Sambut Ulang Tahun Keputeraan ke-68, RAJA PUAN BESAR PERAK Kekal Anggun Mempersona!

Terpegun melihat keanggunan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ibni Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah. Personaliti Tuanku yang mesra dan sentiasa mengukir senyuman membuatkan rakyat mengagumi keperibadian Raja Nazhatul Shima. Apatah lagi Raja Puan Besar Perak ini juga dikurniakan rupa paras cantik dan menawan.

Pernah menghiasi Majalah Nona edisi Jun 2016 dalam ruangan Tetamu VIP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ialah anakanda kedua pasangan Almarhum Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Kongsi Raja Nazhatul Shima kepada Nona pada ketika itu, kekanda sulung mangkat ketika berusia enam bulan pada tahun 1944.

Menelusuri latar belakang dan keperibadian Raja Puan Besar Perak ini, Raja Nazhatul Shima baru sahaja menyambut ulang tahun hari keputeraan ke-68 pada 28 Februari lalu. Yang pasti, mesti ramai rakyat ingin tahu bagaimana Raja Puan Besar Perak menjaga penampilan diri dan sentiasa tampil mempersona.

Mengimbas kembali persoalan tentang rahsia awet muda yang diamalkan sewaktu mengadakan sesi fotografi bersama Tuanku di Istana Riswin, Perak kira-kira empat tahun lepas… kekanda kepada Permaisuri Johor Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia ini tertawa kecil.

“Eh, tak ada rahsia pun! Ambil wuduk selalu, automatik nanti wajah pasti berseri. Saya percaya pada ketenangan hati dan beristighfar selalu, insyaAllah. Amalkanlah!”

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima turut dikurniakan lima orang putera iaitu Syed Saifullah Alsagoff, Syed Ibrahim, Syed Redzuan, Syed Shareef, Syed Idris dan Syed Iskandar.

 

Kredit foto: Instagram Raja Nazhatul Shima Idris

Share
Published by
Suzi