Setelah sebulan berpuasa, seluruh umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Khamis ini. Tahun ini merupakan tahun kedua kita menyambutnya berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya akibat penularan pandemik COVID-19.
Sehubungan dengan itu, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya di Negeri Selangor dan di Malaysia am-nya.
Mengambil berat tentang kebajikan rakyat khususnya di Negeri Selangor susulan meningkatnya jumlah kes-kes baharu jangkitan wabak Covid-19 yang sangat berbahaya, Baginda menyeru rakyat jelata agar menyambut Hari Raya kali ini dalam suasana yang sederhana dan waspada memandangkan Negeri Selangor masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Baginda amat bimbang dengan angka kes-kes jangkitan baharu dan kematian di Negeri Selangor yang semakin meningkat setiap hari.
Baginda mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan-amalan lazim Hari Raya seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung, demi mengelakkan wabak ini daripada terus merebak sehingga sukar dikawal.
Baginda turut berpesan supaya rakyat jangan mengambil mudah dengan bahaya wabak ini dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.
Paling penting, Baginda mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam untuk mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa.
Baginda tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak ini dan menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan wabak ini sepenuhnya.
Sumber: @selangorroyalofficial
This website uses cookies.