Pelakon dan pengacara Yaya Zahir, selamat melahirkan cahaya mata lelaki melalui perkongsian di laman Instagram miliknya pada 11 April lalu.
“He’s Here,” kongsi Yaya di ruangan kapsyen. Menerusi perkongsian tersebut, Yaya hanya menunjukkan bibir anaknya dan mengenakan selimut berwarna biru.
Terdahulu, Yaya menyimpan rahsia tentang kehamilannya dan hanya berkongsi kepada umum ketika kandungannya menjangkau enam bulan. Yaya pernah berkongsi pengalaman sepanjang kehamilan di mana dia pernah mengidam untuk menikmati makan Korea bukan di Malaysia, tetapi dari sebuah restoran Korea yang terletak di Myeongdong, Korea.
Dek kerana mengidam, Yaya sanggup terbang ke Korea untuk menikmati hidangan di restoran tersebut!
Nampaknya lebaran tahun ini disambut dengan kehadiran orang ketiga dalam kehidupan berumahtangga Yaya dan suaminya, Arriz Azim. Yaya turut berkongsi foto keluarga kecilnya di Instagram miliknya. Selamat Hari Raya from Me, @arrizazim and our son, Atheer 🖤
Meskipun masih dalam proses berpantang usai melahirkan zuriat sulungnya, kejelitaan Yaya jelas terserlah dalam persalinan baju raya disamping keluarga kecilnya. Sedikit pun tidak menggambarkan dirinya sedang berpantang!
Selamat berpantang Yaya Zahir. Memang dugaan berpantang musim raya ni. Tetapi demi menjaga kesihatan dalaman, teruskan berpantang sebaik mungkin!
Ratu Cantik & Naib Presiden Limkokwing University, DATO’ DANIA Memukau Di Usia 44 Tahun!
Orangnya bijak, ramah, bertubuh langsing dan menawan. Penampilan Dato’ Wahadaniah Abdul Wahab atau lebih mesra disapa Dato’ Dania memang tidak ubah persis seorang ratu cantik. Jadi, tak hairanlah ibu kepada seorang cahaya mata ini dinobat sebagai Mrs Fabulous Malaysia 2019. Ternyata, beliau layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Dato’ Dania seorang wanita yang berdisiplin dan mengamalkan budaya kerja teratur. Barangkali kerana beliau sudah terbiasa dengan tuntutan kerja yang rapi sepanjang menjawat tugas Naib Presiden Limkokwing University of Creative Technology. Bukan calang-calang jawatan tu!
Bukan mudah seorang wanita yang sudah berkeluarga diberi mandat menggalas jawatan penting dalam sesebuah organisasi. Apatah lagi bagi institusi pendidikan tinggi yang membabitkan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi muda. Pastinya, Dato’ Dania memiliki kredibiliti yang hebat sehingga beliau meraih kepercayaan menjadi salah seorang individu penting dalam pentadbiran universiti swasta terulung itu.
Mahu lebih berjaya dan memberi inspirasi serta mengangkat martabat wanita di mata dunia, Dato’ Dania nekad mengasah potensi diri dengan menyertai Mrs Fabulous Malaysia 2019, sebuah pertandingan ratu cantik yang mengasah bakat golongan wanita berkahwin termasuk ibu tunggal dalam bidang sosial dan ekonomi. Ujar pemenang Mrs Fabulous Malaysia 2019 ini, “Peranan wanita hari ini bukan sahaja menjadi suri rumah, mereka juga mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
Penglibatan saya dalam Mrs Fabulous Malaysia 2019 memberi peluang untuk membuktikan dan melakar kehidupan serta cita-cita pada masa depan. Memenangi pertandingan ini juga membantu meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal saya dengan lebih baik. Ia berjaya menjadikan saya lebih berkeyakinan dan berhati waja dalam memastikan segala kemahiran yang saya dapat dimanfaatkan dengan baik.
