Merafak Sembah Tahniah dan Ucap Selamat sempena Ulang Tahun Hari Kelahiran Yang Ke-51 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala lanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, fid-dunia wal-akhirat. Daulat Tuanku!
4 Jun merupakan hari ulang tahun kelahiran DYMM Tengku Permaisuri Norashikin. Menerusi perkongsian gambar di Selangor Royal Office, sememangnya ramai rakyat terpegun dengan keanggunan dan kejelitaan milik baginda.
Berita perkahwinan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bersama Tengku Permaisuri Norashikin masih segar di ingatan rakyat meskipun sudah hampir enam tahun berlalu.
Dari hari pertama melihat wajah Baginda, ramai yang mengakui tertawan dengan kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Tengku Permaisuri Norashikin yang juga merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Tengku Permaisuri Norashikin diijabkabulkan dengan Sultan Sharafuddin oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis pernikahan Baginda berdua berlangsung secara sederhana dan ringkas atas titah Baginda.
Penampilan Tengku Permaisuri Selangor ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dari segi keperibadian Baginda bahkan gaya dan cita rasa fesyen.
1 April 2021 bersempena sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita RTM untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana di Studio Wisma Berita, Angkasapuri.
Ini adalah kemunculan julung-julung kali Baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita setelah kali terakhir ke bersiaran pada 31 Ogos 2016. Untuk rekod, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 2 dekad sejak tahun 1996.
Sepanjang tempoh itu, baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Kredit : Facebook Selangor Royal Office
This website uses cookies.