Sambut Hari Lahir Ke-21, Makin Cantik Atlet Terjun Negara DHABITAH SABRI!

Terpegun tengok wajah terkini atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri. Tidak sampai seminggu menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 baru-baru ini, tidak dinafikan Dhabitah sememangnya memiliki aura yang mampu membuatkan sesiapa sahaja ingin melihatnya berkali-kali. Malah, pesona anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menarik perhatian media antarabangsa ketika temasya Sukan Olimpik Rio 2016 kerana sikapnya yang gemar tersenyum!

Mengimbas kembali momen Dhabitah dalam acara sukan dunia yang berlangsung kira-kira empat tahun lalu itu, nama Dhabitah meniti di bibir peminat sukan di seluruh dunia yang tertawan dengan senyuman manisnya meskipun ketika berada di kolam renang. Walau terjunan Dhabitah ketika itu kurang kemas namun dia tetap melemparkan senyuman kepada penonton. Aura positif Dhabitah cukup menyenangkan hingga rata-rata mereka yang menyaksikan acara sukan berkenaan memuji atlet kebanggaan Malaysia ini.

Sebaik menyedari namanya diperkatakan ramai, empunya diri memberitahu tindakannya yang dilihat sering tersenyum sebelum dan selepas membuat terjunan adalah kerana mahu menghilangkan perasaan gemuruh.

Mengintai foto terbaru Dhabitah di laman media sosial, jaguh renang yang dilahirkan pada 12 Julai 1999 ini turut berkongsi gambar sambutan hari lahir di samping kekasih hati yang merupakan pemain bola sepak Kuala Lumpur FA, Azhar Apandi. Kongsi Dhabitah, “Happy Birthday to me! Alhamdulilah.. Not the birthday that I had planned but a birthday that I needed. I want to say thank you for all the wishes & I’m sorry kalau ada wish yang saya tak perasan or tak reply. Most importantly, I want to say a BIG FAT THANK YOU to my loved ones for the meaningful celebration.”

Difahamkan anak bongsu kepada pasangan Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar ini mula didedahkan dengan sukan renang selepas memperlihatkan minatnya terhadap sukan berkenaan sejak kanak-kanak lagi. Sepanjang bergelar atlet, Dhabitah yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah berjaya merangkul pelbagai anugerah.

Antaranya penerima Anugerah Sekolah Sukan Bukit Jalil (Atlet Sukan Wanita Terbaik), 100 plus Sports Awards (Atlet Harapan Malaysia 2016), pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014, penerima pingat emas Asian Diving Cup 2015, FINA Diving Grand Prix, Sukan SEA 2015, Sukan SEA 2017 dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Atas pencapaian cemerlang dalam bidang sukan, Dhabitah diberi kepercayaan membawa obor terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lebih membanggakan, atlet akuatik negara ini menjadi antara 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara. Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu, Dhabitah dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (AMW).

Share
Published by
Suzi