Sambil Ibu ‘Bersilat’ Di Dapur, Ini Masa Terbaik Ajak Anak-Anak Memasak Bersama

Ini masa terbaik untuk anda mengambil kesempatan menghabiskan masa bersama anak-anak dan mungkin aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengajar memasak. Alam kanak-kanak sentiasa dipenuhi oleh benda baru.

Ia suatu proses pembelajaran biarpun usianya baru setahun jagung. Jadi, sudah pasti banyak perkara yang mahu dicubanya termasuklah membantu ibunya memasak dan menyediakan hidangan di dapur.

Kerja dapur biasanya dilakukan oleh anak perempuan. Namun, peranan anda sebagai ibu amat penting bagi memantau keselamatannya. Panduan berikut boleh dimanfaatkan.

(a) Buat pemantauan

Pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan anak anda tidak kiralah anak anda itu sudah mahir di dapur atau tidak. Sentiasalah memerhati gerak gerinya ketika di dapur. Tegur dengan segera jika dia melakukan kesilapan.

(b) Tetapkan peraturan

Gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami untuk membuat peraturan keselamatan yang perlu diturutinya. Terangkan kepada anak semua peraturan itu. Jika anak anda enggan ikut peraturan, bermakna dia masih belum bersedia untuk bersama anda di dapur.

(c) Sesuaikan waktu

Bukan semua waktu memasak sesuai dilakukan bersama anak, lebih-lebih lagi jika anda berada di dalam keadaan yang tergesa-gesa. Mungkin anda tidak dapat memantau anak. Mungkin juga dia akan melakukan kesilapan hingga menyebabkan kecederaan dirinya. Pastikan suasana dapur dalam keadaan selesa semasa si kecil membantu anda di dapur.

(d) Penjelasan ringkas

Kanak-kanak hanya akan merasa seronok jika dapat membantu ibunya di dapur tanpa memikirkan bahaya yang mungkin dihadapinya. Jadi, sebelum memasak terangkan kepadanya akibat jika dia main-main atau tidak serius.

(e) Nilaikan kelayakan

Tidak semua anak kecil boleh dibenarkan berlegar bebas di dapur apatah lagi jika anda sedang memasak. Nilai sejauh mana anak anda dapat membantu anda di dapur. Jika dia masih terlalu kecil, sukar dipantau dan tidak betah duduk diam lebih baik jauhkan dia dari ruang dapur.

(f) Bantu dan ajar anak

Jika anak anda baru belajar menggunakan perkakasan dapur atau memotong bawang, bantunya terlebih dahulu. Peralatan seperti pisau membahayakan dirinya. Pemantauan daripada anda dapat mengelakkan kecederaan.

(g) Tugasan bersesuaian

Jika anda mahu memberikan sebarang tugasan kepadanya, lihat dahulu sejauh mana kebolehannya. Lihat kepada usia dan kemahiran yang ada padanya. Jika anak anda itu rendah daripada ketinggian dapur dan masih belum pandai menggunakan senduk, usahlah sesekali memintanya mengacau gulai di dapur.

Share
Published by
KR