Sanah Helwah Dr Noor Hisham, Terima Kasih ‘Hadiahkan’ Berita Baik Buat Rakyat Malaysia!

Hari yang indah, tanggal 21 April ini menjadikan usia Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah genap 57 tahun.

Lelaki kebanggaan Malaysia itu juga tersenarai sebagai tiga doktor terbaik dunia atas ketangkasan beliau menangani krisis COVID-19 di negara ini.

Memetik permintaannya:

On the occasion of my birthday, the most special gift for me will be if Malaysians remain staying at home and observe high hygiene standards.

Permintaan yang ringkas tapi amat susah untuk dilaksanakan. Mungkin rakyat Malaysia khususnya pengikut Majalah Nona yang menyanjungi figura hebat ini dapat sama-sama menunjukkan penghargaan terhadap Dr Noor Hisham dengan duduk di rumah dan jaga kebersihan diri

sebaik mungkin, hari ini.

Sejak berkuat kuasanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, wajah anak jati Sepang, Selangor ini pasti muncul di kaca televisyen nasional tepat jam 5.00 petang. Beliau mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemas kini laporan kes COVID-19 setiap hari.

Dalam laporannya semalam (20 April), Dr Noor Hisham turut mendedahkan keputusan kes COVID-19 yang menunjukkan penurunan hebat di negara kita. Hanya 36 kes positif dan tiada kematian direkodkan, menjadikan ia kes terendah sejak 12 Mac lepas.

Berita ini tentu sekali disambut dengan kesyukuran oleh rakyat Malaysia, warga kerja KKM dan Dr Noor Hisham sendiri. Namun dalam pada itu, beliau sempat berpesan agar kita jangan tergesa merayakan kemenangan. “Kita belum menang…”

katanya sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar terus mematuhi PKP.
Keluarga besar Datuk Dr Noor Hisham dan Datin Nik Suwaida

Suka sangat tengok keluarga besar Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Datin Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen ni, anak-anaknya segak dan cantik belaka, persis ibu bapa mereka.

Sanah helwah Dr Noor Hisham, semoga beroleh ketenangan, kasih sayang, keberkatan dan belas kasihan sepanjang meraikan ulang tahun kelahiran ini. Barakallah fii umrik sir!

Tenang Tapi Tangkas

Nona juga pernah menyiarkan pelbagai jasa serta sumbangan Dr. Noor Hisham sebagai salah seorang frontliners

kerajaan. Baca artikel tentang beliau di sini.

Dr. Noor Hisham, 57 tahun, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013, dilabel sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di platform media sosial.

Dr. Noor Hisham kerap dipuji kerana sentiasa sabar menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan semasa sidang media.

Foto: Faisal Jaafar/Bernama

Share
Published by
Norzalina