Bergetar jantung tatkala wanita yang baru 8 hari (ketika artikel ini ditulis) ‘ditinggalkan’ suami ini tidak lepas menyebutkan kalimah Allah di setiap bait bicaranya, “Allah uji kerana Allah sayang. Jika ujian ini tanda Allah SWT ingin tingkatkan darjat kami sebagai hambaNYA, saya terima dengan reda,” ucap Aiza Syafinaz saat dihubungi.
Terasa begitu besar penderitaan yang ditanggung oleh wanita yang baru berusia 34 tahun ini. Tapi benarlah, Allah SWT tidak akan menguji kita sedemikian rupa melainkan kita mampu memikulnya.
Belum sempat merawat luka kerana pemergian suami ke negara abadi, wanita ini pula telah disahkan positif COVID-19. “Ya, saya adalah ‘Pejuang COVID-19’. 4 hari selepas suami meninggal dunia, saya pula disahkan positif COVID-19 walaupun tidak mengalami sebarang simptom. Kini sudah 4 hari saya dirawat di hospital.
Namun, saya serahkan jiwa dan raga di atas aturan dan perancangan Allah SWT. Sesungguhnya kita semua makhluk Allah yang dikasihi dan disayangi, Ya Rahman, Ya Rahim dan Yang Maha Agong.
Tiap kali bangun dari tidur saya katakan pada diri, ini semua adalah mimpi ngeri dalam hidup saya. Tapi bila matahari mula bersinar di dada langit saya tersedar ini rupanya bukan mimpi,” kata Aiza Syafinaz yang sudah seminggu tak boleh tidur malam sehingga tekanan darahnya naik 179/85.
Gambar perkahwinan
Bercerita tentang impian bersama suami yang telah dikahwini selama 10 tahun, “Impian kami yang belum tercapai adalah untuk menimang cahaya mata. Arwah juga sedang merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana tahun depan di Universiti Kebangsaan Malayisa (UKM). Arwah mahu sambung belajar demi meningkatkan diri dan mencapai pangkat yang lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mangsa korban ke-24 (kes ke 1056) COVID-19, Mohd Fairos Saberon
Apa yang saya lakukan sekarang di dalam ward? Kini saya ada ‘me time‘ dengan Allah SWT. Mungkin Allah SWT rindu mendengar bicara hati saya melalui zikir, solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Doa dalam setiap sujud saya agar segera lenyap virus ini. Selain itu, saya banyak menghabiskan masa dengan menulis,” kongsi isteri kepada Mohd Fairos Saberon ini.
Tidak cukup dengan dugaan yang sedia ada, wanita ini juga perlu kuat semangat dan memanjatkan doa buat ayahnya yang juga telah disahkan positif COVID-19. “Kampung saya di Simpang Renggam masih lagi total lock down (Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan – PKPD. Ayah saya juga dikuarantin di Hospital Permai, Johor Bahru sejak 19 Mac sehingga hari ini,” katanya.
Tiada ucapan yang mampu menggambar kekuatan jiwa wanita ini. “Kekuatan dan ketabahan saya banyak dipinjam dari arwah suami. Saya perlu kuat, berfikiran positif, tak menangis dan menjaga emosi untuk meningkatkan imun badan.
Saya juga perlu suntik semangat kepada rakan-rakan dalam wad ini yang salah seorangnya adalah pembantu dapur tukang masak Istana Negara yang juga positif COVID-19,” ungkap Aiza Syafinaz.
Tambah Aiza, “Jika sebelum ini, menjelang Ramadan saya adalah orang yang paling sibuk mengambil tempahan biskut raya. Mungkin sama sibuknya dengan tukang jahit sebelum menjelang Syawal. Tapi Allah SWT tarik hand brake saya sekejap pada tahun ini. Pasti ada hikmahnya,” ujar usahawan biskut dan produk IKS ini mengakhiri bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah menjadi lumrah, apabila memiliki rupa paras yang cantik seiring dengan kehebatan tersendiri pasti akan menjadi tumpuan serta bualan ramai.
Seperti gadis jelita berusia 22 tahun ini. Bukan calang-calang gadis ya, Ana Maria Markovic merupakan pemain bola sepak wanita tercantik di dunia!
Biarpun sering tampil lasak dan lincah di padang, ada juga yang melabelnya sebagai wanita seksi. Namun begitu, Ana Maria Markovic kurang senang dengan gelaran itu sebaliknya dia lebih suka jika digelar wanita tercantik.
Ia dibuktikan oleh media Eropah bahawa penyerang pasukan kebangsaan wanita Croatia ini adalah pemain bola sepak tercantik di dunia.
Ana Maria Markovic juga sering berkongsi gambar-gambarnya di media sosial yang membuatkan para pengikut dan netizen terpegun. Gambar-gambar tersebut kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti bola sepak serta swafotoya sendiri.
Dengan kelebihan bakat serta kecantikan yang dimiliki, Ana Maria Markovic berjaya meraih 1.1 juta pengikut di Instagram (setakat artikel ini ditulis).
“Saya suka artikel yang menggelarkan saya sebagai pemain tercantik kerana saya gembira mendengar saya cantik,” katanya seperti yang dipetik dari BolaSport.com dari Daily Star.
“Bagaimanapun, ada juga artikel yang menggambarkan saya sebagai pemain bola sepak yang seksi. Saya tidak menyukainya,” kata Ana Maria Markovic.
Untuk info, Ana Maria Markovic memulakan kerjaya profesionalnya bersama kelab Switzerland FC Zurich pada tahun 2017.
Dia bermain selama dua tahun di sana sebelum berpindah ke Grasshopper.
Persembahan cemerlang di peringkat kelab telah membawa gadis jelita ini ke pasukan kebangsaan Croatia.
Ana Maria Markovic membuat penampilan sulung antarabangsa pada tahun 2021 dan kini telah membuat lima penampilan ditambah satu gol.
Malangnya, dia disahkan tidak hadir ke Piala Eropah Wanita 2022 selepas Croatia gagal layak ke pusingan akhir.
Kredit Foto: Instagram Ana Maria Markovic
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.