Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei 2019 meninggalkan seribu satu pengajaran. Bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji dan semangat cekal arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 18 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Aktif menaikkan kembali empayar kosmetik ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti Allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena selesa menggayakan baju, aksesori dan beg tangan milik arwah ibunya.
Ads
Mengikuti perkembangan terbaharu Irdiena, dia yang selesai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu lantas mengambil alih legasi peninggalan arwah ibu. Tidak menjadikan usia mudanya sebagai penghalang, Irdiena yang kini menyandang tugas selaku Pengurus Pemasaran Dnars Skincare optimis mengharungi jatuh bangun dalam dunia perniagaan seperti yang pernah dilalui ratu hatinya suatu ketika dulu.
Kerap ditemani abang tersayang dalam setiap kempen promosi, Irdiena menerusi media sosial miliknya sering meluahkan rasa rindu terhadap arwah ibu tersayang. Jelas tergambar betapa akrabnya hubungan ibu dan anak tersebut. “Tanpa berkat doa mami, kakak takkan mampu untuk hadapi setiap rintangan hidup dan kakak takkan jadi seorang anak perempuan yang kuat pada saat ini.
Impian kakak takkan pernah berubah, ia masih sama dan akan tetap terjadi seperti yang mami harapkan. Semoga mami terus melindungi kakak dan permudahkan setiap urusan hidup kakak. Andai sahaja hari ini mami masih ada kakak yakin mami pasti ibu yang paling bahagia kerana separuh daripada impian dan hajat mami sudah tercapai sekarang.”
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah usahawan kosmetik berkenaan sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Waktu itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Ads
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Ads
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit: Instagram Irdnar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Membina empayar perniagaan bukan suatu tugas yang mudah dan memerlukan kekuatan seputar 360 darjah. Cabaran berniaga itu berliku-liku, tapi berjaya ditempuh oleh usahawan sarung tangan yang tersohor ini.
“Saya bermula dari bawah, malah sejujurnya saya sendiri yang memasarkan sarung tangan buatan tempatan berasaskan kain kapas ini dari pintu ke pintu.
Masa itu, cabaran utama sudah tentulah dengan lambakan produk dari negara China yang jauh lebih murah daripada produk tempatan.
Tapi disebabkan keyakinan terhadap kualiti produk sendiri, saya bersyukur kerana sarung tangan kami mula diterima pengguna dan akhirnya berjaya mendominasi pasaran sarung tangan di Malaysia,” tutur Dato’ Jennifer Ong membuka mukadimah.
Kewibawaannya tidak perlu disangkal lagi. Dato’ Jennifer pernah dinobatkan dengan beberapa anugerah termasuk Asia Pacific Most Promising Woman Entrepreneur Award 2014, Asia Top Business Award 2016 dan 100 Most Influential Young Entrepreneur 2016. Beliau turut tersenarai di Malaysian Book of Records dalam kategori Women Achievement 2017.
“Percaya tak, di universiti dulu saya tak pernah ambil jurusan perniagaan kerana lebih tertarik dengan dunia perhotelan.
Sebabnya waktu kecil dulu, saya teruja bercuti di hotel-hotel besar sampaikan berhasrat nak menceburi bidang perhotelan yang glamor. Tapi sebaik tamat pengajian dan pulang ke tanah air, lain pula jadinya,” kata Pengarah Urusan JO Glove tersebut.
Anak Malaysia
Walaupun masih muda dan menguasai sebuah organisasi di bawah telunjuknya, wanita kelahiran Perak ini bangga bergelar bangsa Malaysia. Megah membawa diri ke merata pelosok dunia sebagai anak Malaysia yang merdeka.
“Saya tak pernah malu untuk memperkenalkan diri sebagai warganegara Malaysia. Definisi merdeka bagi saya adalah sebuah negara berdaulat yang mempunyai kebebasan, hak kewibawaan dan kuasa.
Laungan kemerdekaan pada tahun 1957 itu benar-benar menyentak nurani. Saya sangat mengagumi tokoh kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kerana semangat yang tidak pernah padam menuntut kemerdekaan dari kerajaan British.
Sebenarnya sejak zaman remaja, saya dihantar menuntut ilmu di Amerika Syarikat dan menghabiskan masa membesar di sana. Budaya di sana, semua orang dilayan sama rata.
Kini apabila memegang sebuah organisasi sendiri, saya tekad membentuk syarikat mengikut acuan yang adil dan saksama.
Tiada perbezaan bangsa dalam organisasi syarikat dan saya selalu memberi peluang kepada sesiapa sahaja. Pembantu peribadi saya pun seorang wanita India yang sangat cekap dan setia bersama saya selama hampir 10 tahun lamanya.
