Sekali imbas, memang tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai rupa paras yang tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Malah, kedua-duanya mudah memberikan kerjasama dalam memberi pose menarik untuk pembaca NONA. Keakraban dua beranak ini terserlah dengan usikan manja Nourul Depp yang memuji kejelitaan yang dimiliki oleh anak gadisnya.
Membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda tidak pernah dikesalinya malah dia amat bersyukur kerana diberi peluang untuk bergelar ibu pada usia yang masih muda. Walaupun jodoh bersama bekas suami tidak panjang, bagi Nourul kehadiran cahaya mata tunggal bersama bekas suami adalah anugerah terindah yang dimiliki olehnya. Walaupun telah berpisah, baik Nourul mahupun bekas suami memberikan komitmen tanpa berbelah bahagi mendidik permata hati mereka.
“Bergelar ibu pada usia yang masih muda pastinya memberi pelbagai cabaran buat diri saya. Tetapi saya anggap ia sebagai pengalaman berharga buat diri kerana dari usia muda saya berpeluang menjaga anak sendiri dan kini apabila Ayu sudah meningkat remaja, saya boleh berkongsi segalanya bersama Ayu.
Saya juga sudah boleh enjoy bila melihat Ayu boleh membantu saya menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Kadang-kadang, garang si Ayu mengalahkan ibu tiri,” ujar Nourul berseloroh mengenai anak gadisnya sambil disertai gelak tawa kedua beranak ini.
Malah, kisah kejayaan Ayu Nazirah Mohd Faizal memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun yang lalu membuktikan bahawa perpisahan kedua ibu bapa bukanlah halangan untuk membuktikan kecemerlangan akademik. Ayu merupakan seorang yang perfectionist.
“Sejak kecil, jika dia mahukan sesuatu, dia akan melakukannya sehabis baik. Dia juga merupakan seorang individu yang fokus terhadap perkara yang ingin dilakukannya serta konsisten dalam apa yang diingini. Saya selalu melihat Ayu amalkan bangun awal pagi untuk belajar. Ada ketikanya Ayu akan berjaga malam untuk menelaah. Jika dia stress, muzik sering menjadi penemannya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” ujar Nourul lagi.
Penyanyi kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini turut berkongsi minat yang sama dengan anak gadis kesayangannya. Memang bertuah memiliki anak perempuan, jadi Nourul dan Ayu sering berkongsi pengetahuan tentang fesyen, muzik dan alat solekan si ibu turut menjadi ‘pilihan’ buat Ayu Nazirah.
“Seronok bila Ayu sudah meningkat remaja ni kerana kami bagaikan bff!. Kami berkongsi cerita mengenai kehidupan seharian Ayu dan lebih seronok apabila kebanyakan pakaian saya sudah boleh digayakan oleh Ayu. Alat solekan saya juga sering menjadi pilihan Ayu. Ayu juga sudah pandai bergaya seperti mamanya,” ujar Nourul yang memberi kebebasan untuk anaknya membuat pilihan namun tetap memberi garis panduan dan nasihat buat puteri kesayangannya itu.
Menyentuh soal kecantikan di usia 41 tahun, Nourul percaya kulit yang cantik harus bermula dari pemakanan seseorang.
“Saya percaya untuk mendapatkan kulit yang cantik pemakanan perlu diberi perhatian. Saya amat prihatin soal pemakanan selain wajah perlu dibersihkan dengan sebaik mungkin apabila kerap mengenakan solekan yang tebal.
Malah saya dan Ayu amat gemar mengenakan masker wajah di waktu malam. Ia merupakan saat bonding sambil bercerita mengenai pelbagai perkara.” ujar Nourul lagi.
Mendirikan rumahtangga dengan Eric Daniel Depp, memberikan Nourul lebih menghargai faktor pemakanan seimbang agar tubuh dapat berfungsi pada tahap terbaik.
“Saya amat mementingkan pengambilan pemakanan kesihatan serta pengambilan air yang secukupnya untuk kesihatan tubuh badan. Saya kekal aktif kerana mempunyai tenaga dari pemakanan kesihatan yang diamalkan. Selain itu, saya juga kerap bersenam supaya badan sentiasa kekal cergas dan aktif. Apabila usia semakin meningkat, tubuh badan perlu cergas dan aktif,” ujar Nourul yang sememangnya gemar menjalani gaya hidup aktif.
This website uses cookies.