27 Februari lepas, genap tiga tahun usia perkahwinan selebriti popular Indonesia, Syahrini dan Reino Barack. Walau sudah tiga tahun tapi kemewahan dan gilang-gemilang persandingan figura ini masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, resepsi Syahrini diadakan penuh eksklusif bukan hanya dari segi lokasi dan dekorasi dewan. Malah busana yang dipakai juga dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa!
Sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan tahun ini, Syahrini dan suami tercinta menikmati makan malam penuh romantik di sebuah restoran di Singapura. Momen indah tersebut dikongsikan Syahrini di laman Instagramnya.
Melihat perkahwinan Syahrini, tak ubah seperti majlis perkahwinan diraja. Daripada busana persandingan, aksesori sehinggalah dekorasi dewan, Syahrini sangat memahami apa yang diinginkan untuk hari bersejarahnya agar tampak serba mewah, eksklusif dan unik.
Sesuai dengan kehendak dan impian majlis perkahwinan yang diidam-idamkan Syahrini selama ini. Bertuahnya dia!
Sah bergelar suami isteri pada tanggal 27 Februari 2019, pasangan romantis ini meraikan hari istimewa mereka bersama rakan artis, media dan peminat pada 3 Mei 2019. Difahamkan hanya 120 tetamu dijemput meraikan resepsi persandingan Syahrini dan Reino Barack.
Bukan saja terpegun dengan gaun kembang mewah ala Cinderella yang terletak cantik di tubuh langsing Syahrini, venue resepsi persandingan yang digelar sebagai Dinner Silaturahmi turut menjadi perhatian khalayak kerana diadakan di Four Seasons Hotel, Jakarta. Sebuah hotel berkelas antarabangsa yang terkenal di serata dunia kerana servis dan kualiti lima bintang!
Begitu juga gaun eksklusif yang digayakan Syahrini iaitu ilham pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.
Syahrini juga selesa memilih rekaan Sebastian ketika pernikahannya di Jepun. Memetik laporan media Indonesia, Sebastian Gunawan atau lebih mesra disapa Seba terkejut ketika dihubungi adik Syahrini iaitu Rani pada awal Februari 2019 apabila diminta membuat gaun perkahwinan Syahrini dalam masa yang singkat iaitu empat hari sahaja.
Biarpun mempunyai jadual padat dan terpaksa ke luar negara seminggu sebelum pernikahan Syahrini, pereka fesyen profesional ini mampu merealisasikan gaun impian selebriti kesayangan Indonesia berkenaan dengan cukup mewah, anggun dan berjaya memukau pandangan tetamu yang hadir.
Tampil lebih eksklusif daripada rekaan persalinan yang pernah dihasilkan untuk Syahrini, gaun mewah kembang yang dipakai suri hati Reino tersebut merupakan gaun dari koleksi Sebastian Gunawan Sposa yang dicipta khusus untuk gaun perkahwinan.
Penampilan Syahrini pada resepsi Dinner Silaturahmi berkenaan lebih terserlah bak puteri kayangan dengan pemakaian mahkota dari pereka aksesori terkemuka, Rinaldy A. Yunardi yang dicipta khas semata-mata untuk majlis resepsi Syahrini di Jakarta!
Selain busana dan aksesori yang digayakan, dekorasi majlis juga tidak kurang hebatnya. Mengambil khidmat dekorasi perunding perkahwinan, Lotus Design, suasana di ruang dewan dihiasi dengan kelopak bunga teratai pelbagai saiz berwarna putih salju. Sepadan dengan penataan warna suci tersebut dari gerbang pintu masuk sehinggalah di atas singgahsana.
Untuk menghidupkan lagi efek mewah dan klasik, Lotus Design menyerikan ruang siling dewan dengan juraian kristal, bunga-bungaan berwarna putih dan lampu candelier. Ternyata, idea kreatif itu berjaya menyerlahkan suasana mewah dan tampak sempurna tatkala mempelai berarak masuk menuju pelaminan.
This website uses cookies.