Tanggal 23 Februari 2012 menyaksikan pasangan Datuk Yusry Abdul Halim menjadikan Datin Lisa Surihani Mohamed sebagai suri hatinya. Semalam, genap 11 tahun usia perkahwinan pasangan bahagia ini.
“11 today. Alhamdulillah. Selamat Hari Kita, sayang. Love you”- Datin Lisa Surihani.
Tidak perlu menzahirkan ucapan panjang lebar di media sosial untuk suami tersayang sempena ulang tahun perkahwinan ke 11, Lisa Surihani selesa menzahirkan raya syukur apabila usia perkahwinan mencecah usia 11 tahun.
Namun begitu, ungkapan Selamat Hari Kita mengiringi ucapan tersebut sebagai simbolik ungkapan yang sering digunakan baik Lisa mahupun Yusry sepanjang tahun sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.
Hasil perkongsian hidup selama 11 tahun itu, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahayamata iaitu Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
Sepanjang melayari bahtera perkahwinan, Datin Lisa Surihani sering menjadi pendorong buat suaminya dalam melaksanakan tugasan pengarahan dan sebagainya. Malah ibu kepada tiga cahayamata ini amat bersyukur dikurniakan suami yang amat memahami dan sentiasa mendahulukan keluarga dalam apa jua perkara yang dilakukannya.
Malah, dalam posting Instagram Datin Lisa Surihani, dia meletakkan dirinya sebagai “peneman setia dia”.
Malah laman Instagram milik Lisa Surihani dipenuhi ucapan tahniah di atas sambutan ulang tahun ke 11 perkahwinannya dari rakan selebriti dan para peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaan rumah tangga pasangan selebriti yang sama cantik dan sama padan ini.
Belajar Muzik Sampai Genggam Master, Cikgu Vee Kumpul Kekuatan Dari Perceraian Ibu Bapa
Hebatnya genggaman seorang ibu, mengalirkan kekuatan dan semangat pada anak yang dibelainya. Kasih sayang inilah yang menjadikan kita seorang manusia yang lebih berperasaan, ada empati dan integriti.
Dibesarkan oleh ibu tunggal, jelas menjadi motivasi terbesar Cikgu Vee atau Ramlah Mohamed untuk berjaya ke tahap sekarang. Menjadi tenaga pengajar muzik di Sunway International School serta memiliki Vee Music Centre dalam satu masa.
Wanita berusia 38 tahun ini juga mahir bermain alat-alat muzik seperti biola, xylophone dan piano. Malah beliau juga mempunyai kelulusan Masters in Music Education serta Ijazah Kewangan.
“Saya membesar dengan ibu tunggal dan ada adik perempuan kecil yang ramai. Tertekan masa tu sebab terpaksa bekerja sambil belajar sepenuh masa.
Lepas dapat ijazah, saya sempat kerja dalam bidang kewangan sekitar dua tahun je.
Akhirnya saya pilih bidang yang saya minat iaitu muzik kerana tekanan hidup. Masa tu asalnya saya terima pelawaan mengajar dan menjadi guru orkestra di Sekolah Sri KDU pada tahun 2009.” Cikgu Vee
MOTIVASI
Mempunyai dua kerjaya dalam satu masa bukanlah sesuatu yang mudah. Cikgu Vee sendiri tidak menafikan hal ini lebih-lebih lagi beliau sendiri pernah melalui episod kegagalan rumah tangga.
“Wanita sekarang banyak cabaran. Jadi jika ada kebolehan buat lebih dari satu kerja itu bonus. Apatah lagi kalau buat perkara yang diminati.
Kaum wanita mesti kuat dan cari cara keluar dari tekanan hidup. Saya pun banyak belajar dari kisah ibu bapa saya yang bercerai dan ia memberi pengajaran tersendiri untuk saya.”
Enggan merahsiakan ujian hidup yang ditempuhi, Cikgu Vee terbuka untuk berkongsi motivasi kejayaannya.
“Saya belajar main biola sejak di bangku sekolah rendah. Banyak buat pertunjukan kanak-kanak sampai remaja.
Bila ibu bapa saya bercerai, saya makin bersemangat nak asah bakat yang ada.
Saya pernah berumah tangga dan sewaktu masih bergelar isteri, saya tak bekerja. Tahun 2011 saya tubuhkan Vee Music Centre dan bina empayar bisnes I am Lejen Shop dengan bekas suami.
