Sebut sahaja Dato’ Seri Vida pasti ramai yang sudah membayangkan reaksi spontan usahawan berjaya ini. Kalau dulu dia dikenali dengan tagline ‘Qu Puteh’ hingga mencetuskan fenomena di kalangan peminat cilik, kini nama Dato’ Seri Vida kembali hangat diperkatakan sejak single pertamanya, I Am Me menembusi pasaran.
Baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-46 semalam, 24 Oktober, Dato’ Sri Vida yang kini berada di Tanah Suci sedang mengerjakan umrah bersama beberapa orang sahabat baik termasuk Dato’ Sri Salmah Ismail dan telah berangkat ke sana sejak 14 Oktober lalu. Niat murninya untuk membawa pelajar Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiah mengerjakan umrah bersama-sama bagaimanapun tidak kesampaian kerana urusan visa yang belum selesai.
Meskipun berat hati, dia tetap gagahkan diri untuk menjadi tetamu Allah selepas perancangan ke sana tertangguh sekian lama disebabkan kekangan kerja. Menerusi Instagram miliknya, Dato’ Seri Vida juga dilihat kerap berkongsi perkembangan dan aktiviti sepanjang berada di sana.
Selain tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur atas kurniaan yang diperolehnya hari ini dan diperkenankan Allah untuk kembali ke Mekah untuk mengerjakan umrah kali ke-10, Dato’ Seri Vida juga tidak henti-henti mendoakan insan lain agar diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Dan yang paling menarik perhatian kami adalah perkongsian Dato’ Seri Vida tentang keberkatan doa duduk di antara dua sujud yang telah diamalkannya selama ini.
“Sebenarnya kita boleh berdoa senang je, doa antara dua sujud ‘Rabbighfirli, warhamni, warjburni, warfa’ nii, warzuqnii, wahdinii, wa’ aafini, wa’ fuannii’. Inshallah akan diangkat darjatnya dunia akhirat.”
Oleh sebab kunjungannya kali ini antara yang terawal, Dato’ Seri Vida turut berpeluang menziarah Makam Rasulullah SAW dan para sahabat dengan lebih dekat serta tenang berbanding umrah sebelum ini. Biarpun sering dikritik dan penampilan Dato’ Seri Vida dianggap keterlaluan, pasti ada sesuatu dalam diri insan ini sehingga Allah SWT mengatur perjalanannya sebegitu lancar. Wallahualam.
Mencari Keberkatan Melalui Solat Dhuha
Salah satu cara untuk menjemput rezeki dan beroleh keberkatan hidup di dunia adalah dengan mengamalkan solat sunat Dhuha. Berikut panduan mengerjakan solat Dhuha.
- Bilangan rakaat – paling minimum adalah dua rakaat dan boleh dilakukan tanpa batasan jumlah rakaat
- Waktu – sewaktu matahari mula naik, sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengah hari. Waktu afdal pada saat matahari panas terik
- Niat solat – Contohnya, ‘Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala’
- Surah yang disarankan – Ayat al-kursi 10 kali & Al-Ikhlas 10 kali; As-Syams & Ad-Dhuha; Al-lail & Al-Insyirah (solat dua rakaat)/ As-Syams & Ad-Dhuha; Al-Kafirun & Al-Ikhlas (solat empat rakaat)
- Bertasbih – ‘Subhanallah walhamdulillah walaa ilaaha illal laahu akbar, walaa hawla walaa quuwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘azim ‘adada khal qil laahi wabidawaami mulkillah (10 kali selepas memberi salam)
- Baca doa ini setelah selesai solat