Teruja melihat sambutan rakyat Sabah terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini berada di Tawau, Sabah sempena Kembara Kenali Borneo yang dijadualkan sehingga 13 September ini.
Malah baginda berdua turut menzahirkan rasa teruja dengan sambutan rakyat sebaik keberangkatan tiba di Tawau, Sabah petang semalam. Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka Baginda berdua rasa amat terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang meluangkan masa seawal pukul 12 tengah hari.
“Seri Paduka berdua terharu dengan rakyat yang menanti dengan penuh sabar di sepanjang 34 kilometer (km) perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan baginda berdua.
“Walaupun baginda memandu sendiri kereta ditemani Raja Permaisuri Agong hampir enam jam ke hotel penginapan, Seri Paduka berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat kira-kira 30 minit,” kata Istana Negara menerusi hantaran di Instagram rasmi.
View this post on Instagram
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah melancarkan Kembara Kenali Borneo iaitu program pengembaraan sejauh lebih 2,149 kilometer selama 11 hari dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak pada program yang bermula hari ini hingga 13 September.
Seri Paduka juga terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada hari pertama berangkat tiba di Sabah sempena Kembara Kenali Borneo bagi merealisasikan impian Baginda menelusuri Sabah dan Sarawak.
“Program Seri Paduka Baginda itu bermula hari ini di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September ini.
“Seri Paduka Baginda juga menasihati rakyat di setiap lokasi program itu untuk menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan raya serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA