Yang Mulia Raja Petrina Suziana Raja Putera Shah, seorang wanita berketurunan diraja yang penuh dengan kesantunan dan budi pekerti tinggi. Dilahirkan pada 3 Disember 1984 di Kuala Lumpur, anak sulung kepada empat adik-beradik ini mudah didekati dek kerana sikap ramah dan kelembutan yang dimiliki tatkala berbicara.
Menyingkap susur galur keluarga dirajanya, Raja Petrina berkata kedua-dua ibu bapa beliau berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Ayahandanya, Yang Mulia Dr Raja Putra Shah Raja Haji Shahar Shah ialah kerabat raja Perak iaitu cicit kepada Sultan Idris pertama. Manakala bonda, Yang Mulia Tengku Soraya Yusof Tengku Mohammad Yusof Shah merupakan Tengku Aris Temenggong Selangor yang berketurunan kerabat raja Selangor.
“Bonda saya juga adalah cucu kepada Sultan Sir Alaedin Suleiman Shah iaitu Sultan Selangor Ke-5. Sementara nenda pula berpangkat ‘Nyang’ kepada Sultan Selangor sekarang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah. Ringkasnya, bonda saya adalah bonda saudara kepada Sultan Selangor.”
PERGAULAN
Meskipun berdarah bangsawan namun ia sedikit pun tidak menjejaskan batas pergaulan Raja Petrina dengan orang sekeliling. Semuanya sebab mereka empat beradik sudah dididik supaya tidak membezakan agama, status dan warna kulit untuk berkawan. Termasuk juga ketika beliau ambil keputusan untuk bernikah dengan orang kebanyakan. Perkahwinan Raja Petrina dan pilihannya, Mohamad Hazril Mohamad Hadzim mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
“Kami mula bertemu pada tahun 2000. Iya, suami saya orang kebanyakan tetapi keluarga tak pernah menentang niat kami untuk berkahwin. Cuma arwah nenda pernah berpesan kalau boleh cari kerabat diraja juga supaya dapat sambung keturunan kami. Mujur, bonda dan ayahanda saya tak memilih dan sanggup terima sesiapa pun asalkan mampu menjaga saya dengan baik. Alhamdulillah, kami bahagia dan berharap agar kebahagiaan ini berpanjangan hingga ke akhir hayat,” telus Raja Petrina yang terpikat dengan sifat penyayang suami.
Hasil perkongsian hidup selama lebih tujuh tahun, pasangan romantis ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki berumur lima dan tiga tahun iaitu Putera Mohamad Hayden dan Putera Mohamad Harriez. Memandangkan kehidupannya kini lebih tertumpu pada urusan keluarga dan anak-anak, Raja Petrina tekad mengisi masa terluang dan menjana pendapatan dengan berjinak-jinak dalam perniagaan aksesori wanita miliknya, Petrina Putra yang diusahakan sejak penghujung tahun 2016.
PERNIAGAAN
“Menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama usahakan perniagaan sendiri memang perlukan banyak pengorbanan. Buat masa sekarang, saya berniaga aksesori ‘statement necklace’ ini dulu secara online. Sambutan terhadap aksesori Petrina Putra setakat ini sangat memberangsangkan. Idea untuk buat bisnes ini sebenarnya tercetus kerana minat saya terhadap dunia fesyen.
Bagi saya, penglibatan dalam perniagaan bukan saja kena kuat mental dan fizikal malah kena ada minat serta kesungguhan tinggi. Saya bersyukur sebab perniagaan ini ada masa yang fleksibel. Selain dapat wang, saya juga ada masa untuk pantau anak-anak.
Ada ketika memang terlalu sibuk melayan permintaan daripada pelanggan tapi keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak dan keluarga. Saya mahu setiap masa yang saya luangkan untuk mereka berkualiti atau dalam erti kata lain, tak juga menjejaskan periuk nasi saya sendiri. Kiranya, dua-dua perlu seimbang.”
PETUA KECANTIKAN
Melihat susuk tubuh Raja Petrina pasti ramai yang tidak menyangka kerabat diraja ini merupakan ibu kepada dua orang anak. Mengakui mudah turun berat badan kerana sibuk menjaga kedua-dua putera kesayangan, salah satu cara beliau untuk memastikan kesihatan tubuh kekal langsing dan bertenaga adalah dengan minum air kosong secukupnya.
Selain mengawal pemakanan, Raja Petrina juga seorang wanita Melayu yang begitu menitikberatkan soal kesihatan sewaktu berpantang. “Bonda akan memastikan saya mengikut segala pantang-larang terutamanya selepas bersalin. Dari melahirkan anak pertama lagi, bonda ajar saya amalkan petua berpantang ‘Pah Laili’. ‘Pah’ ini sebenarnya panggilan ibu angkat bonda saya dari kecil dan antara dayang istana yang teliti bab pantang-larang dan adat istiadat di istana.
Kalau penjagaan harian pula biasanya saya selesa buat di rumah saja. Jarang ke salun pun. Cuma pakai masker sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu. Untuk kesihatan badan, saya akan pastikan setiap hidangan yang saya ambil perlu ada buah dan sayur.
Tak lupa juga rutin senaman selama 30 minit dalam empat hingga lima kali seminggu. Itu pun saya buat di rumah saja sebab senang hendak jaga anak-anak,” terang wanita berkulit cerah berusia 34 tahun ini mengakhiri perbualan.