Sayangnya jodoh tak panjang. Saya kembali bekerja sebagai pensyarah muzik selepas bercerai dan fokus pada Vee Music Centre sekarang,” jelas Cikgu Vee yang merupakan anak seorang pensyarah seni halus itu.
BANGKIT
Berdamai dengan masa lalu adalah cara menemui ketenangan yang sebenar. Menurut wanita hebat yang suka menggesek biola, bermain ice-skating, menulis lagu dan memasak ini, biarpun pandemik banyak menjejaskan hidup tapi perancangan yang betul adalah kunci mengurus tekanan.
Impian dan cita-cita yang belum tercapai… “Saya nak beli rumah dan selesaikan hutang kereta sport Mini Cooper sekarang.
Saya juga nak jadi Senior Lecturer atau Profesor Madya. Sebab utama, nak tolong ibu bapa saya,” akhiri Cikgu Vee.
Pengusaha Hotel Bersama Suami, Kakak Ratu Rock Ella Ini Tampil Jelita & Awet Muda!
Tak dinafikan kakak kepada Ratu Rock Ella ini awet muda orangnya. Meskipun usia mencecah lewat 50an namun pesona Jojie Aminuddin tetap memikat. Memiliki wajah seiras pelantun lagu Sembilu itu, Jojie atau nama sebenarnya Rozita juga merupakan pengurus kepada Ella.
Wanita jelita ini mendirikan rumah tangga bersama Syahrizal Ismail pada 5 Jun 2015. Walau jarak usia 14 tahun namun Jojie dan suami kekal bahagia sebagai suami isteri. Apatah lagi sejak kehadiran permata hati kesayangan iaitu Maryam kira-kira tujuh tahun lalu.
Menerusi posting media sosial Jojie, jelas kelihatan anak kecil tersebut menjadi penyeri rumah tangga dia dan suami tercinta. Malah, Maryam juga seorang anak yang bijak dan comel.
Tidak hanya tertumpu menguruskan karier adik, Jojie juga pemilik sebuah hotel di selatan tanah air. Lebih istimewa, hotel tersebut yang diberi nama Syajie Koptown Hotel diusahakan bersama suami.
Hujung Mac lalu, dia terbuka berkongsi mengenai perusahaan berkenaan di media sosial. “Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat dan kurniaNya, Jojie dan suami bakal melebarkan sayap perniagaan kami dengan pelancaran Syajie Koptown Hotel di Segamat, Johor Darul Takzim.
Lama sudah kami bertungkus-lumus untuk jadikan projek ini satu kenyataan dan alhamdulillah mimpi kini jadi realiti.
Ini adalah kali pertama Jojie kongsikan tentang Syajie Koptown Hotel dan jika ada yang bakal ke Segamat terutama cuti Hari Raya nanti, wajib untuk tinggal di sini ya.
Hotel ini punyai 74 bilik dan 4 function rooms serta sesuai untuk mesyuarat atau private events seperti weddings dan yang seangkatan dengannya.
Hotel ini juga bakal menyediakan gymnasium dan kids playroom kepada tetamu yang hadir.
Akhir kata, Jojie, Syah dan Maryam pohon akan doa dari kalian agar dipermudah segala urusan kami di dunia dan akhirat. Doa yang sama juga kami doakan kepada kalian seisi keluarga. InsyaAllah kita berjumpa di Syajie Koptown Hotel tidak lama lagi.”
Selain hotel, pasangan ini juga dikhabarkan mempunyai bisnes makanan iaitu Syajie Café.
Semoga perniagaan yang diusahakan kakak kepada Ratu Rock Ella ini dan suami berkembang maju serta sukses kelak!
“Saya Menyewa Railing Di Butik Multilabel Dengan modal RM2000 dan 30 helai pakaian sahaja” – ZUHURAH ZAIBIDI
kecenderungan membeli pakaian melalui dalam talian menjentik hati figura bernama Zuhurah Zaibidi untuk mencipta jenamanya sendiri. Label Larney yang ditubuhkan sejak tahun 2015 membawa Zuhurah atau lebih mesra disapa Zura lebih matang dalam bidang yang diceburinya. Mempunyai Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Telekomunikasi dari Universiti Malaya, Zura sebelum ini pernah bekerja sebagai Network Engineer di salah sebuah syarikat GLC selama tujuh tahun. Walaupun kini Zura membina karier yang berbeza dari kerjaya sebelumnya, siapa sangka jenama Larney kian menempa nama dek kerana kecintaanya dalam dunia fesyen.