Kejayaan ini tidak akan diperoleh tanpa sokongan dan komitmen anak tunggal saya, Adi Muhammad Irfan, keluarga, teman istimewa, rakan kerja, mentor dan pasukan Teamworks yang banyak memberi latihan pembangunan diri kepada setiap wanita. Terutamanya melibatkan sektor keusahawanan, bakat dan pengucapan awam. Fokus pertandingan ini juga tidak tertumpu kepada kecantikan semata-mata tapi lebih menekankan keupayaan wanita itu sendiri.”
Selain terlibat dengan usaha kemasyarakatan, Dato’ Dania juga sedang rancak mengusahakan projek pemerkasaan wanita menerusi teknologi era digital dan perkhidmatan E-perdagangan secara dalam talian di Fabulous Tele Virtual (FTV).
Ditanya mengenai pengurusan masa di antara kerjaya dan keluarga, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mendedahkan, “Sebagai hamba Allah, ibu tunggal, anak dan juga wanita bekerjaya saya memerlukan komitmen pengurusan masa dan disiplin yang amat tinggi.
Tiada perbezaan ketara antara budaya wanita di Malaysia dengan negara lain cuma yang menjadi asas penting adalah kebijaksanaan seseorang wanita itu dalam mengimbangi tugas dan tanggungjawab kepada keluarga.
Setiap minit yang ada dalam hidup ini tidak boleh kita sia-siakan. Wanita hari ini perlu multitasking. Misalnya apabila berada di tempat kerja, segala masa dan tumpuan saya adalah sepenuhnya untuk menyelesaikan urusan pentadbiran dan perancangan strategik syarikat. Begitu juga apabila berada di rumah. Ia dua perkara yang tidak boleh dicampur-adukkan. Bagi saya, keluarga adalah segalanya. Tanpa keluarga, banyak perkara tidak akan berlaku.”
Walaupun sudah meniti usia 44 tahun, penampilan Dato’ Dania sentiasa mencuri tumpuan. Mana tidaknya, bersandarkan tubuh ramping dan tinggi lampai pasti ramai yang menyangka personaliti ini persis anak dara. Hakikatnya, Dato’ Dania merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang sudah meningkat dewasa.
Menyingkap rejim kecantikan yang diamalkan, Dato’ Dania lantas menyusun bicara. “Urich berpendapat bahawa, ‘Luar yang sihat bermula dari dalam.’ Tidak dinafikan, saya kerap melakukan rawatan kecantikan dan kesihatan diri di pusat kecantikan atau spa. Dengan rawatan spa yang konsisten juga menyumbang kepada kesihatan tubuh badan yang sihat dan menguatkan sistem imun badan.
Bagi saya, rawatan di spa juga mencegah diri daripada keletihan dan kegelisahan akibat tekanan hidup seharian. Bila tubuh badan kita sihat, semua pekerjaan yang kita buat jadi lebih mudah.
Selain berkunjung ke spa, saya juga pergi ke gimnasium selepas waktu bekerja bila ada masa terluang. Tujuan saya pergi ke gim adalah untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal agar saya tetap sihat dan tenang. Dalam masa sama, untuk jaga kecergasan tubuh badan.”
Natural & Tanpa Bahan Kimia, Semak 6 Fakta Menarik Tentang MINYAK ZAITUN Untuk Rambut Anda!
Sejak dahulu hingga kini, kuasa minyak zaitun memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun dan ia di antara buah sunah yang tersebut di dalam Al-Quran.
Selain boleh dijadikan sebagai makanan dan penyedap rasa ketika memasak, buah zaitun juga dapat menghasilkan minyak yang sangat bermanfaat untuk kecantikan.
Minyak zaitun boleh diaplikasi di luar tubuh mahupun di dalam tubuh demi manfaat yang tidak terhingga. Selain itu, minyak zaitun kaya dengan vitamin E, K dan asid lemak yang berfungsi untuk melembapkan setiap helaian rambut. Rambut pasti akan semakin bersinar, lembut dan kuat.
(a) Rambut Menjadi Kuat
Masalah rambut seperti keguguran dan putus adalah kerana kurang nutrisi penting dalam pertumbuhan rambut yang sihat. Selain vitamin E tadi minyak zaitun mengandungi nutrisi penting seperti Biotin, Niacin, Vitamin dan D yang penting untuk penjagaan rambut dan meningkatkan kualiti rambut. Nutrisi ini juga membantu rambut tumbuh secara subur dan terhalang daripada keguguran yang terlalu ketara.
