‘Sambil Basuh Baju & Masak, Saya Siapkan Notes!’ Pengarah KPJ HEALTHCARE Dedah Kejayaan

Keluarga dan kerjaya perlu seimbang. Bak kata Pengarah KPJ Healthcare, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir ini, “Untuk berjaya bukan mudah. Tahap yang perlu dilalui seorang wanita adalah amat sukar kalau mereka ingin maju. Tapi tak bermakna kita tak boleh capai sesuatu matlamat itu. Dengan sedikit pengorbanan misalnya ketika saya tak mampu habiskan kerja di pejabat, saya akan bangun pagi sebelum Subuh dan lakukan apa yang perlu saya lakukan.”

Bagi wanita bekerjaya, pasti inilah rutin yang harus mereka tempuh setiap hari. Kelam-kabut dibuatnya hendak menguruskan bermacam-macam tugas dalam satu-satu masa. Namun, dengan sokongan padu keluarga, disiplin yang tinggi dan rasa bertanggungjawab semuanya berjalan lancar.

Berpuluh-puluh tahun mengerah keringat untuk pembangunan KPJ sehingga memiliki nilai pendapatan melebihi RM2 bilion, ini rupa-rupanya yang dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah, “Sambil masukkan baju dalam mesin, saya masak air, saya boleh tengok notes dan tiba waktu Subuh.. solat Subuh.

Kita kena pelbagaikan tugas-tugas tu. Jangan manjakan diri. Kita sendiri patut tanam semangat kuat bekerja bukan saja kepada diri kita tapi anak-anak dan mereka yang kita uruskan. Kalau kita malas, kita takkan capai kejayaan. Sekarang ni bukan soal hard work tapi work smart. Maknanya boleh bahagikan masa antara keluarga.

Sejak saya mula menceburi bidang korporat ni, semasa anak-anak masih kecil.. saya tak terlalu memanjakan diri saya, saya bekerja keras, mencari pengalaman dan di samping itu memberi tauladan kepada anak-anak. Saya tidak menonton televisyen sepanjang masa. Saya akan duduk dengan anak-anak di meja. Mereka belajar menghafal atau membaca dan saya sendiri dapat buat kerja saya sendiri sambil mendengar apa yang mereka buat.

Saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu sebagai satu ibadah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran, dedikasi, komitmen dan integriti tinggi demi memperoleh kejayaan. Bapa saya berpesan supaya menjadikan amanah sebagai amalan hidup dan saya juga perlu memastikan keseimbangan dalam menguruskan kerjaya dan keluarga saya.”

Memang cekal jiwa dan semangat wanita inspirasi berusia 64 tahun ini. Apa yang telah dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah nyata satu perkara yang sangat membanggakan khusus kepada seluruh kaum wanita. Beliau merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata serta lapan cucu dan berjaya meletakkan syarikat KPJ Healthcare tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur.

“Syukur alhamdulillah, semua dipermudahkan oleh Allah SWT kerana saya berjaya menaikkan nilai syarikat KPJ menjadi sebuah syarikat besar berpendapatan lebih RM2 bilion setahun dengan modal pasaran semasa lebih daripada RM3 bilion pada akhir tahun 2012. Detik itulah juga saya bersara setelah hampir 38 tahun berkhidmat dengan KPJ dan selama 20 tahun memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.”

 

 

 

Share
Published by
Suzi