BAGAIMANAKAH JENAMA LARNEY BOLEH TERCETUS?
sebagai seorang wanita yang sering mengikuti perkembangan fesyen terkini, saya melihat dari perspektif yang lebih luas tentang potensi perniagaan dalam bidang fesyen. Oleh kerana itu, saya memulakan langkah pertama untuk belajar menjahit secara santai. Kemudian, saya mula menjahit baju saya sendiri. Lama-kelamaan saya mula mengambil tempahan dari saudara dan teman terdekat. Saya tidak pernah menyangka, cubaan saya menjual pakaian rekaan sendiri dengan hanya berbekalkan pengalaman menjahit yang tidak seberapa itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Alhamdulillah, ramai yang memuji baju rekaan saya dan tempahan yang saya terima semakin banyak.
CERITAKAN PERMULAAN PEMBABITAN ANDA DALAM BIDANG FESYEN?
Saya mula mengkormesialkan hasil rekaan saya bermula dengan menjual hasil rekaan saya di instagram milik @larneyofficial. Saya menyewa railing di butik multilabel dengan berbekalkan modal RM2000 dan 30 helai pakaian sahaja. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkkan dan Larney mula mengembangkan cabang ke butik multi label pertama di Malaysia iaitu di Modvier dan Fashion valet . Sehingga saat ini Larney masih kekal di Modvier dan Fashion Valet di samping mengembangkan sayap ke seluruh butik Fashion Valet di kompleks membeli-belah terkemuka termasuk Pavilion.
APAKAH SIGNATURE REKAAN LARNEY?
Jika di tanya fashionista zaman sekarang , Alhamdulillah ramai yang mula mengenali Larney kerana identiti Larney itu sendiri. Jenama saya hadir dengan beberapa elemen signature iaitu pleats, wrap, tutu, draping dan bows. Semua elemen ini saya rangkumkan menjadi satu identiti atau DNA yang sesuai dengan kemasan Larney yang kebanyakannya bersifat feminin, kewanitaan tetapi sofistikated.
SIAPAKAH TULANG BELAKANG ANDA UNTUK MENCEBURI BIDANG INI?
Dorongan utama saya pastinya diri saya sendiri. Peribahasa Melayu ada menyebut, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Saya cabar diri saya sendiri bersandarkan semangat itu. Suami saya adalah pemangkin buat saya dan dia juga merupakan penasihat kewangan saya. Terlalu banyak yang telah dia korbankan demi perniagaan saya ini. Tidak ketinggalan juga keluarga, tiga orang anak dan Allahyarham ayah saya juga yang sempat melihat saya mendaki dalam perniagaan fesyen ini. Semangat serta idea kreatif daripada kawan-kawan rapat juga adalah salah satu kekuatan saya. Wanita mana yang tidak perlukan sokongan BFF mereka.
KONGSIKAN KOLEKSI TERBAHARU ANDA…
Sejak dilancarkan, Larney telah menjalani beberapa siri inovasi dalam setiap rekaan mahupun koleksi. Terbaru Larney baru saja melancarkan Larney Urban Glam 2.0 dan Work Wear 2019. Juga variasi skirt labuh dengan statement terkini dan dalam masa yang sama kami masih dalam proses kreatif untuk merealisasikan koleksi Lebaran Larney 2019.
APAKAH PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?
Percaya atau tidak, saya pernah mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram, gara-gara kerana menyiapkan koleksi Ramadhan Larney di Dubai dan dalam masa yang sama persiapan koleksi Hari Raya 2018.
BAGAIMANAKAH ANDA MELIHAT JENAMA ANDA LIMA TAHUN AKAN DATANG?
Siapa yang tidak mahu melihat jenama fesyen miliknya berada di pusat beli-belah pilihan ramai atau bertaraf premium. Begitu juga dengan saya. Sebagai pengasas jenama Larney, saya idamkan sesuatu yang bersifat komersial dan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa lain seperti Zara, Top Shop dan COS.