(b) Menghilangkan Kelemumur
Minyak zaitun juga boleh diadun dengan ramuan lain bagi meningkatkan lagi kuasanya untuk kecantikan rambut. Kombinasi di antara minyak zaitun dengan lemon dapat menghilangkan kelemumur daripada terus melekat pada kulit kepala.
Anda tidak perlu risau lagi jika mempunyai masalah pengelupasan kulit kepala kerana ramuan minyak zaitun dan lemon itu adalah jalan penyelesaiannya. Kuasa lemon ini akan menghilangkan kelemumur dan kuasa minyak zaitun pula akan melembapkan kulit kepala daripada terus menggelupas. Campuran ini boleh diletakkan di atas kulit kepala dan picit lembut sebelum dibilas. Boleh dilakukan seminggu sekali sebelum bersyampu.
(c) Mengelak Kebotakan
Sifat antibakteria memberi kesan terbaik untuk kesihatan rambut. Masalah rambut botak mungkin kerana faktor genetik dan juga faktor bahan kimia. Penggunaan bahan kimia yang keterlaluan boleh menyebabkan rambut gugur dan seterusnya botak. Namun, minyak zaitun boleh membantu masalah ini dengan bahan terbaik antibakteria yang menghalang bahan kimia daripada terus berkuasa.
(d) Mengatasi Rambut Bercabang
Rambut bercabang boleh menjadi punca kepada stres dan juga merendahkan keyakinan diri. Masalah kerosakan rambut ini boleh dirawat dengan minyak zaitun. Titiskan minyak zaitun di atas kulit kepala dan sapu lembut sehingga ke hujung rambut. Ia berupaya melembutkan rambut, melembapkan serta memperbaiki daripada akar rambut. Kemudian buang semua rambut yang bercabang dengan memotong hujung rambut sehingga rambut akan hilang semua yang bercabang itu.
(e) Elak Rambut Kembang
Kuasa minyak zaitun pada rambut gugur memang tidak perlu disangkal lagi. Tetapi bagaimana pula rambut yang mengembang terutama mereka yang mempunyai rambut kerinting? Rambut yang mengembang ini biasanya cepat kering dan kemudian menjadi rosak. Solusi untuk membantu menyihatkan keadaan ini adalah dengan minyak zaitun. Kuasa minyak zaitun ini mampu merawat rambut dan kulit kepala dengan begitu mudah dan efektif.
(f) Pengganti Perapi Rambut
Alamak, tiba-tiba perapi rambut habis. Anda tidak perlu buntu kerana minyak zaitun mempunyai fungsi yang sama seperti perapi rambut. Minyak zaitun berupaya memberi kelembapan kepada rambut dan rambut kelihatan sihat dan bersinar. Minyak zaitun juga kaya dengan vitamin A dan antioksidan yang dapat melindungi keratin pada rambut dan mengunci kelembapannya. Malah boleh menghilangkan pengumpulan sebum yang menghalang pertumbuhan folikel rambut baharu.
Patut Lah Dalam Islam Tak Digalakkan Tidur Siang, Begitu Rupanya…
Hari ini dah raya, pasti macam-macam semalam macam-macam benda yang nak dimasak dan nak dikemaskan. Langsir pun belum gantung lagi. Tidurpun mesti pukul 2 atau 3 pagi. Itu pun kena sambung esok pagi untuk disiapkan. Musim perayaan ini tidur pun mesti kena jaga juga, terutama pagi raya kena bangun awal untuk solat sunat Aidilfitri di masjid.
Tidur sebenarnya dapat merehatkan tubuh setelah seharian mengerah tenaga. Tidur sering diabaikan oleh mereka yang kuat bekerja. Syukur kerana anda masih berupaya untuk tidur kerana jika dihidapi insomnia atau sukar untuk tidur boleh mengganggu kesihatan dan kualiti hidup. Tidur yang cukup selama lapan jam sehari boleh menyegarkan tubuh dan menajamkan fokus dalam kehidupan seharian. Selain itu, memiliki tidur yang berkualiti boleh meremajakan kulit dan kekal awet muda.
