Beruntungnya Datin Vivy Yusof dapat peluang menyambut 1 Ramadan di Mekah tahun ini. Lebih istimewa, kunjungan Vivy dan suami ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah kali ini turut ditemani kedua-dua ibu bapa tersayang. Syukur alhamdulillah!
Menerusi perkongsian Vivy di Instagram miliknya, pengasas FashionValet dan The dUCk Group ini mendedahkan hatinya tiba-tiba terdetik untuk pergi menunaikan umrah dan hasrat tersebut disuarakan kepada suami tercinta, Dato’ Fadza Anuar.
“Perasaan itu datang secara tiba-tiba! Lepas pandemik memang kami nak pergi bercuti ke luar negara lagi dan saya rasa Tanah Suci adalah destinasi pertama.
Apatah lagi kami baru saja sembuh dari Covid-19 tanpa sebarang komplikasi, semua urusan dipermudahkan dan kami perlu memanjat kesyukuran kepada Allah SWT.”
Perancangan demi perancangan disusun Vivy dan suami. Tidak hanya memikirkan tahap kesihatan kedua-dua ibu bapa agar terhindar dari Covid-19 semasa di Mekah, pasangan usahawan ini juga sanggup menangguhkan urusan perniagaan dan tugas di pejabat demi mahu menjadi tetamu Allah.
Hanya sehari sebelum bertolak, barulah mereka memperoleh visa dan penerbangan ke sana.
Salah satu perkongsian Vivy yang pastinya membuatkan ramai tersentuh apabila bapa tersayang bertanya mengenai ‘hadiah’ yang diberikan Vivy kepada Nabi Junjungan Rasulullah SAW sewaktu menziarahi Madinah.
“On the way to the mosque, Dad asked me “What is your gift to him?” Huhhh? Like a present chocolates kind of thing?”
“You should come prepared to see your Prophet. At least gift thousands of Selawat to him on your way here.”
Kongsi Vivy, kata-kata bapa tersayang itu akan dia ingat sampai bila-bila dan perlu sentiasa bersedia. Jangan sekadar datang dengan tangan kosong, berdoa dan pulang. Perlu beri ‘ektra’ buat Nabi Muhammad SAW.
Beberapa hari di Tanah Suci Mekah, Vivy bukan hanya berkesempatan menyampaikan kiriman doa daripada rakan-rakan. Malah turut berkongsi suasana dan persekitaran di sana yang amat dirindui umat Islam. Lebih-lebih lagi ketika Ramadan tiba.
Lambaian Kaabah yang tersergam indah, ruang Raudah yang dirindui, melihat Masjidil Haram, momen ketika melakukan saie dan bermacam-macam lagi perkongsian Vivy sudah pasti memberi manfaat.
Vivy juga sempat mengambil beberapa gambar keindahan Mekah termasuk Kaabah dari jarak dekat kepada followers untuk mereka jadikan sebagai kenangan.
Nona pasti, perkongsian Vivy ini mengenai Kota Madinah, Tanah Suci Mekah dan keindahan suasana di sana sekurang-kurangnya menjadi pengubat kerinduan semua yang beragama Islam.
Semoga ibadah Vivy sekeluarga diterima Allah SWT dan dikurniakan umrah yang mabrur. Buat pembaca Nona, didoakan agar kita semua diberi peluang dan dapat kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Selamat menjalani ibadah berpuasa!
This website uses cookies.