Pada saya perbezaan bangsa bukan penghalang untuk mengecap sebuah kejayaan, yang penting mereka boleh dipercayai dan jujur ketika bekerja.
Cuma sejak beberapa bulan lalu, saya masih terbawa-bawa dengan kesedihan selepas pemergian bapa. Mendiang seorang yang peramah dan baik hati.
Ketika hari pengebumiannya, terlalu ramai orang datang untuk memberi penghormatan terakhir. Terngiang-ngiang kata-kata yang sering diucapkan ketika kami bersama dahulu.
Dia pesan agar kita sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain tak kira siapa pun,” akhiri bekas penuntut jurusan Pengurusan Hospitaliti, di salah sebuah universiti Knoxville, Amerika Syarikat itu. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cabaran mendidik anak zaman sekarang tidak semudah yang dijangka. Setiap wanita yang bergelar ibu kini berdepan dengan ‘musuh’ dalam diam yang digelar gajet. Hendak atau tidak sebagai ibu moden yang mengikuti arus kemodenan terpaksa ‘beralah’ dengan anak-anak untuk meluangkan masa bermain dengan gajet. Bukan menyekat 100 peratus bermain gajet tetapi biar mengikut masa yang sesuai dan kesesuaian umur anak-anak.
Berdepan dengan masalah gajet membuatkan ibu-ibu mempunyai masalah untuk mendidik anak-anak membuat kerja rumah. Tujuan mendidik anak-anak ini bukan untuk menjadikan mereka sebagai ‘pembantu rumah’ tetapi agar mereka boleh berdikari apabila meningkat dewasa nanti.
Nadia Noordin, wanita yang berasal dari Kuantan Pahang ini berkongsi melalui laman Instagramnya tip mendidik anak bujangnya untuk membuat kerja di rumah. Contoh yang diambil oleh ibu kepada Zarif Haikal Abdul Rahman (11 tahun) dan Fariz Mikhail Abdul Rahman (9 tahun) ini adalah melipat kain. Selepas anak-anak Nadia mahir melipat kain, wanita ini telah membawa kedua-dua anaknya bersama-sama melakukan khidmat sosial dengan menukar telekung dan melipat telekung di surau-surau berdekatan kediamannya.
Tip yang dianjurkan oleh Nadia Noordin;
1 – Ajak anak lipat kain bersama-sama dan tunjukkan that you’re happy when they help and do things together.
2 – Setiap kali nak lipat kain, sentiasa ajak dia tolong and dont forget to compliment their effort. Walaupun permulaannya tak nampak macam lipat sangat hasil dia but keep on teaching and explaining to them…practice makes perfect, remember?
3 – Don’t expect perfection. Jangan banyak letakkan syarat. Baju kena lipat sempurna macam ni kena sama kena lurus kena kemas kena elok. NO. Apa saja hasil dia biarkan je dan simpan je dalam almari macam tu. Tahan sikit sakit mata tu. Kalau kita betulkan balik yang dia dah lipat tu, dia akan rasa dia gagal dan kita tak percayakan dia nanti dia akan give up awal-awal.
4 – Bila dia dah selalu buat and after a few times, dia akan automatically rasa lipat baju tu memang dia punya tanggungjawab, dia akan buat dengan sendiri je tak perlu suruh dan makin lama makin cantik la hasil lipatan dia tu. But always remember jangan over expectation. Budak-budak tetap budak-budak ada hari dia datang rajin ada hari dia datang tak nak buat pun. It’s normal tak perlu risau or complaint pulak ok? Orang tua pun ada hari terlajak rajin ada hari terlajak malas kan?
5 – PUJI. Bagi saya personally puji anak-anak sangat perlu. Tapi bukan puji semata. Contoh ayat puji : “Waahh rajinnya adik tolong mama lipat baju dan bantu mudahkan kerja mama, Allah SWT sayang ni orang yang jaga ibu dia, Allah SWT janjikan pahala yang banyak untuk anak soleh ahli syurga ni,” sambil usap kepala dan cium dia. Puji tindakan dia dalam masa yang sama masukkan elemen empathy supaya dia jadi orang yang lebih considerate tentang orang lain especially dengan ibu dia dan sentiasa masukkan peringatan setiap yang kita buat semua untuk mencari reda Allah SWT dan dapat syurga.
Insyaallah dengan izin Allah semoga anak-anak kita hadiah istimewa dari Allah SWT ni bakal menjadi saham dan pembantu kita untuk ke syurga bersama-sama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seawal pembabitannya dalam dunia seni lagi, ramai terpikat dengan kejelitaan Nur Fathia Abdul Latiff. Mana tidaknya, bukan hanya berbakat besar sebagai pelakon, dia juga...