Tahukah anda?
Tidur yang secukupnya membantu tubuh untuk membenarkan organ-organ berfungsi dengan baik. Ketika tidur proses detoksifikasi (pengeluaran racun daripada tubuh) berlaku di bahagian hati, hempedu dan paru-paru. Sedar atau tidak anda sering membuang air ketika tengah malam? Ini kerana proses detoks sudah berlaku dan berakhir di usus besar. Selain itu darah juga turut terhasil melalui sum sum tulang ketika sedang tidur.
Bahaya tidur lewat
Tidur lewat sering terjadi kepada penggemar media sosial ketika ini. Sebenarnya tidur lewat malam boleh mengundang kemerosotan kesihatan kepada seseorang. Amalan ini menjadi punca kerosakan hati dan mengganggu keseimbangan sistem tubuh yang lain. Tambah memburukkan keadaan jika makan lewat malam kemudian terus tidur.
Tidur tanpa bra
Tidur membantu tubuh untuk menghasilkan hormon imuniti. Tidur dengan bra atau pakaian dalam boleh menyekat proses pembaikan dan detoks tubuh. Menurut Penyelidik Sydney Singer, dalam bukunya Dressed To Kill: The Link Between Breast Cancer and Bras, menggunakan bra terlalu lama dapat meningkatkan suhu payudara dan wanita yang memakai bra memiliki kadar hormon prolaktin (hormon yang berfungsi merangsang kelenjar air susu) yang lebih tinggi. Kedua-dua faktor ini dapat meningkatkan risiko pembentukan kanser payudara.
Tidur dalam gelap?
Ada suka tidur di dalam bilik yang diterangi lampu atau gelap? Sebenarnya tidur di dalam bilik yang gelap memberi manfaat kepada tubuh. Ketika dalam gelap tubuh dapat menghasilkan hormon melatonin. Hormon melatonin ini sangat penting kepada tubuh kerana boleh membantu mencegah penyakit terutama kanser. Pengeluaran hormon ini tidak akan terhasil jika terdapat cahaya atau sinar yang menerangi.
Tidur dan melatonin
Melatonin adalah sejenis bahan kimia semulajadi yang terhasil di dalam otak. Ketika malam paras melatonin ini mula meningkat. Peningkatan ini mempengaruhi rasa mengantuk dan memberi arahan supaya merehatkan tubuh dengan tidur. Kitaran melatonin ini penting kerana membantu tubuh menyeimbangi keperluan siang dan malam. Tubuh juga memerlukan zat kimia untuk mencegah kerosakan DNA dan ketiadaan zat melatonin akan menghentikan asid lemak menjadi tumor dan mencegah pertumbuhannya.
Xtra!
Apabila kita ke luar negara yang berbeza waktu pasti kita akan sukar untuk menyesuaikan diri untuk tidur. Namun paras melatonin akan cepat berubah sehingga akhirnya kita boleh mengubah dengan cepat tabiat tidur kita mengikut waktu.
Kepentingan tidur
Tidur penting untuk melancarkan beberapa fungsi tubuh seperti menjana pembaikan otot, menguatkan daya ingatan, mengawal atur bahan-bahan kimia tubuh (terutama hormon yang berkait dengan tumbesaran dan selera makan) dan menguatkan sistem imun.
Tidur seimbang berat badan
Tidur yang cukup memaksa anda untuk tidur awal. Apabila tidur awal secara tidak langsung membantu bangun lebih awal. Memiliki kehidupan yang sihat dengan memulakan hari bersarapan awal mampu menyeimbangkan berat badan. Apatah lagi jika anda bersenam di awal waktu, pasti berat badan tidak akan naik.
Bahaya tidur siang
Jika sekali-sekala tidur siang kerana kepenatan tidak mengapa. Bagaimana pula tidur siang dijadikan rutin? Sebenarnya tidur siang meningkatkan perubahan negatif kepada hormon kerana meningkatkan stres kepada tubuh ketika bangun. Ada juga yang mengatakan tidur siang menyumbang kepada mimpi buruk. Justeru, kita memang tidak digalakkan tidur selepas waktu asar.